
DENGAN pengiktirafan sebagai sebuah organisasi kutipan zakat secara korporat pertama bukan sahaja di Malaysia bahkan, di dunia maka bukanlah menghairankan apabila Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sentiasa menjadi model ikutan organisasi seumpamanya di peringkat antarabangsa.
Malah, dengan rekod jumlah kutipan zakat sepanjang 20 tahun operasi sebanyak RM1.92 bilion, ternyata PPZ berjaya membuktikan kecemerlangan tugas badan itu apabila sistem kutipan zakat diubah melalui pentadbiran secara korporat.
Namun, apa yang pasti semuanya bermula melalui satu insiden lebih dua dekad lalu ketika bekas Menteri Besar Pahang, Allahyarham Datuk Abdul Rahim Abu Bakar yang mahu membayar zakat di pejabat MAIWP.
"Ketika itu, tiada pegawai yang dapat melayan beliau. Kejadian itu menyebabkan beliau terfikir kenapa tidak ditubuhkan sebuah badan profesional untuk menguruskan kutipan zakat agar ia lebih efisien dan mudah kepada orang ramai.
"Daripada insiden itulah, idea tersebut dipanjangkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Dr. Yusof Noor. Selepas itulah pada tahun 1991, PPZ atau nama daftarnya Hartasuci Sdn. Bhd. ditubuhkan dengan menjalankan operasi secara korporat, mempunyai pejabat khusus dan menggunakan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sepenuhnya."
Demikian imbau Pengurus Kanan Operasi PPZ, Abdul Hakim Amir Osman mengimbau detik-detik awal PPZ sebelum meniti kejayaan yang boleh dibanggakan hari ini.
Ujar Abdul Hakim, sebelum PPZ ditubuhkan pada tahun 1989 kutipan zakat MAIWP ialah sekitar RM6 juta. Bagaimanapun, pada tahun pertama penubuhannya iaitu pada tahun 1991 jumlah kutipan itu dapat digandakan kepada RM13.5 juta.
Pembayar zakat
Perjalanan awal itulah membolehkan PPZ kini katanya, mengutip sehingga RM1.92 bilion dalam tempoh 20 tahun selain, meningkatkan jumlah pembayar zakat. Tahun lalu sahaja jumlah pembayar di PPZ adalah seramai 89,110 orang.
Kata Abdul Hakim, dengan peningkatan jumlah pembayar dan lagi kutipan zakat, MAIWP kemudian melalui sebuah lagi organisasi di bawahnya iatu Baitulmal dapat membuat lebih banyak agihan kepada asnaf-asnaf yang layak. Terdapat 27 skim bantuan Baitulmal antaranya bantuan kewangan bulanan, bantuan persekolahan, bantuan perniagaan, perubatan, bantuan Ramadan, bantuan guaman syarie dan bantuan persediaan institusi pengajian tinggi.
"Untuk pengetahuan semua PPZ hanyalah berfungsi sebagai organisasi mengutip zakat, manakala semua agihan akan dibuat oleh Baitulmal. PPZ hanya menerima upah seperti yang ditetapkan diterima oleh amil.
"Apabila seseorang membayar zakat, pada hari yang sama juga bayaran tersebut akan diserahkan kepada Baitulmal atau pendek kata, akaun PPZ hanyalah sebagai transit," cerita Abdul Hakim lanjut mengenai perjalanan operasi PPZ.
Dengan moto PPZ, Berzakat Menyucikan Harta dan Jiwa, tambah Abdul Hakim lagi, PPZ mengutip dua jenis zakat iaitu zakat fitrah dan zakat harta.
Dalam zakat harta, jelasnya ia dipecahkan pula kepada beberapa bahagian seperti pendapatan, perniagaan, simpanan, kumpulan wang simpanan pekerja, emas, perak, saham dan pertanian.
Dengan zakat pendapatan sudah menjadi penyumbang kutipan tertinggi PPZ, untuk meningkatkan kutipan zakat perniagaan pula, pada tahun 2011 PPZ menjadikan ia sebagai tahun kutipan zakat perniagaan.
Menyentuh mengenai kejayaan PPZ dalam tempoh 20 tahun beroperasi, Abdul Hakim tidak hanya melihat peningkatan jumlah pembayar dan kutipan zakat sebagai kayu ukur pencapaian PPZ.
"Antara kejayaan PPZ lain yang boleh dibanggakan termasuklah pengkorporatan kutipan zakat dengan penggunaan ICT sepenuhnya, mewujudkan pusat panggilan untuk pertanyaan selain budaya kerja yang berlandaskan profesionalisme, kepuasan pelanggan, orientasi sasaran dan pemasaran yang proaktif.
"Kita turut mendapat pengiktirafan kualiti seperti MS ISO 9002:1994 dan MS ISO 9001:2008. Selain itu PPZ turut melaksanakan tanggungjawab korporat sosial seperti mewujudkan tabung gempa bumi, pusat dialisis dan tabung membina masjid, surau serta sekolah di Kemboja.
"Selain itu, kita turut mendapat pengiktirafan serantau dan antarabangsa melalui pelbagai forum dan sekretariat," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: