KERJASAMA...(dari kiri) Ng, Azmi, Juniwati, Mohamad Mohar dan Pushparatnam selepas memeterai MoU, semalam.
MENYEDARI sektor minyak dan gas (O&G) masih kekurangan tenaga mahir, Petronas bersama empat syarikat O&G utama negara memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama meningkatkan kecekapan tenaga kerja tempatan dalam industri terbabit.
Memorandum itu dimeterai secara berasingan dengan Baker Hughes, Kencana Petroleum, SapuraCrest Petroleum dan Technip Geoproduction, sekali gus membolehkan Petronas dan empat syarikat terbabit bekerjasama untuk melatih dan memajukan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri domestik dan serantau.
Program dan aktiviti akan dikendalikan di institusi pengajian Petronas termasuk Pusat Latihan Pengurusan Petronas, Universiti Teknologi Petronas, Institut Teknologi Petroleum Petronas dan Akademi Laut Malaysia membabitkan 1,200 peserta setahun.
Naib Presiden Pengurusan Sumber Manusia Petronas, Juniwati Rahmat Hussin berkata, kerjasama itu antara lain membabitkan penyelidikan dan pembangunan bersama, program penempatan kakitangan, sesi perkongsian maklumat, latihan amali dan penajaan pelajar; program pensyarah tambahan, penyeliaan penuntut lepasan ijazah dan pelatih teknikal serta pewujudan kemudahan pembelajaran.
“Perjanjian MoU ini akan menyediakan industri O&G dan institusi pembelajaran satu landasan untuk mengenal pasti, mengatur strategi dan mengendalikan program dan aktiviti untuk membangunkan keperluan tenaga kerja berkemahiran masa depan industri.
“Semua syarikat ini sudahpun mula bekerjasama dengan kami dan melatih pelajar kami. MoU ini akan diformalisasikan untuk memastikan ia seiring dengan keperluan industri,” katanya pada sidang media selepas pemeteraian MoU itu di Kuala Lumpur, semalam.
MoU itu dimeterai Juniwati yang mewakili Petronas, Naib Presiden Pemasaran (Asia Pasifik) Baker Hughes, Ng Say Heng; Pengarah Eksekutif Kencana Petroleum Berhad, Azmi Ismail; Pengarah Sumber Manusia SapuraCrest Petroleum, Mohamad Mohar Ibrahim dan Pengarah Urusan Technip Geoproduction, Edgar Pushparatnam.
Mengulas lanjut, Juniwati berkata, menerusi kerjasama itu juga pihaknya dapat mengetahui keperluan dan kekosongan dari segi jumlah.
“Dengan cara ini, kami tidak akan mempunyai terlalu ramai graduan dalam bidang tertentu dan berada dalam industri yang sama. Kami tidak mahu mengambil pekerja sesama kami. Oleh itu, cara terbaik ialah dengan bekerjasama sesama sendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: