Saturday, March 19, 2011

Tetamu istimewa USS


SERAMAI 200 penghuni dari tiga rumah kebajikan di Kuala Lumpur dibawa melawat Universal Studios Singapura.


KUNJUNGAN ke Singapura tidak lengkap sekiranya tidak melawat Resort World Sentosa (RWS) yang menempatkan Universal Studios Singapura (USS) iaitu taman tema pertama seumpamanya di rantau ini selepas di Amerika Syarikat dan Jepun.

Sejak dibuka pada Mac tahun lalu, USS telah dikunjungi kira-kira 15 juta pengunjung tempatan dan luar negara yang mahu merasai pelbagai hiburan dan keseronokan yang ditawarkan di dalamnya.

Biarpun meraih populariti dan kejayaan dalam sekelip mata, namun RWS tetap tidak melupakan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat termasuk di Malaysia.

Bagi tujuan itu, baru-baru ini RWS menganjurkan program aRWSome Kids' Date yang melibatkan lebih 200 kanak-kanak dan 36 kakitangan daripada tiga rumah kebajikan iaitu Rumah Barkat, Rumah Kebajikan Ti-Ratana dan Living Hope di Kuala Lumpur.

Menurut Pengurus Komunikasi RSW, Lynn Lee, program yang diadakan merupakan penghargaan kami kepada masyarakat yang selama ini banyak memberi sokongan terhadap RSW yang kini mencecah usia setahun.

"Cuma kali ini agak istimewa kerana ia diraikan bersama rakan-rakan kita dari Malaysia," katanya.

Selain dibawa menjamu selera, kesemua penghuni terbabit berpeluang melawat ke seluruh taman tema seluas 49 hektar (121 ekar) itu.

Pastinya peluang meneroka alam misteri Revenge of the Mummy serta menguji adrenalin di roller coaster duo tertinggi di dunia, Battlestar Galactica menjadi kenangan yang sukar dilupakan.


Universal Studios Singapura menyambut ulang tahun pertamanya Mac ini.


Keceriaan itu jelas terbayang pada wajah seorang penghuni Rumah Kebajikan Ti-Ratana, Leong Chee Keong yang tidak dapat menggambarkan kegembiraannya apabila berpeluang melawat USS yang menjadi idaman seluruh kanak-kanak di rantau ini.

"Walaupun terpaksa bangun seawal jam 2 pagi, namun saya sangat gembira kerana berpeluang untuk berada di sini.

"Saya sangat berbesar hati dan seronok mencuba pelbagai permainan yang ditawarkan seperti roller coaster," kata gadis berusia 17 tahun itu.

USS yang terletak dalam kawasan RSW di Pulau Sentosa merupakan taman tema terbesar di rantau ini.

Taman itu mengetengahkan 24 permainan tunggangan dan tarikan dalam tujuh zon bertema Hollywood, New York, Sci-Fi City, Ancient Egypt, The Lost World, Far Far Away dan Madagascar.

Menjelang akhir tahun ini, RSW bakal diserikan dengan pelbagai tarikan baru di taman temanya, iaitu Madagascar dan Transfomers di samping pembukaan Muzium Xperimental Maritim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: