Friday, August 12, 2011

Empat kembar anugerah berharga


Dr. Jasmina Qamaruz Zaman dan suami, Dr. Hazli Zakaria cukup bersyukur dan gembira dengan kelahiran bayi kembar empat mereka.


KELAHIRAN seorang anak sahaja pun sudah cukup mengujakan hati bagi setiap pasangan suami isteri. Apatah lagi jika menerima kehadiran empat orang anak sekali gus.

Inilah juga bukti Kebesaran Allah SWT yang mampu menjadikan apa jua yang dikehendaki-Nya.

Insan bertuah menerima anugerah terindah itu ialah pasangan Dr. Jasmina Qamaruz Zaman, 39, dan Dr. Hazli Zakaria, 39.

Penantian mereka selama tujuh tahun untuk mendapatkan anak kedua begitu bermakna apabila dikurniakan kembar empat iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Anak sulung pasangan itu, Eimann Arrazi, 7, juga turut teruja dengan kehadiran adik-adiknya dan sekali gus bergelar abang.

Eirfann Arrazi, Sara Yasmin, Eihsann Arrazi dan Shaza Jazmin, adalah kembar empat atau dalam istilah saintifik quadruplets yang dilahirkan pada tanggal 22 Jun lalu.

Tepat pukul 2.08 petang bertempat di dewan bedah Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejarah kelahiran quadruplets itu tercatat.

Kehadiran mereka ke dunia dipantau oleh sekumpulan pakar kerana ia dikategorikan sebagai proses kelahiran berisiko tinggi.

Eirfann yang pertama dari empat kembar ini menjenguk ke alam baru dengan berat dua kilogram. Diikuti dengan Sara Yasmin (2.09 petang ) dengan berat 1.3 kilogram, Eihsann (2.10 petang) dengan berat 2.1 kilogram dan Shaza ( 2.11 petang) dengan berat 1.6 kilogram.

Pembedahan yang dilalui Dr. Jasmina itu bukan prosedur biasa kerana melibatkan ramai pakar khususnya pediatrik.

Proses pembedahan tersebut mengambil masa selama satu setengah jam dengan penglibatan beberapa pakar lain seperti pakar obstrektrik dan ginekologi serta pakar bius.

Menurut Dr. Jasmina, Sara dan Shaza dilahirkan dalam satu uri jadi mereka adalah kembar seiras, manakala Eirfann dan Eihsann berlainan uri dan tidak seiras.

"Sehingga hari ini, selepas 44 hari saya seolah-olah masih tidak percaya telah melahirkan empat anak sekali gus.

"Ia umpama satu keajaiban dan saya amat bersyukur dengan apa yang Allah telah berikan kepada saya," ujarnya yang memberikan susu badan dan susu formula.

Dr. Jasmina yang merupakan pakar pergigian restoratif di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berkata, sepanjang proses mengandungkan kembar empat tersebut beliau tidak mengalami apa-apa masalah kecuali alahan di peringkat awal.

"Memang saya mengalami penurunan berat badan pada awal kandungan. Namun dengan mengikut nasihat doktor, diet ditentukan dan pengambilan pil vitamin membuatkan proses mengandung berjalan lancar," jelasnya.

Berkongsi detik apabila diberitahu kandungannya adalah kembar empat itu, sudah pasti sebagai ibu yang akan menempuhinya berasa agak risau.

"Walaupun gembira namun ia masih dikategorikan kandungan yang berisiko tinggi. Saya kerap menjalani pemeriksaan untuk memastikan kandungan sihat dan tiada apa-apa masalah," jelasnya yang tidak mengidam sebarang makanan yang pelik sepanjang proses mengandung.

Dr. Jasmina dengan serius mengikuti semua nasihat doktor terutama selepas kesnya dipindahkan ke HKL dari klinik Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) selepas kandungan memasuki bulan keempat.

"Saya perlu bed rest (rehat di hospital) seawal kandungan berusia 25 minggu. Ketika itu saya hanya duduk di wad 4B HKL selama dua bulan hinggalah tarikh bersalin.

Selepas kelahiran, Dr. Jasmina ditahan di wad selama dua minggu sebelum dibenarkan pulang bersama tiga kembarnya.

"Sara ketika itu masih ditahan di wad kerana beratnya masih belum mencapai 1.6 kilogram. Saya menghantar susu badan yang telah dipam bagi memastikan tubuhnya kuat dan membesar," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: