Friday, August 12, 2011

Hidangan mewah di Harrods Cafe


Hidangan pencuci mulut yang lazat.


Mungkin sudah menjadi kebiasaan apabila muncul bulan Ramadan kita berbuka dengan hidangan Melayu seperti nasi yang sememangnya makanan ruji rakyat di negara kita.

Namun tidak salah jika sekali sekala kita ubah selera dengan cara yang lebih moden iaitu berbuka puasa dengan hidangan ala barat seperti sup lobak merah, kambing panggang dan juga ayam barbeku bersama nasi beriani .

Kelainan tersebutlah yang yang ditawarkan di Harrods Cafe yang terletak di Tingkat 1, pusat beli-belah Suria KLCC.

Suasana kafe yang eksklusif membuat pengunjung tenang menikmati sajian semi bufet ketika waktu berbuka.

Dengan hidangan yang berbeza-beza setiap hari , ia membuatkan tetamu tidak jemu untuk menghayati hidangan yang ditawarkan pada harga RM98.

Bagi yang berminat dengan hidangan barat seperti kambing panggang yang dihidang bersama sayuran, ikan salmon bersama pasta, kepingan isi ayam bersama salad dan sup labu, ini tempat yang paling sesuai dituju untuk berbuka puasa.

Menurut chef yang bertanggungjawab, Chef Tony Cham, untuk tahun ini beliau mempelbagaikan lagi hidangan selepas mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelanggan.

"Untuk kali ini kita adakan kelainan di mana pelanggan akan dihidangkan dengan semi bufet untuk hidangan pembuka selera dan juga pencuci mulut, manakala makanan utama pula di hidangkan berbeza mengikut hari,'' ujarnya.

Katanya lagi, setiap hari menu utama akan berubah di mana pengunjung boleh memilih hidangan apa yang ingin dinikmati.

Lebih teruja, Chef Tony memberitahu, biarpun berkonsepkan moden namun ciri-ciri kemelayuan masih terdapat di kafe tersebut antaranya sajian kuih-muih mMelayu.

Selain itu, turut dihidangkan buah kurma yang bersalut tepung dan teh tarik, resipi eksklusif dari Harrods.

"Teh tarik kami sangat eksklusif dimana menggunakan daun teh istimewa yang dibawa jauh dari Harrods di London. Pastinya ia menjanjikan kelainan pada minuman ini," ujarnya lagi.

Katanya lagi, memandangkan tempat yang terhad, pengunjung digalakkan membuat tempahan awal.

Bagi mereka yang berminat boleh menghubungi talian 03-21666000 untuk membuat tempahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: