Tuesday, August 2, 2011

Bengkel bahasa karya Hubbard


SALAH satu bengkel yang diadakan UP&D di Perpustakaan Desa Melaka.


BAHASA Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang dituturkan oleh hampir keseluruhan penduduk dunia. Pada masa yang sama, hampir kebanyakan negara menggunakan bahasa itu sebagai bahasa perantaraan dalam hubungan diplomatik mahupun dalam hubungan ekonomi.

Selepas British dan Amerika Syarikat menjajah ke banyak negara, bahasa itu semakin berkembang dengan pesatnya. Di Malaysia sendiri, para pelajar digalakkan untuk menguasai bahasa lingua franca tersebut memandangkan bahan rujukan dalam pembelajaran kebanyakan ditulis dalam bahasa Inggeris.

Menyedari kepentingan bahasa yang bersifat universal itu, Utusan Publications & Distributors (UP&D) Sdn. Bhd. menganjurkan Bengkel Penguasaan Bahasa Inggeris di Perpustakaan Desa di Melaka, Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Bengkel yang diadakan selama dua hari itu turut mendapat kerjasama daripada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Tidak seperti penganjuran biasa, UP&D dan PNM melaksanakan bengkel itu dengan menggunakan koleksi Buku dan Audio SGA buku klasik sains fiksyen hasil karya L.Ron Hubbard.

Hubbard ialah seorang penulis Amerika Syarikat (AS) dan penulis terlaris New York Times yang dianggap berpengaruh dan aktif pada era 1930-an sehingga 1980-an.

Karya-karyanya terutama dalam sains fiksyen dikatakan melampaui zaman termasuk cerita pengembaraan ke angkasa lepas yang ditulis sebelum Neil Armstrong tiba ke bulan.

Menurut Pengarah Urusan Operasi dan Kewangan UP&D, Rozita Yusoff, pada bengkel yang diadakan di beberapa negeri terpilih itu, sebanyak 20 siri koleksi buku yang dilengkapi dengan buku audio (audio book) telah diguna pakai oleh penyelia.

“Mereka-mereka ini turut diberi panduan bagaimana menggunakan buku tersebut dengan teknik yang betul,” katanya.

Selain itu, program bengkel turut dimeriahkan dengan latihan secara berkumpulan seperti membincangkan cadangan aktiviti yang boleh dianjurkan bagi menarik perhatian pengunjung ke perpustakaan dan mempelajari bahasa Inggeris.

“Kita turut membantu mereka dengan mencadangkan beberapa aktiviti seperti membina perkataan yang diambil daripada petikan buku, suai padan tajuk buku dengan petikan yang dipilih, menyenaraikan nilai-nilai murni, teka silang kata dan banyak lagi,” kata Rozita.

Menyeronokkan


PESERTA bengkel di Perlis menggunakan koleksi Buku dan Audio SGA hasil karya Hubbard.


Menjadi salah seorang peserta, Nurain @ Pulin Sayau, 36, yang juga merupakan penyelia Perpustakaan Desa Kampung Pemunterian, Nabawan, Sabah menyifatkan pendekatan yang dilaksanakan berkesan untuk membantu dirinya mempelajari bahasa Inggeris.

“Dengan bantuan buku audio proses pembelajaran dan pembacaan menjadi lebih seronok dan tidak membosankan. Selain itu saya mampu mempelajari sebutan bahasa Inggeris dengan betul,” katanya.

Peluang yang diberi kepada seorang penyelia digunakan sebaiknya oleh Nurain apabila dia bercadang untuk mengadakan beberapa siri pertandingan kepada para pengunjung yang hadir ke perpustakaan kelolaannya.

“Antara yang saya fikirkan adalah pertandingan mengeja perkataan setelah mendengar penceritaan dari buku audio,” ujarnya lagi.

Bagi Rosmawati Mohd. Zain, 29, pula dia berpendapat, pendekatan yang diperkenalkan itu merupakan medium baharu yang paling ideal dan efisien.

“Buku audio sebenarnya dapat merangsang imaginasi pendengar melalui adaptasi drama yang menarik dan mempunyai bunyi yang lengkap.

“Terus terang saya katakan bahawa suara latar yang dilakonkan menaikkan semangat saya untuk terus belajar menguasai bahasa ini,” katanya yang merupakan peserta dari Perpustakaan Desa Kampung Sungai Rotan, Jelebu, Negeri Sembilan.

Keterujaan mengikuti bengkel di kalangan peserta terserlah apabila rata-ratanya meminta tempoh untuk bengkel itu dilanjutkan dengan lebih lama lagi.

Antaranya ialah Hasyafari Johari, 24, yang memberitahu jangka masa yang lebih lama boleh membuatkan karya Hubbard dapat dihuraikan dengan lebih terperinci.

“Saya harap UP&D dan PNM dapat mempertimbangkan permintaan kami, jika masa ditambah, lebih banyak aktiviti dapat dilakukan,” kata penyelia Perpustakaan Desa Demak, Taman Sepakat Jaya, Sarawak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: