Monday, August 1, 2011
Kejutan suami buat Ning
Tahun 2011 menjadi tahun cukup bermakna dan bertuah buat penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura.
Sempena ulang tahun kelahirannya ke-36, Jun lalu, Ning menerima kejutan daripada suaminya, Omar Sharif untuk menonton konsert artis terkenal Celine Dion sambil bercuti di Amerika Syarikat (AS).
Ning berkata, selain menonton konsert Celine Dion, mereka sempat menyaksikan persembahan Beyonce, Cirque de Soleil (persembahan akrobatik ) dan David Copperfield ( ahli silap mata).
“Ketika menerima kejutan itu, saya begitu terharu dengan kesanggupan suami membawa saya bercuti dan berpeluang menyaksikan konsert-konsert hebat dari artis antarabangsa.
“Kesempatan ini saya gunakan juga untuk menimba ilmu mempelajari teknik-teknik pencahayaan serta sistem audio agar dapat diaplikasikan dalam konsert saya pada hujung tahun ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Ning berkata, selain menyaksikan semua persembahan hebat itu di Vegas, mereka juga sempat meluangkan masa ke puncak Grand Canyon selama tiga hari.
Menurutnya, dia begitu teruja dan sebak ketika berada di Grand Canyon kerana ia adalah antara tujuh kehebatan sejarah dunia dan semasa di sana mereka sempat mengembara di sekitar Grand Canyon.
“Tapi dek kerana keletihan dan kekurangan air, saya hampir pitam kerana ini pertama kali saya berjalan sejauh 10 batu. Mujur suami mencari bantuan untuk mendapatkan air. Setelah 30 minit berehat, barulah kami dapat meneruskan perjalanan.
“Bayangkan untuk mendaki bukit memakan masa selama lima jam setengah dan turun dua jam. Walaupun penat dan hampir pengsan, ia menjadi kenangan manis yang sukar saya lupakan,” katanya.
Kesempatan untuk bercuti ke luar negara itu juga digunakan Ning dan Omar untuk melawat sanak saudara dan dua anak Omar di United Kingdom.
Malah, Ning berkata, mereka juga akan menyambut Ramadan dan beraya di sana untuk pertama kalinya.
Menurutnya, selama tiga tahun mereka berkahwin, ini adalah kali pertama dia dan suami menyambut puasa dan berhari raya di sini, dan dia berasa agak teruja kerana dapat meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga suami.
“Lagipun hanya ketika ini saya berkesempatan meluangkan masa bersama anak tiri kerana mereka masih tinggal bersama ibu mereka. Kami memang jarang dapat berjumpa. Jadi, saya gunakan masa yang ada ini untuk meluangkan masa bersama mereka.
“Ibu saya juga akan menyusul selepas raya nanti untuk bersama kami di sini. Saya harap sambutan puasa dan raya tahun ini akan lebih meriah,” akhiri Ning.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: