|
|
INISIATIF menganjurkan program teknologi maklumat (IT) di kawasan luar bandar merupakan landasan terbaik dalam usaha merapatkan jurang digital antara penduduk kawasan berkenaan dan masyarakat di bandar.
Anak-anak luar bandar pada zaman siber hari ini perlu celik pengetahuan dan menguasai kemahiran IT jika mahu setanding dengan persekitaran global serta mempunyai budaya positif.
Menyedari hakikat itu, baru-baru ini seramai 50 ahli Kelab Penyayang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menganjurkan program bakti siswa bersama masyarakat bertemakan Ummatic Service 'Temui IT, Menunjukkan Realiti' di Kampung Jelai, Batu Kurau, Perak Darul Ridzuan.
Pengarah Program, Mohd Amirul Salihan Ahmad berkata, program itu membolehkan penduduk luar bandar khususnya di kalangan pelajar dan belia di kampung mendekatkan diri dengan teknologi terkini sekali gus melahirkan lebih ramai insan celik IT.
"Program yang berlandaskan pendekatan siswa turun padang membuka peluang untuk membantu anak-anak muda dan masyarakat luar bandar meningkatkan taraf hidup mereka.
"Malah program ini dapat mendedahkan kepada pelajar dan belia mengenai fungsi dan peranan IT yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian,"katanya.
Program yang diadakan selama empat hari tiga malam itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Datuk Raja Ahmad Zainuddin. Manakala majlis penutupnya pula telah disempurnakan oleh ADUN Larut, Datuk Mohd. Najmuddin Elias.
Selain program IT, pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan turut diadakan antaranya ialah program keluarga angkat; forum perdana dan seminar kesedaran; gotong-royong; mentor-mentee dan pertandingan sukaneka.
Menurut Mohd Amirul, melalui kemajuan IT hari ini, pelajar dan belia luar bandar juga mampu meningkatkan taraf ekonomi mereka melalui penggunaan dan kemudahan teknologi berkenaan di dalam sektor pertanian.
"Sebagai contoh pada program ini, siswa UIAM membantu dan mendedahkan mereka dengan informasi serta cara-cara untuk mereka mengendalikan laman web sendiri.
"Dengan cara ini, pelajar dan belia kampung dapat mengikuti pembelajaran, kemahiran komputer yang di ajar oleh siswa UIAM dan memberikan manfaat ketika pelajar dan belia ini ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: