Tuesday, August 16, 2011

ILIM latih imam Forsimas


Para imam saudara Muslim Kemboja turut didedahkan dengan hal ehwal menguruskan jenazah dalam kursus di ILIM, Bangi, Selangor, baru-baru ini.


TUGAS sebagai imam bukan hanya penting semasa solat berjemaah. Namun, imam mempunyai tanggungjawab yang lebih luas dalam usaha memperkasakan masyarakat setempat. Seterusnya mempamerkan kecantikan Islam dalam kehidupan seharian.

Dalam merealisasikan hal ini, amat penting bagi para imam untuk menguasai ilmu agama terutama berkaitan fikah. Pada masa yang sama, dalam hubungan sesama manusia, para imam perlu dilengkapkan dengan ilmu kemasyarakatan.

Ini supaya kehadiran mereka benar-benar dirasai oleh para jemaah. Pendek kata, tidak lengkap sesuatu acara itu tanpa kehadiran imam.

Menyedari hakikat itu, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) sekali lagi menjadi tuan rumah Forum Silaturrahim Masjid Serantau (Forsimas).

Di dalam forum itu diadakan Kursus Profesionalisme Imam, Julai lalu.Ia disertai oleh 27 imam dari Indonesia, Malaysia, Kemboja, Myanmar dan Filipina.

Kursus selama 11 hari itu bertujuan memantapkan lagi kemahiran para imam, merencanakan variasi fungsi institusi masjid serta memantapkan muhibbah antara negara di peringkat serantau.

Selain pengisian dalam bentuk kuliah berkaitan ibadah, akidah, tajwid dan sebagainya, peserta turut dibawa melawat masjid-masjid utama di Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Pembangunan Insan), Razali Shahabudin berharap, para imam dapat menghayati dan menterjemahkan segala ilmu yang diperolehi dalam kursus itu di tempat masing-masing kelak.

Katanya, apa yang penting, program ini juga mampu melahirkan institusi imam yang dapat bergerak dan berjalan mengikut landasan Islam sebenar.

"Dalam Islam, peranan imam itu luas. Kadang-kadang sebagai pendakwah, sifatnya sebagai orang tua yang cukup dihormati oleh ahli jemaah dan masyarakat.

"Imam yang ideal akan sentiasa menghidupkan roh Islam dalam masyarakat. Untuk itu, Jakim menerusi ILIM akan terus bantu umat Islam di rantau Asia," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penutupan Kursus Profesionalisme Imam di ILIM, Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah ILIM, Che Ibrahim Che Man, Sekretariat Forsimas, Hasan Basry dan Ketua Umum Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Dr. Mohamad Nawar Ariffin.

Forsimas diwujudkan pada tahun 2006 yang diwacanakan oleh Dewan Kemakmuran Masjid Aceh (DKMA) melalui pertemuan di Banda Aceh.

Turut terlibat dalam pewujudan Forsimas adalah Dewan Pemuda Masjid Malaysia.

Pada tahun 2007, pertemuan kedua diadakan di Sabah. Seterusnya pada tahun 2008, Forsimas kali ketiga diadakan di Jakarta.

Forsimas kali keempat berlangsung di Kuala Lumpur pada 7-9 Ogos 2009 dengan tema 'Memperkasa Generasi Muda Masjid'.

Forsimas yang akan datang dijadual diadakan pada April 2012 di Mekah.

Sementara itu, Hasan berterima kasih kepada Jakim dan ILIM yang sudi menganjurkan kursus tersebut.

Katanya, berdasarkan penghayatan dan juga prasarana di negara ini, Malaysia mendahului dalam menggambarkan Islam tercantik berbanding agama lain.

"Oleh itu, saya memohon agar Jakim dan ILIM melatih para remaja masjid di ASEAN sebagai pelapis kita untuk persiapan 10 tahun lagi," katanya.

Turut diadakan serentak dengan Forsimas adalah Kursus Imam Saudara Muslim Imam Kemboja.

Masyarakat Kemboja yang minoritinya Islam amat memerlukan sumbangan ilmu dari Malaysia terutama untuk para imam yang menjadi duta Islam di sana.

Kursus selama tujuh hari yang berakhir pada 24 Julai 2011 disertai oleh 15 imam dan pengurus masjid Kemboja.Ia adalah anjuran ILIM, Bahagian Dakwah Jakim dan Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU).

Para peserta juga mendapat tajaan tiket penerbangan dari Yayasan Harmoni dalam menjayakan kursus amal ini.

Sepanjang kursus peserta dibantu dalam meningkatkan ilmu fardu ain dan fardu kifayah.

Ia merangkumi praktikal pengurusan jenazah, bacaan tahsin qiraat, asas penyembelihan dalam Islam, rundingcara keluarga dan teknik pengurusan dan pentadbiran masjid.

Selain itu, para peserta dibawa melawat masjid-masjid utama di Malaysia untuk meninjau kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan di Malaysia.

Para peserta juga dibawa menyaksikan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-53 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur setiap malam sepanjang kursus sebagai sebahagian pengisian rohaniah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: