Sunday, August 7, 2011

Ibu, anak sakit diabetes

SETIAP kali tiba bulan Ramadan, sering kali timbul persoalan di kalangan para pesakit diabetes termasuklah individu yang baru dikesan menghidap penyakit itu - di mana kedudukan mereka.

Sama ada boleh atau tidak mereka menunaikan rukun Islam yang ketiga kerana, bimbang puasa boleh menjejaskan kesihatan mereka. Bagaimana pula dengan diet seharian memandangkan rawatan diabetes melibatkan pengawalan makanan yang rapi.

Rawatan kencing manis turut membabitkan pematuhan terhadap arahan ubat-ubatan baik yang diambil secara telan ataupun yang bergantung kepada suntikan insulin.

Oleh kerana pesakit tidak boleh makan dan minum ketika berpuasa, tahap glukosa darah mungkin akan turun ke tahap yang terlalu rendah terutamanya jika anda sedang menerima rawatan.

Berkongsi rahsia pemantauan paras gula semasa Ramadan, Mariam Abdullah, 61 yang menghidap diabetes hampir 25 tahun sedar komplikasi jika keadaan diabetes dirinya tidak terkawal.

Justeru itu, dia akan akan memantau paras gula dalam darah, makan makanan yang betul, latihan dan tidak pernah ketinggalan mengambil ubat. Dengan cara itu, dia tidak mempunyai masalah yang berpuasa sepanjang Ramadan.

"Saya sentiasa aktif dan menjaga pemakanan tetapi saya menjadi lebih serius tentang diet apabila menghidap diabetes. Saya hanya akan makan sedikit nasi dengan sayur kukus atau ayam tanpa kulit dua kali seminggu. Selain itu, saya tidak lupa berjalan atau berjoging sekitar rumah," ujarnya.

Dalam pada itu, dia mempunyai masalah kekurangan tenaga pada bulan Ramadan kerana tidak mempunyai makan yang sesuai semasa sahur.

Perkara ini berlaku kerana dia tidak banyak makan, mengurangkan pengambilan karbohidrat seperti nasi dan hanya makan buah-buahan dan sayur-sayuran dan segelas susu untuk bersahur.

"Saya terpaksa berhenti berpuasa beberapa hari sebelum ini kerana saya menjadi lemah. Saya sedar sekarang saya perlu sekurang-kurangnya sedikit nasi ketika bersahur. Untuk buka puasa, saya elak makanan yang kaya dengan karbohidrat, untuk mengawal gula dalam darah saya. Apabila keadaan menjadi serius, saya boleh pitam," ujarnya.

Mariam disahkan menghidap diabetes semasa mengandung anak bongsunya.

Walaupun tahap gula dalam darah kembali normal selepas bersalin, lima tahun kemudian dia disahkan menghidap diabetes semula.

Akur dengan keadaan dirinya, dia memastikan dirinya mengambil ubat mengikut nasihat doktor.

"Sehingga kini tahap gula dalam darah saya hanya antara enam dan tujuh dan saya tidak mempunyai apa-apa komplikasi," katanya.

Pendekatan berbeza

Dalam pada itu, anak perempuannya, Nor Salina Bee Mohd Nor, 36, mempunyai pendekatan yang berbeza. Dia didiagnosis diabetes disebabkan kegemukan, 11 tahun lalu.

"Tidak seperti ibu, saya tidak mengawal keadaan apabila mula-mula didiagnosis. Tiga tahun lalu, selepas bergelar ibu tunggal, saya tahu saya perlu mengubah gaya hidup. Saya sekarang sedang mengikuti nasihat doktor bagaimana mengawal diabetes," katanya yang terpaksa melakukan tiga kali suntikan insulin sebagai tambahan kepada ubat untuk mengawal tahap gula dalam darah.

Pada masa ini, paras gula dalam darahnya adalah 10 berbanding 16 dua tahun lalu.

Walaupun menghidap diabetes, Nor Salina tidak mempunyai masalah untuk berpuasa.

"Saya tidak menukar diet sepenuhnya tetapi saya makan dalam kuantiti yang sikit. saya sebenarnya seorang yang kuat makan dan sekarang lebih sedar tentang diet. Untuk sahur dan berbuka puasa, saya makan sedikit nasi dengan sayur-sayuran dan ikan atau daging. Selain itu, saya tidak lupa memeriksa paras gula dalam darah saya," ujarnya yang berazam untuk mengubah gaya hidupnya khususnya aspek pemakanan.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Perubatan dan Endokrinologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Dr. Nor Azmi Kamaruddin, memberitahu, pesakit diabetes yang berpuasa mesti makan makanan yang betul dan mencukupi semasa sahur, minum banyak air, pastikan mereka menyuntik insulin, mengambil ubat dan memeriksa tahap gula serta berat badan setiap hari.

"Walaupun mengambil ubat selepas makan, pesakit tidak harus berpuasa jika mereka tidak bersahur. Ubat masih wujud di dalam badan, menyebabkan tahap gula dalam darah turun jika mereka tidak makan. Ini menyebabkan mereka pening, mengantuk, kegelisahan dan sakit kepala.

"Mereka fikir tidak makan semasa sahur, paras gula dalam darah tidak akan naik. Ini adalah satu salah faham kerana hati yang menyimpan glukosa, akan segera melepaskan gula ke dalam badan jika ia mengesan tahap insulin yang rendah," jelasnya.

Menurut kajian, pesakit mengalami hipoglisemia (gula darah rendah) dalam tempoh empat hingga enam jam selepas sahur dan dua hingga empat jam sebelum berbuka puasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: