Friday, August 12, 2011

Sentuhan moden baju Melayu


Zulkifli Rahmat (tengah), pemilik Dzull de Classique di samping model yang menggayakan baju Melayu rekaannya.


TIADA beza hari raya dengan hari-hari biasa seandainya kaum lelaki tidak berbaju Melayu. Itulah kemeriahan yang boleh dilihat pada hari raya.

Walaupun ramai kaum lelaki yang berbaju Melayu pada hari Jumaat namun kemeriahannya tidak sama kerana pada hari raya semua pasti akan memakai baju Melayu dengan lengkap.

Walaupun baju Melayu banyak terjual yang sudah siap, bagi sesetengah orang lebih selesa menempah.

Mungkin kerana dapat memilih sendiri jenis kain yang disukai, warna digemari, saiz yang sepadan dan boleh ditambah sebarang idea pada baju bagi menambah keunikan baju tersebut.

Zulkifli Rahmat dari Dzull de Classique berkata, sebenarnya bukan wanita sahaja yang sibuk menempah pakaian apabila menjelang hari raya, lelaki juga tidak terkecuali.

Katanya, mereka yang mahukan kelainan dan tidak sama dengan orang lain sudah pasti akan menempah baju Melayu yang diingini.

"Baju Melayu yang ada pada masa kini tidak lagi hanya mengikut ciri tradisional, sama ada berleher cekak musang atau tulang belut dan berpesak.

"Baju Melayu moden memiliki rekaan yang lebih terkini. Walaupun baju Melayu pesak masih lagi dibuat namun ada yang telah membuat pengubahsuaian pada baju Melayu dengan membuat mengikut bentuk badan," katanya.

Menurut Zulkifli, bagi baju Melayu yang mengikut bentuk badan ia biasanya diminati oleh golongan remaja yang tidak menggemari baju berpesak yang nampak besar dan longgar.

Bagaimanapun katanya, baju Melayu tidak berpesak tidak begitu sesuai bagi yang berbadan besar kerana akan nampak sendat di bahagian perut.

"Baju ini lebih sesuai untuk yang bersaiz S atau M sahaja," katanya.

Selain itu menurutnya, kelainan baju Melayu moden ini dapat dilihat pada bahagian dada yang dijahit pleats atau tampalan (patching) pada kolar, poket dan hujung tangan.

Katanya, tampalan ini dibuat daripada fabrik yang berlainan warna supaya lebih terserlah kelainan.

"Warna-warna terang dan kontra menjadi pilihan untuk baju Melayu tahun ini.

"Sebagai contoh baju Melayu berwarna merah tidak nampak membosankan dengan tampalan tepi berwarna merah.

"Begitu pun, warna-warna yang masih mendominasi fesyen baju Melayu tetap warna kelabu, biru firus dan merah cili," katanya.

Tambahnya, perincian seperti jahitan jelujur kasar, jahitan tangan, sulam, pita, renda dan manik turut menjadi elemen bagi menampakkan kelainan baju melayu moden.

Ia bukan lagi sesuatu yang hanya dimonopoli untuk pakaian wanita sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: