LUC BOUCHARD...gaya AW11 sesuai untuk semua wanita tanpa mengira benua negara.
RIASAN wajah semula jadi, bibir merah, lirikan mata penuh kuasa, kening pucat dan rentak pesta kilauan pengilat bibir menjadi antara nadi utama dalam himpunan warna aliran solekan di Mac bagi musim luruh dan dingin (AW11) kali ini.
Biarpun tampak caca marba, serakan rona-rona menarik ilham daripada unsur alam, cetusan neon, kegemilangan retro serta elemen lelaki-wanita (androgini) melatari keseluruhan persembahan AW11, yang dicetuskan daripada aliran musim-musim sebelumnya lalu diberi suntikan perspektif baru.
Menerusi sesi pengenalannya yang diperkenalkan Jurusolek Kanan Mac Amerika Utara, Luc Bouchard di Taipei, Taiwan, baru-baru ini, AW11 menampilkan empat zon aliran - Mod-ernist, Tough-Love, Disco-Tech serta Amber-Gris - yang tidak hanya menekankan kepada aspek solekan ‘cantik dan sempurna’ semata-mata dalam musim ini tetapi lebih kepada lagak wanita yang tampil penuh keyakinan.
Jelas Bouchard, solekan bagi musim luruh dan dingin tidak semestinya bertumpu kepada gaya kusam serta rona yang kurang menyerlah kerana pada musim inilah perlunya lebih banyak warna ditonjolkan agar tidak tenggelam dengan warna pilihan busana yang kebiasaannya terarah kepada hitam, kelabu, perang dan tanah.
“Tidak salah mencuba sesuatu yang menarik dan segar kerana tiada peraturan betul atau salah dalam solekan. Apa jua warna yang dilakar pada wajah pasti mendatangkan hasil berbeza pada penampilan dan andai tidak serasi, ia boleh diubah kepada gaya riasan lain.“Semuanya bergantung sama ada berani atau tidak untuk menggayakannya,” ujar Bouchard.
Bagi Mod-ernist, rentak retro era 1960-an kembali menyinari pentas peragaan dunia dan boleh dilihat dalam pertunjukan fesyen nama-nama besar seperti Donna Karan New York, Elie Saab, Max Mara, Moschino Cheap And Chic, Chloe, Paul & Joe dan Salvatore Ferragamo.
Berbeza musim lalu yang terlalu dipengaruhi gaya bohemian 1970-an, Mod-ernist hadir lebih kontemporari tanpa lorekan penggaris mata. Moden tapi pada masa sama seakan futuristik, di mana gaya yang bermula dengan idea solekan Brigitte Bardot dibawa semula untuk Lolita moden zaman ini.
Ia juga kelihatan minimum dengan gabungan rona-rona kuning air dan jingga, namun penuh teknik dan tekstur untuk menghasilkan impak kulit licin dan bebas cela.
Untuk gaya ini, Bouchard mengesyorkan penggunaan bedak asas Pro Longwear SPF10 yang tahan sehingga 15 jam dalam apa jua keadaan sekitar.
Ringan dengan tekstur krim, ia memberikan litupan nipis dan sederhana. Walaupun berdepan keadaan cuaca panas dan lembap, ia mampu mengawal minyak untuk menjadikan kulit sentiasa tampak segar dan semula jadi.
Selain itu, beri efek kilau semula jadi pada kelopak mata, pipi dan bibir dengan sedikit sentuhan pengilat bibir Lipglass serta elak atau kurangkan penggunaan pemerah pipi jika inginkan hasil optimum bagi gaya Mod-ernist.
Konsep gabungan lelaki-wanita atau androgini dalam Tough-Love pula menyerlahkan lagak gaya kental dan sofistikated namun masih terselit unsur-unsur feminin.
Ia bukanlah konsep baru dalam dunia kecantikan mahupun fesyen tapi kali ini lebih menitikberatkan hasil wajah pucat, ilusi cengkung pada kawasan tulang pipi, bulu mata yang tidak kelihatan dan rona pudar pada bibir.
Malah ia boleh juga dibawa kepada gaya maskulin berbeza dengan lakaran menonjol pada kening serta lorekan pembayang mata bak perwira seperti yang dipersembahkan ketika pertunjukan fesyen bagi koleksi musim luruh dan dingin Prabal gurung, Vivienne Westwood - Gold Label, Proenza Schouler, Albino, Alexander Wang, Jason Wu, Dsquared2 dan Ohne Titel.
Bagi riasan gaya ini, Bouchard menekankan penggunaan penggaris mata Fluidline dengan formula gel untuk hasil garisan yang lebih ketara. Ia juga kalis comot dan tahan lama.
Jika berani menampilkan rona-rona pesta, rona-rona ekstravaganza dan berteknologi tinggi dalam Disco-Tech jelas mempesona dengan riasan yang sering di salah anggap sebagai keterlaluan.
Warna-warna ‘menjerit’ hedonisme pada solekan mata dan bibir dilihat seperti medium terbaik untuk menyerlahkan keindividuan seseorang.
Secara asasnya ia memberi tumpuan kepada kesan kulit sempurna tetapi disuntik warna-warna neon untuk hasil bukan konvensional.
Penggunaan produk-produk berteknologi tinggi untuk gaya Disco-Tech ini turut disifatkan mampu memberi ‘kuasa’ pada wajah seperti yang diterjemahkan ketika pertunjukan fesyen Jean Pierre Braganza, Vivienne Westwood - Red Label, The Blonds, The Rodnik Band, Zac Posen, Meadham Kirchoff dan Manish Arora.
Pembayang mata Pro Longwear adalah antara produk utama untuk gaya ini, di mana ia bukan saja memberikan impak warna yang meriah malah mudah diadun dan tahan lama.
Sementara palet rona kelabu, mawar kusam, lavender, ambar (kekuningan) dan perang keemasan menjadi tunjang bagi solekan gaya Amber-Gris, yang menyerlahkan sisi feminin dengan suntikan elemen kota pada pemakainya.
Bouchard menyifatkannya lebih lagak artistik, di mana warna-warna monokrom diberi nafas baru dalam mencipta aura solekan segar dan romantis.
“Amber-Gris lebih terarah kepada menyerlahkan kecantikan semula jadi dan bukannya untuk menguasai struktur semula jadi wajah. Ia juga tidak mementingkan kesempurnaan dalam solekan kerana sedikit lakaran comot pada kawasan mata berupaya menampilkan gaya lebih artistik berbanding gaya ‘selamat’,” katanya.
Bedak Mineralize Skinfinish yang memberikan kesan akhir optimum menjadi salah satu produk utama bagi menjayakan solekan ini yang boleh disaksikan di pentas peragaan Balmain, Rodarte, Isaac Mizrahi, Michael Van Der Ham, Roland Mouret, Marni, Pedro Lourenco dan Alexandre Herchcovitch.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: