|
|
TIGA belas pelajar Universiti LimKokWing menggondol hadiah wang tunai RM21,000 dalam Pertandingan Reka Bentuk Etika Billboard 2011 anjuran Etika Insurans dan Takaful baru-baru ini.
Pelajar jurusan kreatif, Riska Tiofoni berjaya memenangi hadiah utama RM8,000 apabila rekaannya terpilih untuk dipaparkan pada papan iklan besar (billboard) milik Etika di seluruh negara.
Pemenang kedua Thato McDonald menerima wang tunai RM5,000 manakala Dedy Andrianto yang menduduki tempat ketiga menerima wang tunai RM3,000.
Selain itu, sepuluh pelajar universiti berkenaan turut memenangi hadiah saguhati bernilai RM500 setiap seorang dan menjadikan jumlah hadiah wang tunai keseluruhan yang digondol oleh Universiti LimKokWing ialah RM21,000.
Menurut Riska, beliau berterima kasih kepada Etika Insurans dan Takaful kerana memberi peluang kepadanya serta rakan-rakan untuk menyertai pertandingan reka bentuk papan iklan besar itu.
“Saya dapat mengetengahkan idea-idea yang kreatif dan terbaik dalam memenangi pertandingan ini. Malah tidak menduga saya punya rekaan dalam misi membantu masyarakat memenangi hadiah wang tunai RM8,000.
“Dengan hadiah wang kemenangan ini saya akan menggunakannya untuk menampung sebahagian pembelajaran saya di universiti ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Etika Insurans dan Takaful, Barend Van Dam berkata, pihaknya bekerjasama dengan Universiti LimKokWing kerana universiti itu mempunyai piawaian pelajar-pelajar yang kreatif dan berinovatif.
“Pertandingan Reka Bentuk Etika Billboard 2011 hanya terbuka kepada pelajar Universiti LimKokWing sahaja.
“Reka bentuk yang dikehendaki dalam pertandingan ini ialah mencerminkan jenama Etika dan imej korporat syarikat,” katanya.
Menurut Barend, melalui pertandingan ini, pihaknya dapat membantu menyediakan satu lagi platform yang berguna untuk mahasiswa mengasah dan mempamerkan bakat mereka dalam pertandingan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: