Monday, August 1, 2011

Gelanggang Tuk Wali angkat jati diri bangsa Melayu



Hebat promosinya, hebat juga persembahannya. Pengarah teater, Joosaidy Johari akhirnya berjaya mengangkat darjat kisah Gelanggang Tok Wali yang dipentaskan sepanjang tiga hari berturut-turut, bermula 28 hingga 30 Julai, di Lambang Sari, Istana Budaya.

Seni tari dan lakon teater diakui masih punyai peminatnya yang tersendiri dan masih mendapat perhatian ramai penonton yang hadir kerana tidak mahu ketinggalan menyaksikan pementasan Gelanggang Tok Wali.

Joosaidy Joghari berkata, teater yang diangkat daripada teks Komponen Sastera Dalam Pendidikan Dalam Bahasa Melayu (Komsas), ini dikaji secara teliti dan terperinci sebelum dinaiktarafkan menjadi sebuah persembahan teater.

Menurutnya, selepas pertama kali dipentaskan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, April lalu, Gelanggang Tok Wali masih mengekalkan jalan cerita asal seperti dalam Komsas. Namun harus diringkaskan untuk persembahan teater.

“Walaupun ringkas, teater ini masih menyampaikan kisah sebenar kekentalan semangat juang dan jati diri seorang guru silat bernama Wan Raja Wailudin Raja Raja Agus Salam atau Tok Wali dalam mempertahankan warisan budaya bangsanya pada suatu ketika dulu hingga menjadi kebanggaan setiap generasi.

“Melalui watak Tok Wali, terdapat juga pergolakan masyarakat khususnya golongan muda yang kian melupai akar budaya turut diselitkan, termasuk kebangkitan pelbagai permasalahan sosial,” katanya ketika ditemui Zass.

Ketika ditanya soal pemilihan pendukung watak, Johari berkata, beliau tidak memerlukan bintang terkenal untuk menjayakan Gelanggang Tok Wali kerana yakin dengan bakat pelakon yang ada selain kekuatan jalan cerita.



Persembahan mantap pelakon

Sementara, Mazlan Tahir,46, yang diberi tanggungjawab mendukung watak utama, Tok Wali, berjaya menjiwai watak dengan baik. Karakter Tok Wali yang kecewa dengan budaya dan seni silat, serta dipinggirkan anak-anak muda di kampungnya, diterjemahkan dengan berkesan.

“Walaupun perlu membawakan watak Tok Wali yang berumur 75 tahun yang jauh berbeza daripada umur saya. Alhamdulillah saya dapat menjiwainya kerana dulu pun saya seorang guru silat dan hidup dalam suasana kampung.

“Malah, saya juga seorang pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Beberapa pelakon dalam Gelanggang Tok Wali juga pelajar saya. Saya percaya mereka boleh sahut cabaran dalam industri ini,” katanya yang berpengalaman dalam bidang teater dan drama sejak tahun 90-an,

Kemuncak lakonan Mazlan apabila Tok Wali kesal dan terpaksa berhadapan dengan cucunya, Piee, yang terjebak dalam kancah dadah. Ketika itu, penonton turut dibuai emosi dan terkesan dengan lakonan mantapnya.

Watak Mak Umi yang dilakonkan Umi Kalsum, juga tidak kurang hebatnya sepanjang pementasan dua jam setengah ini.

Malah, keletah Mak Umi yang mudah melatah tatkala diusik Tok Wali dan dua anak muridnya, Ripin (Syazwan Hashim) dan Mariam (Eiz Omea Anak Wayang) menggamatkan lagi suasana pementasan.

Emosi penonton turut dimanipulasi dengan sikap Siak dan Imam ketika cuba menegur Tok Wali yang masih enggan meninggalkan seni silat walaupun telah berusia.

Sungguhpun kebanyakan watak dalam teater yang sarat dengan pertempuran dan seni persilatan ini didominasi oleh lelaki dan hanya dua pelakon wanita sahaja iaitu Mak Umi dan Mariam, kelantangan suara mereka nyata tidak memberi peluang kepada penonton untuk berasa bosan, sebaliknya lebih tekun menghayati penceritaannya.

Pujian juga harus diberikan kepada bakat-bakat baru seperti Alex Yanz (Imam), Afiq Muiz dan Atrash. Tidak terkecuali, Zakaria Yusof (Siak), Afzan (Halim), Jazlin (Piee), Fizmey (Osman) dan Aeirel (Sudin).

Diselang-selik dengan persembahan silat sekumpulan 20 pelajar SMK Wangsa Melawati, Gelanggang Tok Wali turut dijangka bakal menjelajah seluruh Malaysia bermula tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: