Monday, August 22, 2011

ONL tumpu penyelidikan, pendidikan


Bidang sains angkasa wajar dikembangkan supaya rakyat memahami kepentingannya.


PENUBUHAN Observatori Negara Langkawi (ONL) dan dilancarkan pada awal tahun ini membuka lembaran baru dalam sejarah bidang sains angkasa di negara ini.

Selain menambah kemudahan dalam pencerapan langit dengan teknologi canggih , ONL menawarkan lebih daripada sekadar pusat pencerapan.

Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa (UPSA) yang juga Koordinator ONL , Mhd. Fairos Asillam berkata, ia menunjukkan bahawa Malaysia semakin sedar kepentingan sains angkasa dan dengan itu mewujudkan kemudahan berkenaan memberi impak besar dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Melalui ONL, ia membuka peluang yang luas kepada penyelidik Malaysia termasuk pelajar paska-siswazah tempatan menjalankan penyelidikan astronomi yang mempunyai merit sains yang tinggi terutamanya jika dijalankan melalui kerjasama antarabangsa.

ONL juga merupakan platform awal untuk melatih penyelidik tempatan dalam mengendalikan sistem teleskop di observatori dan merupakan pengalaman penting sebelum mereka menggunakan teleskop-teleskop utama lain di dunia.

Tanpa pengalaman mengendalikan sistem teleskop di sebuah observatori, ia menyukarkan penyelidik tempatan menggunakan observatori - observatori utama lain di dunia.

Apa yang penting ialah, selepas wujudnya ONL, menjadi cabaran baru untuk Agensi Angkasa Negara (Angkasa) memanfaatkan kemudahan tersebut seperti yang dirancang.

Mhd. Fairos berkata, aspek pengisian perlu difokus sebaik sahaja ia dilancarkan dan tanggungjawab tersebut dibahagi kepada dua bahagian iaitu penyelidikan yang meliputi 70 peratus peranan ONL dan bakinta untuk pendidikan.

Aspek pertama yang diberi penekanan ialah penyelidikan. Dengan ada ONL, lepasan siswazah boleh menggunakannya untuk tujuan penyelidikan yang mana Malaysia mempunyai kelebihan khususnya pencerapan di langit Khatulistiwa.

Selain daripada bidang astronomi, dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh ini, Angkasa sedang giat untuk mengembangkan beberapa bidang tumpuan baru iaitu pencerapan Objek Dekat Bumi (Near Earth Object) seperti asteroid, komet.

Selain itu, untuk melengkapkan penyelidikan sains angkasa, agensi itu sedang berusaha membangunkan keupayaan tempatan dalam bidang baru seperti radio astronomi dan cuaca angkasa.

Selain itu, aspek penyelidikan juga boleh ditumpukan kepada penyelidikan matahari atau aktiviti matahari.

Kemuncak aktiviti matahari dikatakan berlaku pada 2013 dan ini boleh dicerap dengan kemudahan di ONL.

Selain daripada teleskop di ONL, melalui penglibatan negara dalam program antarabangsa seperti International Space Weather Initiative (ISWI), ANGKASA telah berjaya memperolehi beberapa kemudahan antarabangsa untuk di 'host" di Malaysia Sudden Ionospheric Disturbance (SID) untuk mengukur aktiviti matahari khususnya suar matahari dan AGREES iaitu suatu alat untuk meninjau profil ionosfera.

Selain itu, Angkasa juga sedang berunding untuk mendapatkan dua lagi kemudahan iaitu CALLISTO dan AMBER untuk aktiviti cuaca angkasa.

Ini akan membuka peluang saintis tempatan terlibat dalam penyelidikan kerjasama antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: