Jika inginkan suasana berbuka puasa seperti di negara Arab, berkunjunglah ke cawangan kedua Restoran The Castle di Plaza Berjaya.

SELEPAS penutupan cawangan pertamanya di Jalan Damai, Kuala Lumpur lewat tahun 2010, The Castle berpindah pula ke Kampung Baru pada tahun yang sama.
Restoran yang menyajikan menu Asia Barat itu sememangnya popular dalam kalangan penduduk kota khususnya anak-anak muda yang gemar bersantai hingga lewat malam.
Selepas tujuh tahun bertapak di Malaysia, The Castle melangkah satu tapak lagi apabila membuka cawangan keduanya di Plaza Berjaya, Jalan Imbi, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Walaupun restoran yang dimiliki Abdoul Khaleq E. Muhsin, 47, menekankan konsep berbeza daripada asal, namun sajian makanannya tetap sama dan masih mengekalkan menu-menu utama yang menjadi tarikan pengunjung.
Konsep lounge
![]() |
| HIDANGAN nasi beriani yang dimakan bersama lauk ayam atau kambing. |
"Jika sebelum ini premis kami beroperasi di premis seperti banglo tetapi cawangan baharu ini lebih kepada konsep lounge.
"Ia lebih eksklusif dan mudah dikunjungi kerana terletak di kawasan tarikan orang awam terutama pelancong-pelancong asing," ujar Abdoul Khaleq.
Menyambut kehadiran bulan mulia bagi umat Islam, The Castle tidak terkecuali menjadi destinasi orang ramai yang mahu menikmati masakan Arab.
Bermula pada harga serendah RM5 sehingga RM25, pengunjung akan dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan dari Yemen dan Iraq.
Menu istimewa seperti masgouf merupakan santapan popular dari Iraq yang menggunakan ikan segar yang dipanggang, pasti membuatkan pengunjung berselera ditambah dengan hirisan lemon dan jeruk timun.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang merasai keenakan nasi mandi dan beriani serta memilih sendiri lauk sama ada ayam atau kambing.

Penggemar kambing pula bolehlah memilih daging moulokhiya yang dihidangkan bersama daun moulokhiya beserta nasi.
Ayam oqdah berperisa bawang putih dan digoreng bersama tomato juga pasti membangkitkan selera selepas seharian berpuasa.
Bukan itu sahaja, deretan roti arab dan kebab seperti sandwic falafel, madghut kambing, dan hummus (kacang kuda lenyek dengan minyak zaitun dan jus lemon) turut menjadi pilihan popular di restoran tersebut.
Bagi menghilangkan dahaga, pilihan minuman seperti koktel buah-buahan dapat mengembalikan kesegaran tubuh.
Sempena Ramadan ini, lapangkan masa anda dan menjamu selera di The Castle yang terletak di aras bawah Plaza Berjaya, Jalan Imbi, Kuala Lumpur.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: