![]() |
| Seorang penuntut Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM Shah Alam, menerangkan mengenai teknologi kimia kepada pengunjung yang hadir ke program Leading Your Way To Chemical Engineering Education di Mersing, baru-baru ini. |
MERSING 1 Mac - Bagi menanam minat pelajar dalam bidang kejuruteraan kimia, seramai 70 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mengadakan program Leading Your Way To Chemical Engineering Education di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mersing baru-baru ini.
Program selama dua hari itu bertujuan memperkenal serta mempromosikan bidang kejuruteraan kimia yang terdapat di UiTM dan ia disertai 70 pelajar aliran sains sekolah terbabit.
Timbalan Pengarah Program, Maisara Arsat, 22, berkata, program tersebut bagi menyuntik semangat dan motivasi serta galakan kepada para pelajar untuk menghadapi cabaran pendidikan pada masa depan.
"Kita juga dapat mendekati golongan sasar iaitu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya mereka lebih faham tentang bidang ini," katanya.
Seorang peserta, Hulwani Husin, 23, mengakui gembira kerana dapat bersama-sama dalam program berkenaan dan berkongsi ilmu dengan pelajar sekolah terbabit.
"Selama dua hari di sini, mereka kelihatan ceria dan memberikan kerjasama yang baik dan kami seronok dapat bergaul dengan para pelajar SMK Sri Mersing ini," ujarnya.
Rakannya, Siti Najwa Huda Husin, 23, pula berharap supaya program seumpama itu diteruskan pada masa akan datang.
"Rasa seperti program dua hari ini masih belum mencukupi untuk kami menerangkan dengan lebih terperinci dan mendekati para pelajar," tambahnya.
Bagi pelajar SMK Sri Mersing, Nurul Hafiza Sabarudin, 17, dia memperoleh banyak input sepanjang menyertai program itu.
"Banyak pengetahuan baru diperoleh selain motivasi untuk lebih berjaya dalam pelajaran seterusnya menceburi bidang kejuruteraan kimia," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Datuk Zainal Abidin Osman yang merasmikan program tersebut berharap pelajar terbabit mendapat banyak manfaat dan ilmu daripada aktiviti yang dianjurkan.
"Negara ini yang sedang membangun masih kekurangan tenaga kerja khususnya dalam kejuruteraan kimia. Justeru, saya menggalakkan pelajar untuk menyambung pengajian dalam bidang yang mencabar ini," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: