Saturday, August 6, 2011

Empat jam berpaut di pelampung




KALAU anda merasakan berjauhan dengan telefon bimbit dan internet bagai sesuatu yang menyeksakan, maka Taman Negeri Royal Belum bukanlah tempat untuk anda. Tetapi jika anda bersedia untuk mengenepikan perasaan terasing itu, anda boleh bersedia untuk dibawa masuk ke alam fantasi yang menakjubkan.

Dengan lokasinya yang agak jauh serta bersempadan dengan Thailand (sebelah utara) dan Lebuh Raya Timur-Barat (sebelah selatan), ia memang akan mengasingkan anda daripada dunia luar.

Namun, perasaan gundah dan merasakan diri bagaikan terpenjara daripada hidupan teknologi moden hanyalah getaran awal kerana ia akan hilang sebaik menyelusuri perjalanan di sana.

Bukan hanya penulis yang berasa begitu tetapi, juga yang lain dalam kumpulan media serta pelajar Fakutli Komunikasi dan Media (FCM) Universiti Industri Selangor (Unisel) yang menyertai ekspedisi FCM Tasik Banding/Eksplorasi Belum anjuran universiti itu baru-baru ini.


PELAJAR Fakulti Komunikasi dan Media, Unisel bergambar kenangan bersama penduduk Orang Asli suku kaum Jahai dalam Ekspedisi Tasik Banding/Belum Explorasi di Taman Negeri Royal Belum.


Menariknya, hanya dua jenis pengangkutan sahaja yang boleh membawa seseorang pelancong itu ke Taman Negeri Royal Belum, sama ada menggunakan air mahupun udara.

Ini kerana laluan darat hanya dapat dihubungkan sehingga ke jeti awam, Pulau Banding, iaitu lokasi akhir sebelum meneruskan ekspedisi seterusnya menggunakan bot laju.

Biarpun terpaksa melalui perjalanan agak lama iaitu hampir tujuh jam merentasi ranjau rimba sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Timur-Barat, namun keletihan hilang sebaik tiba di jeti awam dan melihat kejernihan Tasik Temenggor.

Panorama indah tatkala menyusuri Tasik Temenggor menggunakan housebot untuk sampai ke Sungai Kejar, sebuah kawasan pedalaman terakhir di Taman Negeri Royal Belum, membuatkan perasaan dibuai ketenangan dengan keindahan dan kehijauan alam sekeliling.

Biarpun tidak kelihatan hidupan liar di tepi tebing tasik, namun telatah anak-anak orang Asli yang masih nomad cara kehidupannya, menambah keasyikan menghargai alam semula jadi.

Sejurus sampai ke destinasi dituju di perkhemahan Sungai Kejar, semakin riuh suara anggota rombongan: “Wah jernihnya air, nak terjun mandilah,” kata seorang pelajar dek terusik dengan kejernihan air yang menampakkan segala isi perut sungai berkenaan.

Khazanah suci


FOKUS utama Royal Belum adalah konservasi flora dan fauna.


Namun, untuk menikmati keindahan itu memasuki Taman Negeri Royal Belum bukanlah semudah hanya menyewa bot sahaja. Ini kerana permit perlu diperoleh daripada Perbadanan Taman Negeri Perak.

Timbul persepsi leceh dalam kalangan segelintir pihak kerana merasakan ia sepatutnya dipermudah sekiranya ingin menjadikan Royal Belum sebagai eko-pelancongan.

“Ini merupakan tanggapan yang silap kerana fokus utama Taman Negeri Royal Belum ialah konservasi flora dan fauna yang ada di sini. Eko-pelancongan adalah sebahagian daripadanya,” kata Renjer Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan Perbadanan Taman Negeri Perak, Safri Muhiyuddin.

Diwartakan sebagai Taman Negeri Royal Belum pada 3 Mei 2007, ia meliputi kawasan seluas 117,500 hektar, iaitu hampir 90 peratus daripada keluasan Hutan Simpan Belum (132,000 hektar).

Berbanding hutan lain di Malaysia, Royal Belum merupakan hutan simpan yang cukup istimewa kerana ia dikatakan satu-satunya masih suci. Dengan anggaran terdapat lebih 3,000 spesies flora, 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang hidup bebas dan liar, sekali gus menjadikan Taman Negeri Royal Belum, khazanah berharga kepada negara.

Tarikan Taman Negeri Royal Belum


BOT menjadi pengangkutan utama untuk menyusuri Royal Belum.


Apa lagi yang menariknya di sini? “Terdapat tiga spesies bunga Rafflesia di sini iaitu R. Kerrii, R. Cantleyi dan R.Azlanii. Istimewanya, spesies R. Azlanii hanya terdapat di Royal Belum.

“Selain itu, Royal Belum juga menjadi tumpuan 10 spesies burung enggang, iaitu burung yang selalu dikaitkan dengan negeri Sarawak,” katanya.

Tidak terhenti di situ, kerana ia juga merupakan syurga ikan bagi si pemancing. Antara spesies ikan yang terdapat di Royal Belum ialah ikan kelah, sebarau, baung, toman, temoleh, tengalan, tengas dan kejor.

Malah difahamkan, semakin jauh anda merentasi hutan, maka saiz ikan yang terdapat di sini juga semakin besar. Bagi mereka yang ingin merasakan kedinginan air terjun dan bermandi bersama-sama ikan, terdapat lapan lokasi air terjun yang boleh diterokai.

Paling menarik, air terjun di Sungai Koi kerana dengan ketinggian 50 meter, ia mengalir seperti air pancuran.

Santuari ikan kelah


AIR terjun boleh menjadi lokasi membasahkan badan saat di Royal Belum.


Dalam usaha memberi perlindungan dan mengelak kepupusan ikan air tawar khususnya kelah, temoleh dan tengas, Sungai Ruok yang mempunyai air terjun dijadikan santuari ikan berkenaan.

Bagi merasai sendiri pengalaman bermandi bersama ikan kelah, rombongan ekspedisi dibawa ke Sungai Ruok. Bot yang meluncur laju, tiba-tiba semakin perlahan tatkala merentasi laluan banyak pokok mati yang terpacak di air seolah-olah bagaikan pintu gerbang semula jadi.

Sebaik sampai di tebing sungai, perjalanan ke air terjun yang menempatkan santuari berkenaan hanya mengambil masa 15 minit. Teruja dengan saiz dan banyaknya ikan kelah, hampir semua tidak melepaskan peluang mandi bersama ikan-ikan itu.

“Kalau di tempat lain, ikan kelah boleh dipegang, tetapi tidak di sini kerana kami memang ajar liar,” kata Safri.

Aktiviti lasak


PENGUNJUNG boleh melihat kegiatan Orang Asli suku kaum Jahai di sepanjang Sungai Kejar.


Bukan sekadar menikmati keindahan air terjun dan bermandi sungai, tetapi aktiviti lasak seperti trekking hutan, berakit serta water tubing juga antara program dijayakan sepanjang ekspedisi itu.

Paling menarik apabila rombongan ekspedisi perlu kembali ke tapak perkhemahan menggunakan rakit dan melepasi beberapa kawasan jeram. Ada rakit patah, ada yang terluka (tidak teruk) dan hilang kaca mata tatkala melepasi kawasan jeram, namun itu tidak melemahkan semangat semua.

Malah, momen terpaksa berpaut pada pelampung (selepas rakit patah) selama empat jam untuk kembali ke tapak perkhemahan sambil mengharungi jeram, memberi pengajaran baru kepada anggota ekspedisi.

Untuk tujuan itu, kami diingatkan supaya tidak memakai barang berkilat kerana ia akan menarik perhatian ikan toman, spesies karnivor.

Sesungguhnya, empat hari tiga malam di Taman Negeri Royal Belum, dirasakan satu jangka masa yang pendek. Sudah tentu sekiranya ada peluang dan kelapangan, Royal Belum akan dikunjungi lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: