Saturday, August 6, 2011

Pusat sehenti busana Muslimah

FESYEN BERTANDANG...alangkah manis dipandang jika mengenakan rekaan sebegini untuk bertandang ke rumah saudara-mara.
FESYEN BERTANDANG...alangkah manis dipandang jika mengenakan rekaan sebegini untuk bertandang ke rumah saudara-mara.

JIKA dibandingkan dengan fabrik lain, kapas dikatakan paling sesuai dipakai di negara beriklim tropika seperti Malaysia.

Sifatnya yang sejuk membolehkan ia berupaya menyerap peluh jauh lebih baik daripada fabrik biasa.

  • Foto

    JADI PILIHAN...busana polos yang dihiasi jemeki untuk si ibu manakala bagi si kecil, fesyen kebaya Nyonya menyerlahkan lagi kecomelan mereka.

  • Foto

    CERIA...busana tradisi yang menjadi pilihan untuk digayakan pada pagi lebaran.

  • Foto

    SOPAN...fesyen polos yang tidak kurang menariknya untuk digayakan pada Aidilfitri nanti.

  • Foto

    SEDONDON....rekaan menarik untuk pasangan yang mahu tampil sedondon.

  • Foto

    MENARIK...fesyen tradisi yang sentiasa menjadi pilihan.

Ia mampu menyerap sehingga 25 peratus daripada kapasitinya di samping menghasilkan pengaliran udara yang baik pada badan.

Selain faktor keselesaan, kapas juga unik kerana memberikan imej yang lebih muda kepada pemakainya, lebih-lebih lagi jika memiliki corak bunga-bungaan.

Tidak hairan jika ia sentiasa menjadi pilihan tidak kira tua atau muda.

Memenuhi cita rasa dan menggambarkan gaya moden menawan kepada pemakainya, Butik Zaida’s Collections memilih fabrik berkenaan sebagai identiti dengan menyediakan pelbagai jenis rekaan busana tradisional untuk seisi keluarga.

Pemilik Zaida’s Collection, Zaida Abd Aziz, berkata butik yang sudah beroperasi lebih lima tahun itu menyediakan koleksi pakaian siap rekaan terbaru daripada fabrik kapas, sutera viscose serta sifon.

Sempena Aidilfitri kali ini, butik miliknya itu menampilkan koleksi kurung Riau daripada fabrik kapas India.

“Kapas India sememangnya mempunyai peminat tersendiri di negara ini.

“Walaupun ia tidak mempunyai reka corak yang sama seperti kapas Inggeris, keistimewaannya terserlah pada fabrik yang lebih tebal dan berat.

“Bila dijadikan baju, ia memang terletak pada badan dan cantik sekali jika direka dengan potongan seperti kurung Riau,” katanya.

Butik berkenaan menyediakan pelbagai koleksi baju kurung yang praktikal untuk aktiviti harian ke pejabat, majlis kenduri dan cantik digayakan ketika hari raya.

Pilihan corak dan rekaan juga bersesuaian untuk setiap golongan sama ada kanak-kanak seawal dua tahun, pelajar, golongan profesional mahupun suri rumah.

“Bagi mengekalkan ciri eksklusif, setiap rekaan hanya terhad kepada sepasang saja dan semua busana di butik berkenaan boleh didapati dalam pelbagai saiz.

“Kami turut menyediakan koleksi busana sedondon bagi pasangan yang ingin tampil senada pada pagi lebaran kelak.

“Selain itu, terdapat pakaian kanak-kanak seawal dua tahun hinggalah saiz paling besar untuk dewasa,” katanya.

Bagaikan sebuah pusat sehenti untuk penggemar fesyen busana Muslimah, butik itu turut menyediakan pelbagai jenis rekaan tudung terkini daripada fabrik lycra.

Harga ditawarkan bergantung kepada kualiti fabrik dan saiz. Sempena sambutan Aidilfitri, butik itu turut menawarkan diskaun sehingga 70 peratus.

Koleksi pakaian di butik berkenaan boleh didapati bermula pada harga serendah RM69 hingga RM450, manakala tudung atau selendang pula boleh didapati dengan harga RM29 ke atas.



Keistimewaan fabrik kapas


  • Kain kapas diperakui mempunyai keistimewaan tersendiri sejak dulu lagi dan menyaingi pelbagai jenis fabrik lain.

  • Terdapat pelbagai jenis kapas di pasaran antaranya kapas Jepun, India, Swiss, Inggeris dan voile.

  • Fabrik ini memiliki banyak keistimewaan antaranya ia lebih lembut dan sejuk berbanding fabrik biasa, menyerap peluh dan kekal selesa sama ada dalam cuaca sejuk mahupun panas.

  • Penjagaan kain kapas juga tidak sukar seperti fabrik lain dan boleh dipakai lasak.

  • Kain kapas boleh dibasuh dengan tangan atau mesin basuh.

  • Untuk mengekalkan warna pula, elakkan menyidai pakaian daripada fabrik kapas di tengah panas kerana ia boleh menyebabkan warnanya luntur.

  • Ketika menggosok pula, renjiskan sedikit dengan air kerana ia membantu melembutkan fabrik berkenaan.

  • Pakaian yang dibuat daripada kain kapas juga membantu menjaga kesihatan kulit bayi.

  • Memakaikan bayi anda pakaian daripada kain kapas akan melindungi kulit bayi daripada kerengsaan disebabkan sentuhan atau geselan. Ketika musim hujan, kain kapas membantu tubuh bayi kekal hangat.

  • Lebih istimewa, pakaian yang dibuat daripada kain kapas atau campuran kapas amat sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah kulit seperti ekzema.

  • Kebanyakan individu dengan kulit sensitif lebih selesa dengan pakaian kain kapas atau campuran kapas memandangkan kain bulu biri-biri dan fabrik sintetik mungkin boleh menyebabkan radang kulit.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: