Thursday, August 4, 2011

Kurus bukan makan hati... Zizan

Pelakon kacak Zizan Nin pernah heboh baru-baru ini apabila kisah rumah tangganya tiba-tiba menjadi perhatian. Bagaimanapun isu tersebut tidak berpanjangan dan akhirnya lenyap begitu sahaja.

Lama juga tak nampak kelibat Zizan sebab dia sibuk dengan penggambaran drama dan filem. Antaranya filem Tanda Putera arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba yang baru selesai penggambaran.

Semasa ditemui dalam majlis berbuka puasa bersama syarikat pengurusannya Aquila Emas di Hotel Federal, Kuala Lumpur semalam, Zizan nampak kurus. Adakah Zizan sedang makan hati?

"Badan saya ni memang mudah susut dan mudah juga naik. Agaknya sebab penat di lokasi penggambaran drama dan filem Tanda Putera.

"Sebelum ini ada yang tegur badan saya naik selepas kahwin, sekarang kembali susut semula sebab sibuk bekerja," kata Zizan apabila ditegur pasal tubuhnya yang sedikit susut berbanding sebelum ini.

Kalau itulah penjelasan Zizan pasal susuk tubuhnya, salahlah tanggapan yang mengatakan dia sedang makan hati. Sebenarnya dalam majlis itu Zizan turut ditemani isteri tercinta.

"Saya seronok sangat berlakon filem ini. Sebelum masuk set kita kena belajar dulu mengenali watak kita dalam kelas yang diadakan.

"Memang penat dengan persediaan, tapi kita akan dapat mood sebagaimana yang pengarah mahukan apabila masuk set.

"Selain keseronokan berlakon di bawah arahan Shuhaimi, saya juga dapat mengenali tokoh-tokoh negara dengan lebih dekat lagi apabila kita menghayatii watak dan juga melihat perkembangan watak tokoh yang dilakonkan oleh pelakon lain.

"Barulah saya tahu sukarnya usaha mereka dahulu yang berjuang demi negara," katanya yang berlakon sebagai Tun Dr. Ismail dalam filem itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: