
Bulan Ramadan ini, rezeki kanak-kanak kurang bernasib baik juga bertambah. Baru-baru ini, F&N Dairies (M) Sdn. Bhd. telah membawa seramai 70 orang kanak-kanak dari beberapa rumah kebajikan di bawah Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia (MKKM) untuk dijadikan tetamu menikmati juadah di awal Ramadan yang disediakan oleh selebriti tempatan.
Kanak-kanak tersebut diberi peluang untuk berseronok dan menghabiskan waktu terluang mereka dengan menggantung dekorasi sehingga mempelajari hidangan enak oleh chef-chef tempatan.
Program Chef Selebriti Ideal musim ketiga yang dihoskan oleh chef selebriti kecil molek, Anis Nabilah turut diserikan dengan kehadiran selebriti terkenal seperti Irma Hasmie, Zoey Rahman dan penyanyi baru Ernie Zakri pada rakaman episod akhir program ini.
“Objektif utama penubuhan dana ini adalah untuk memperkasa para penerima yang berada di bawah seliaan MKKM. Selain program yang disediakan, kami telah mengambil keputusan untuk melakukan beberapa perkara secara berbeza dengan mengajar kanak-kanak ini beberapa kemahiran asas dengan cara yang menyeronokkan.
“Ini akan menjadi pengalaman yang sukar untuk dilupakan kerana mereka telah belajar beberapa kemahiran untuk menyediakan hidangan ringkas dan menghias di mana akhirnya mereka akan menikmati hidangan yang dibantu oleh mereka sendiri. Jadi, harap ia akan lebih bermakna buat mereka,” tutur Ketua Bahagian Susu Pakej, F&N Dairies (M) Sdn. Bhd., Eileen Chan.
Sementara itu, ketiga-tiga selebriti yang hadir juga teruja untuk menyambut Ramadan bersama golongan kurang bernasib baik ini. Bicara mereka, ini merupakan platform terbaik untuk sama-sama meraikan bulan mulia ini selain dapat berhibur bersama kanak-kanak tersebut.
“Saya sebagai artis baru, begitu teruja dapat terlibat dengan aktiviti seperti memasak dan sebagainya.. Seronok apabila kita dapat menghiburkan anak-anak yatim ini,” tutur Ernie yang sebelum ini merupakan juara Bintang RTM 2009.
Selain Ernie, pengacara dan pelakon yang sering diminati oleh kanak-kanak, Zoey Rahman sudah dua kali terlibat di dalam program ini. Pertama kali empunya diri dijemput untuk menjadi selebriti jemputan di Kuala Selangor untuk mempelajari masakan nasi ambang.
“Ini merupakan kali kedua saya terlibat di dalam program ini yang mana pertama kalinya saya dijemput untuk menjadi selebriti jemputan di Kuala Selangor. Itu merupakan kali pertama saya memasak hidangan nasi ambang.

Jadi, kali kedua kehadiran saya di dalam program ini adalah untuk menghiburkan kanak-kanak ini sambil memasak dan melakukan aktiviti santai bersama mereka,” cerita Zoey ketika ditemui.
Tambahnya lagi, setelah beberapa kali terlibat dengan aktiviti seumpama ini, pengalaman yang paling menarik bagi dirinya merupakan aktiviti bersahur bersama anak-anak tidak bernasib baik ini.
“Saya dapat kejutkan mereka sendiri untuk bersahur dan yang seronoknya, apabila mereka terlihat wajah saya yang kejutkan mereka, keterujaan jelas terpancar pada wajah mereka untuk bersahur bersama," ceritanya mengenai pengalaman bersama anak yatim pada Ramadan sebelumnya.
Lain pula kisah bagi pengacara program dan pelakon, Irma Hasmie. Disebabkan jadual dan komitmen lain yang perlu dilakukan, Irma hadir sedikit lewat berbanding Zoey dan Ernie.
Namun, demi menghiburkan golongan kurang bernasib baik ini, Irma berusaha untuk menghadirkan diri ke majlis yang bertempat di Restoran Bora Asmara, Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur.
“Kalau mahu diikutkan, saya punya komitmen lain pada sebelah siangnya, namun saya cuba untuk hadirkan diri walaupun sedikit lewat. Bagi saya bukan selalu kita dapat peluang sebegini, berkumpul bersama anak-anak yatim dari beberapa buah rumah dan juga orang kurang upaya.
“Secara tidak langsung juga kita dapat beribadah dan berkongsi pengalaman dan keseronokan bersama mereka dengan gurauan senda dan apabila dapat melihat mereka ketawa, hati terasa gembira lihat keseronokan mereka itu,” ujar Irma mengakhiri kata-kata.
Program ini bersiaran setiap hari Khamis pukul 5 petang di saluran TV3 yang telah bermula pada 14 Julai lepas manakala, episod akhir yang menampilkan kanak-kanak MKKM akan disiarkan pada 25 Ogos ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: