
TATKALA musim panas menjengah, suasana luar bilik darjah cukup terasa bahangnya. Bagaimanapun, murid-murid tahun empat, kelas guru Yeon Eun Jung, terpaku memerhatikan paparan tablet di depan mereka yang menayangkan animasi mengenai seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan bertengkar mengenai sama ada air lebih berat apabila ia beku atau semasa mencair.
Senario luar bandar tersebut merupakan sekelumit transformasi besar yang bakal dialami Korea Selatan.
Negara berkenaan sedang melaburkan kira-kira AS$2 bilion (RM5.9 bilion) dalam menggantikan buku teks konvensional kepada komputer tablet sebagai persediaan memperluas rangkaian akademik digital.
Negara lain seperti Perancis, Singapura dan Jepun sedang berlumba-lumba dalam membangunkan bilik darjah dilengkapi paparan skrin sentuh agar dapat mengakses jutaan informasi dengan mudah.
Korea Selatan yang merupakan negara Asia keempat terbesar dari segi ekonomi percaya ia mendapat kelebihan daripada senario itu apabila kanak-kanaknya dianggap pelayar paling celik dalam dunia digital.
Ia terbukti apabila satu kajian dilakukan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan yang berpangkalan di Paris, Perancis pada tahun 2009 mendapati remaja Korea Selatan berusia 15 tahun mencatatkan markah tertinggi keupayaan menyerap informasi melalui peranti digital.
Masa hadapan
Di Sekolah Rendah Sosu, Goesan, Pengetua, Jo Yong deuk membicarakan mengenai masa hadapan apabila pelajar-pelajarnya berinteraksi bersama Ludwig van Beethoven dan Abraham Lincoln dalam dunia realiti maya.
Dalam bilik darjah berkenaan, murid-murid sedang asyik menconteng jawapan pada peranti tablet mereka menggunakan pen sentuh skrin sambil menyaksikan klip video menerangkan tentang sifat saintifik air beku.
"Saya sangat menyukai bab ini tetapi, klip yang paling digemari merupakan bagaimana bunga-bungaan mekar dan pokok menuai buah pada musim bunga," kata Jeong Ho-seok, 11, sambil mengukir senyuman.
Menurut Perkhidmatan Maklumat Pelajaran dan Penyelidikan Korea yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan sokongan teknikal kepada program berkenaan, terdapat lebih 60 sekolah rendah, pertengahan dan menengah menggunakan buku teks digital sebagai salah satu kokurikulum mereka.
Seoul yakin dapat menyiapkan program yang menelan belanja berbilion ringgit itu dalam penyediaan satu rangkaian komputer dengan kandungan digital berkualiti menjelang 2015.
Bahkan, ia akan mengambil suku daripada perbelanjaan tersebut untuk menggantikan buku teks kepada tablet.
![]() |
| SEORANG remaja Korea asyik melayari komputernya yang kini menggantikan buku teks dalam kelas. |
Bagaimanapun, pegawai Korea Selatan yang mengetuai projek tersebut, Kim Doo-yean, berkata negaranya tidak akan berdepan sebarang masalah bersaing dalam penggunaan tablet.
Syarikat pengehosan web AS, Akamai berkata, pada awal tahun ini, Korea Selatan menikmati sambungan internet paling laju di dunia.
Negara berkenaan juga menduduki tangga teratas dalam langganan jalur lebar tanpa wayar.
Seorang murid Sekolah Rendah Sosu, Lee Sang-hyeob menghabiskan banyak masa bermain permainan dalam talian dan berkomunikasi bersama teman sekolah melalui internet.
Jang Woo-dam pula, selalu melayari laman web sekolahnya untuk melihat mesej-mesej daripada pihak sekolah dan rakan sebaya.
Kim yang mengetuai projek tablet berkenaan berkata, negara tersebut menjangkakan pembangunan rangkaian akademik pelajar-pelajar akan melangkaui penggunaan buku teks digital dan sempadan negara.
"Pada masa hadapan, semua pelajar kami akan disambungkan kepada rangkaian komputer tunggal yang membenarkan mereka mempelajari daripada guru-guru negara lain," ujarnya lagi.
Menurut Kementerian Keselamatan dan Pentadbiran Awam, bilangan pelajar-pelajar yang ketagih kepada internet telah meningkat kepada 782,000 atau 12 peratus.
Kerajaan sangat bimbang mengenai isu berkenaan dan merancang untuk meningkatkan kaunselor dalam menangani ketagihan internet sehingga 5,500 orang pada tahun hadapan.
"Keperluan dalam pembelajaran digital adalah mempromosi sebanyak mungkin interaksi antara guru-guru dan pelajar-pelajar berbanding meninggalkan mereka bersendirian," kata Penyelidik Kanan Agensi Informasi Kemasyarakatan Kebangsaan, Kwon Jung-eun.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: