Saturday, August 6, 2011

D-Max 2011 lebih maskulin


ISUZU D-Max 2011 dijual pada harga antara RM85,000 hingga RM96,000 seunit bergantung kepada varian.


ISUZU D-Max 2011 yang menerima penambahbaikan menerusi pelbagai ciri bergaya telah diperkenalkan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Takashi Hata menjelaskan bahawa rekabentuk serta ciri-ciri baharu yang ada pada Isuzu D-Max sememangnya mampu menarik perhatian pengguna yang memanfaatkan keupayaan D-Max untuk memenuhi gaya hidup aktif mereka.

"Memiliki keupayaan menyeluruh, ciri pemanduan unggul, selain ditawarkan pada harga agak rendah, Isuzu D-Max menjadi pilihan popular mereka yang inginkan sebuah trak pikap serba boleh," kata Hata.

Memberi penekanan terhadap gaya, pembaharuan pada Isuzu D-Max 2011 bertumpu kepada penampilannya. Ini merangkumi penawaran dua warna baharu iaitu putih dan hitam sekali gus menjadi tambahan kepada pilihan lima warna menarik sedia ada.

Pada bahagian hadapan, rekaan bampar menggabungkan pelindung bampar yang baharu. Ciri ini menjadikan D-Max kelihatan lebih agresif terutama melalui dua tona warna yang menyerlahkan garisan pada trak pikap ini. Bahagian sama juga dilengkapi dengan lampu kabus yang diletakkan di dalam penutup berkrom bagi meningkatkan lagi gaya sporty.

Satu lagi aspek yang meningkatkan gaya sporty Isuzu D-Max adalah penggunaan rim sport baharu.

Pemijak kaki pada bahagian sisi telah direka semula. Ia bukan sahaja membantu menampakkan garisan D-Max dengan lebih nyata, malah memudahkan penumpang untuk turun dan naik kenderaan. Ia juga dipasang dengan roll bar baharu.

Dengan kemasan tekstur aloi, rekaan roll bar itu memudah dan menyediakan tempat yang selamat untuk menyimpan barang-barang besar di bahagian kargo trak.

Di dalam kabin, Isuzu D-Max memiliki dimensi serba baharu melalui penggunaan kemasan hitam bagi menggantikan warna kelabu pada model sebelumnya. Skema warna baharu ini meliputi papan pemuka, panel pintu, tiang serta lapik bumbung. Sementara kemasan krom pada bingkai ruang penyaman udara, pembesar suara serta tuil gear menyempurnakan lagi ruang dalamannya.

D-Max dijana oleh unit enjin Super Commonrail 2.5 liter dan 3.0 liter atau enjin 2.5 direct injection. Enjin-enjin tersebut disifatkan sebagai antara enjin diesel paling moden.

Isuzu D-Max 2011 boleh didapati di semua pusat jualan sah Isuzu di seluruh negara. Maklumat lanjut, hu tahu mesila layari www.isuzu.net.my atau hubungi 1-300-88-1133.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: