HAKIKAT dalam dunia peragaan, seseorang yang menceburi arena ini secara fizikal sering dikaitkan dengan rupa paras menawan, susuk tubuh langsing dan tinggi lampai.
Melihat kejelitaan dan penampilan seorang model, tidak mustahil individu berperwatakan kurang menarik awal-awal lagi mengucapkan selamat tinggal kepada dunia glamor ini.
Justeru, amat membanggakan apabila konsep dan definisi ‘cantik’ berjaya diubah serta dibawa ke satu tahap yang lebih ‘sihat’ melalui penganjuran ‘Eco Model International Search 2011’.
“Dunia peragaan tidak sekadar kecantikan, fesyen, glamor dan catwalk di pentas.
“Adalah lebih bermakna jika seseorang itu cantik dan dalam masa yang sama mengamalkan gaya hidup sihat,” kata Pengasas Eco Model International Search 2011, Puan Seri Anita Aqeela Hiong kepada Mingguan mStar.
Program pencarian model gaya hidup sihat dan mesra alam ini pertama kali diadakan dan mencatat sejarah apabila penganjurannya mendapat sokongan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita mahu cari seorang model yang bukan sahaja cantik, tetapi berpengetahuan dan bertanggungjawab terhadap apa yang ada di sekelilingnya.
“Berbekalkan pakej yang ada, mereka diharapkan mampu membantu mewujudkan masyarakat bernilai murni, bukan sahaja sesama manusia, tetapi juga terhadap haiwan dan alam,” katanya.
Aktiviti unik, menyihatkan
Sebelum berentap pada malam kemuncak pencarian yang berlangsung dengan gilang-gemilang pada 30 Julai lalu, 13 finalis perlu mengikuti program dan aktiviti yang telah disusun.
Selama 14 hari peserta perlu berdepan cabaran makan makanan berasaskan sayuran atau yang ditanam dan diternak secara organik.
Setiap mereka juga diberikan pokok sawi untuk dipelihara.
“Mereka memakai pakaian yang dibuat menggunakan botol plastik, fabrik kitar semula dan kapas organik yang dicetak menggunakan pewarna semula jadi.
“Kasut yang dipakai pula dibuat melalui proses pembuatan hijau, tanpa bahan kimia. Begitu juga alat mekap dan aksesori lain,” kata Anita Aqeela.
Seperti program pencarian model lain, para peserta juga perlu mengikuti seminar, pemeriksaan kesihatan, kelas memasak makanan sihat, ‘eco green walks’, usaha kitar semula dan aktiviti tanggungjawab sosial.
Tahap pemikiran dan kebijaksanaan peserta diuji dengan adanya sesi soal jawab bertemakan alam semula jadi.
Antara yang dijemput untuk menjayakan aktiviti ini termasuklah ‘Green Man’, Matthias Gelber.
Peringkat global
Pencarian ‘eco model’ bertaraf antarabangsa nyata tidak mudah dan pemilihan perlu dilakukan dengan teliti.
“Mereka yang dipilih perlu menepati kriteria seperti keseimbangan Indeks Jisim Tubuh (BMI), tidak berpenyakit, mangamalkan gaya hidup sihat, fotogenik, berfikir positif, bijak dan berperwatakan menarik,” katanya.
Nyata, inisiatif memupuk kesedaran gaya hidup sihat terhadap individu, keluarga, komuniti dan rakyat di negara ini tidak terhenti selepas peserta dari Kuala Lumpur, Amanda Cheng Yi Ling, 20, dinobatkan sebagai juara Eco Model International Search 2011.
Selaku pengasas dan penganjur, Anita berkata pihaknya dalam proses membawa program ini ke peringkat antarabangsa.
“Bagi mencapai objektif, kita akan perkenalkan program ini di luar negara dan bekerjasama dengan negara lain.
“Tiga pemenang akan mengikuti aktiviti secara berterusan termasuklah mengikuti roadshow bagi memupuk kesedaran orang ramai agar menjalani hidup sihat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: