LE Corbusier, Philippe Patrick Starck dan Marc Newson, nama-nama yang mungkin begitu asing bagi segelintir masyarakat termasuk penulis.
Tiga individu itu sebenarnya merupakan nama besar dalam industri rekaan yang begitu sinonim dengan jiwa anak kelahiran Felcra Changkat Lada, Perak ini.
Ternyata Shahrul Anuwar Mohamed, 25, mahu mengikut jejak langkah tiga idolanya itu yang berjaya memartabatkan industri rekaan sehingga ke persada antarabangsa.
Walaupun pada masa ini Shahrul tidak mengusahakan perniagaan rekaan namun produk ciptaannya sudah pun mendapat perhatian di Pameran Perabot Antarabangsa Milan, I-Saloni 2011 di Milan, Itali pada April lalu.
Riak wajahnya yang sedikit pemalu tidak siapa akan menyangka beliau mengharumkan nama negara dengan rekaan berteraskan alam semula jadi.
“Rekaan saya diilhamkan daripada pokok paku-pakis. Mungkin ia adalah tumbuhan yang sering dipinggirkan ramai orang namun sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.
Shahrul dinobatkan sebagai Juara Rekaan Muda Malaysia Rado 2010 yang dianjurkan oleh Rado, perintis pembuat jam tangan dengan rekaan inovasi, unggul dan berkualiti dari Switzerland.
Perabot unik paku-pakis rekaan beliau diberi nama Fernature Chaise Lounge jelas bersesuaian dengan sisi dirinya yang begitu menyintai alam semula jadi.
Kemenangan tersebut merupakan antara sentuhan beliau yang ketika itu dalam pengajian Ijazah Teknologi Rekaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tahun lalu.
Berani ambil risiko
Shahrul kini berkongsi minatnya dalam bidang rekaan terutama inovasi perabot apabila menjadi Tutor Rekaan Industri di Fakulti Reka Bentuk Inovasi dan Teknologi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu.
Menurut beliau, terdapat beratus-ratus syarikat perabot tempatan di negara ini tetapi masih ada pihak yang lebih mengagungkan produk dari luar negara.
“Segelintir mereka takut untuk membuat pelaburan terhadap produk tempatan meskipun rekaan asli dan mempunyai identiti tersendiri,” katanya.
Jelasnya, bidang rekaan perabot sering dilabelkan sebagai ‘tukang buat perabot’ menyebabkan industri itu sukar untuk berkembang pesat dan berdaya saing.
“Walaupun pada masa ini saya bukan menjadi pereka secara serius namun menerusi tanggungjawab sebagai tutor sedikit-sebanyak membantu untuk mengembangkan minat dalam bidang rekaan dan berkongsi pengalaman itu dengan pelajar,” katanya.
Bagi Shahrul, bukan mudah untuk berjaya dalam industri perabot dan begitu juga dengan penglibatannya dalam Rekaan Muda Malaysia Rado 2010.
“Banyak idea yang dihasilkan namun inspirasi paku-pakis mengambil masa setengah tahun. Hendak menyediakan prototaip juga tidak mudah mengambil masa tiga minggu.
“Setiap peluang di hadapan mata perlu direbut tanpa berfikir panjang. Menang atau kalah itu soal kedua kerana keutamaan adalah berani untuk mengambil risiko.
“Apa yang pasti setiap peluang itu akan memberi kekuatan dan keyakinan kepada saya agar terus maju ke hadapan,” katanya yang turut mempunyai minat mengembara di samping menghabiskan masa lapang dengan bermain bola tampar.
Serlah falsafah cerita
Berkongsi inspirasi, Sharul berkata, rekaan sering dikaitkan dengan persekitaran dan lebih indah sekiranya karya melambangkan alam semula jadi di negara sendiri.
Beliau menyifatkan estetika dalam rekaannya sebagai ‘modernist’ dan prinsip itu diterjemahkan dalam rekaan Fernature Chaise Lounge.
“Menjadikan paku-pakis sebagai inspirasi rekaan tidak semestinya perabot itu tidak menarik kerana ia boleh disesuaikan dengan sentuhan moden.
“Siapa kata paku-pakis tak menarik? Itali yang menjadi antara negara dikenali dunia dengan rekaan kreatif perabot turut memberi perhatian kepada ciptaan itu,” katanya.
Rado pada tahun ini sekali lagi menganjurkan pertandingan yang merangsang dunia seni dan rekaan di Malaysia namun dikenali sebagai RadoStar Prize 2011 bertemakan ‘Kongsikan Semangat Anda Tanpa Batasan’ (Share Your Unlimited Spirit).
Terdapat 15 kategori untuk penyertaan iaitu animasi, seni bina, digital, fesyen, reka grafik, barang kemas, ilustrasi, instalasi, lukisan, hiasan dalaman, fotografi, percetakan, produk, seni arca, video, seni khat dan rekaan fabrik.
Tiga penyertaan terbaik akan dipilih daripada lima peserta terakhir di mana juaranya akan memenangi wang tunai bernilai RM10,000 dan seutas jam tangan Rado.
Shahrul berkata, setiap rekaan itu adalah gambaran pereka menggunakan elemen masyarakat dan disesuaikan dengan Malaysia yang kaya dengan alam semula jadi.
“Oleh itu, peserta perlu menyerlahkan falsafah cerita yang hendak disampaikan dan rekaan itu perlu berteraskan ikonik dan inovatif,” katanya.
Pertandingan RadoStar Prize 2011 terbuka kepada orang awam dengan mendaftar dan menghantar penyertaan secara dalam talian di www.radostarprize.com.my sebelum 16 September 2011 dan juara akan diumumkan pada 24 Oktober 2011.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: