Saturday, March 19, 2011

Xpresi Kembara makin hangat


PROGRAM Xpresi Kembara kini memasuki musim ketiga.


Sesuai bersiaran dua musim, program pengembaraan Xpresi Kembara masih kekal sebagai program yang mempunyai rating tertinggi di TV1.

Disebabkan kejayaan itu, program terbitan Unit Majalah dan Dokumentari RTM itu telah melancarkan Xpresi Kembara musim ke-3 baru-baru ini.

Program yang membawa artis menjelajah ke destinasi percutian menarik seluruh Malaysia itu cukup terkenal di kalangan remaja kerana ia sebuah program santai bersama band indie dan penyanyi solo.

Krew penerbitan Xpresi Kembara memilih Pulau Perhentian sebagai destinasi untuk mengadakan Majlis Santai Media dan Pelancaran Musim Ke-3 Xpresi Kembara.

Menariknya, majlis yang berlangsung di Shari-La Island Resort dan telah dilancarkan oleh Timbalan Pengarah Seksyen Produksi TV, Norliza Mohamad Ali itu turut membawa rombongan artis dan media untuk memeriahkan lagi majlis tersebut.

Majlis itu diserikan lagi dengan persembahan setiap artis yang hadir iaitu Azlan & The Typewritter, Bunkface, Myo, Liyana Fizi, Couple, Black, Aizat dan 6ixth Sense.

Menurut penerbit Xpresi Kembara, Mohd. Amer Syafiq Khalip, selepas bersiaran selama dua musim, mereka telah menyuntik elemen baru di dalam program ini dengan memberi peluang kepada penyanyi solo untuk turut serta.

“Jika sebelum ini, kita hanya membawa band-band indie tetapi sekarang kita telah mula bawa penyanyi solo seperti Aizat, Liyana Fizi, Black dan Liyana Jasmay.

“Selain itu, pembaharuan yang akan kami tampilkan, mungkin kami juga akan bawa penyanyi solo lain tetapi bersama dengan anggota keluarga atau teman-teman.

“Bukan itu sahaja, kami juga mempunyai perancangan untuk mengikuti aktiviti penyanyi kita di luar negara seperti Bunkface dan Hujan,” jelasnya tentang program yang mencapai 500,000 orang penonton saban minggu.

Bagi mendekatkan lagi program ini bersama peminat pihak produksi telah membuka akaun di laman sosial Twitter dan Facebook.

“Kebanyakan penonton program ini adalah remaja, jadi mereka lebih gemar menggunakan medium Internet untuk berkomunikasi.

“Malahan, kami juga mendapat banyak idea dan cadangan daripada peminat di Twitter dan Facebook untuk menjadikan program ini lebih menarik,” katanya lagi.

Seperti musim yang lepas, program Xpresi Kembara mengekalkan konsep asalnya dengan bersiaran pada setiap Sabtu, pada pukul 11.30 pagi di TV1 dan ulangannya pada pukul 12 tengah hari di saluran Muzik Aktif (180 Astro).


KUMPULAN Estranged dibawa menikmati flora dan fauna di Sarawak.


Estranged di Sarawak

Terbaru, program ini telah membawa band terkenal Estranged ke Taman Negara Mulu dan Kuching, Sarawak.

Penggambaran yang memakan masa selama tujuh hari pada awal Februari lalu itu, bakal disiarkan dalam tiga episod program ini dan mula disiarkan pada hari ini (19 Mac).

Ketika berada di Taman Negara Mulu, band Estranged berpeluang merasai sendiri pengalaman yang jarang diperoleh seperti menerokai gua-gua bersejarah di sana seperti Gura Rusa, Gua Lang, Clear Water Cave dan Wind Cave.

Selain itu, mereka juga sempat menyelusuri sungai dengan menaiki bot panjang dan merasai sendiri kesejukan dan kejernihan sungai yang mengalir di Clear Water Cave.

“Saat paling mengujakan ketika krew dan band Estranged singgah di perkampungan Penan untuk melihat sendiri budaya serta adat yang diamalkan oleh masyarakat Penan,” ujar Amer lagi.

Jangan lupa saksikan, kemunculan Estranged hari ini pada pukul 11.30 pagi di TV1.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: