Tuesday, March 29, 2011

Warna-warni Karnival Eksplorasi USIM


TUNKU NAJIHAH (kiri) teruja melihat demonstrasi bermain karom oleh para pelajar.


WAJAH-WAJAH penuh keriangan jelas terpancar pada sekumpulan pelajar di satu sudut di Pusat Sukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Senda tawa gurauan juga jelas kedengaran hingga berjaya menenggelamkan bunyi bising kenderaan yang lalu lalang.

Barangkali mereka terlalu gembira kerana dalam tempoh tiga hari, mereka tidak perlu terlalu serius menelaah buku pelajaran.

Dari semasa ke semasa, deretan kereta, motosikal, van mula memenuhi jalan-jalan utama di kampus itu. Demikian juga para pelajar yang lengkap berpakaian tradisional Melayu, seragam askar, taekwondo termasuk yang hanya mengenakan baju-T berwarna-warni beramai-ramai berjalan kaki menuju ke pusat sukan.

Sememangnya pada hari itu, cuaca sangat panas. Jadi, tidak hairanlah ada yang berpayung dan tidak kurang menggunakan surat khabar untuk menghalang panahan cahaya matahari.


KECEKAPAN pelajar USIM berkawat mendapat tepukan gemuruh daripada tetamu.


Selang beberapa ketika, terdengar dendangan lagu kebanggaan masyarakat Minang, Ayam Den Lapeh yang dinyanyikan oleh penyanyi keroncong USIM, Mohd. Nurhakimi Md Yaman. Beritahu Penolong Pendaftar kampus itu, Khairul Azizi Elias, Mohd. Nurhakimi baru saja memenangi Festival Keroncong Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (Makum) baru-baru ini.

“Kak, saya sangat teruja dengan Hari Terbuka USIM kerana inilah julung-julung kalinya diadakan.

“Ini juga pertama kali saya dapat melihat lebih 6,000 pelajar berkumpul dan bersatu dalam satu program yang dinanti-nanti,” kata seorang pelajar lelaki yang tiba-tiba datang menemui penulis, berbicara dan berlalu sekelip mata tanpa sempat menulis mencatatkan nama dan umurnya.

Rupa-rupanya pelajar itu harus segera memasuki barisan untuk berkawat kerana tetamu kenamaan telah sampai.

Khairul Azizi memberitahu, setelah 11 tahun USIM ditubuhkan, ini merupakan pertama kali universiti itu menganjurkan hari terbuka universiti atau dikenali sebagai Karnival Eksplorasi USIM 2011 yang bertemakan Simply Inspiring.

Kenapa ia dinamakan eksplorasi? Ujar Khairul Azizi, perkataan eksplorasi itu sendiri membawa maksud penjelajahan ke lapangan untuk memperoleh sesuatu.

Dengan erti kata lain, pihak kampus memberikan peluang kepada para pengunjung untuk menyelami dan mendalami apa yang terdapat di USIM dengan lebih dekat dan mesra.


USIM antara kampus yang aktif melahirkan bakal tentera yang berwibawa.


Sebenarnya, karnival yang berlangsung pada 4 hingga 6 Mac lalu tidak hanya melibatkan warga kampus. Pada masa yang sama ia turut melibatkan pelajar-pelajar di sekolah berdekatan dan masyarakat setempat.

“Kita tak mahu keluarga hanya datang menonton sebaliknya mereka juga turut serta dengan aktiviti kami, kita mahu mereka lebih dekat dan mesra dengan kita,” kata Khairul Azizi.

Kompleks sukan Tunku Najihah

Sepanjang tiga hari program itu berlangsung, pelbagai aktiviti menarik disediakan.

Antaranya ialah pameran dan taklimat di setiap fakulti, pameran pasukan beruniform, persembahan pelajar, kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan.

Tidak ketinggalan, pertandingan sukan seperti bola jaring dan futsal, pertandingan fotografi pertandingan Explore Race serta tayangan video.

Bagi memupuk semangat usahawan di kalangan pelajar, deretan gerai yang menjual pelbagai makanan dan minuman juga didirikan. Satu-satunya perkara yang sangat dibanggakan oleh warga USIM ialah kompleks sukannya.

Ada sebab mengapa mereka merasai perasaan itu. Pertama, trek sintetik di kompleks itu telah diiktiraf oleh International Association Athletic Federation (IAAF) sebagai kemudahan sukan yang bertaraf dunia. Lebih bermakna lagi, USIM merupakan universiti pertama di negara ini yang memperoleh pengiktirafan tersebut sejak tahun 2009.


RASMI. Tunku Najihah berkenan merasmikan kompleks sukan yang mengambil sempena namanya.


Sebagai kampus baru, pastinya mereka terharu apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memilih USIM sebagai penganjur kepada Sukan Antara Universiti-Universiti Malaysia (Masum) pada tahun lalu.

Atas komitmen dan kesungguhan pihak pengurusan, KPT turut menjadikan kompleks itu sebagai Pusat Sukan Tumpuan Taekwondo KPT. Ini bermakna USIM diberi kepercayaan menyelaras dan membangunkan program pembangunan sukan lasak itu di seluruh IPT.

Secara keseluruhan, pusat itu dilengkapi dengan gelanggang tenis, sepak takraw, bola tampar, bola baling, futsal, bola jaring dan 22 stesen latihan beban.

Selain itu terdapat juga gimnasium, aktiviti kokurikulum dan pejabat sukan.

Sebagai menghargai jasa baik Canselornya, Tunku Ampuan Najihah Tunku Besar Burhanuddin, kompleks itu secara rasminya diberi nama Kompleks Sukan Tunku Najihah.

Baginda juga berkenan untuk merasmikan kompleks itu pada karnival tersebut.

Melalui program-program yang dianjurkan, USIM berharap sedikit sebanyak institusi itu dapat meraikan para pelajarnya. Di samping itu, masyarakat luar juga dapat melihat USIM sebagai satu destinasi menara gading yang terbaik untuk menyambung pengajian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: