
DARI jauh kedengaran sayup-sayup kiraan satu hingga lapan berulang kali. Kadangkala ia diselangi alunan lagu tradisional Melayu memecah keheningan malam.
Ada masanya muncul laungan serentak lapan ke sepuluh suara bercampur gaul meluahkan ekspresi berdasarkan irama yang ditarikan.
Semakin hampir dengan ruang yang dilengkapi cermin sekeliling setinggi 2.5 meter, kelihatan sosok tubuh seorang wanita menjadi ikon tarian di tengah-tengah bulatan yang dikelilingi sekelompok penari lain.
Di suatu sudut pula seorang jejaka berpeluk tubuh memerhatikan gerak langkah yang disusun oleh anak buahnya sambil membetulkan cermin matanya.
Hampir dua tahun kumpulan itu bersabar mendengar herdikan golongan pesimis yang gemarkan kualiti seni tari luar negara. Sepanjang tempoh itu ahli-ahli di dalamnya bangkit setingkat demi setingkat membuktikan mereka bukan seperti yang diduga.
Presiden Persatuan Adikarma, Valentino Stanley Jogian, 24, tidak sesekali memandang ke belakang dan terus optimis memperjuangkan nasib tarian yang semakin dipinggirkan.
Bangkit daripada kegagalan pada awal usia penubuhan persatuannya, Valentino meletakkan tarian tradisi dari Kepulauan Borneo sebagai taruhan utama setiap kali beraksi.

"Saya akui kehebatan saya bukan pada tarian tradisional Melayu sebaliknya ilmu yang dikutip sejak di bangku sekolah lagi.
"Kebanyakannya adalah seni gerakan dari negeri asal saya iaitu Sarawak," ujarnya ketika pertemuan pertama di institusi pengajiannya baru-baru ini.
Terkesima apabila dikatakan pasukannya sekadar tangkap muat tatkala beraksi di pentas, Valentino menegaskan kumpulannya sentiasa memberikan yang terbaik setiap kali persembahan dan terpulang kepada setiap individu untuk melabelkan kualiti yang ditampilkan.
"Kami memandang setiap kritikan dan komen dari sisi positif dan terpulang kepada pihak-pihak tertentu untuk bersuara jika ada isu yang terbuku di hati," tambahnya bersulam wajah ceria.
Karya etnik
Mengangkat tarian tradisi pelbagai suku kaum dari negeri terbesar Malaysia, Sarawak, kumpulan Adikarma yang berpusat di Pulau Pinang semakin berani mengolah karya-karya etnik lampau untuk diadun dengan elemen kontemporari.
"Jarang ada kumpulan di Semenanjung Malaysia yang berminat mengangkat seni tari dari Sabah dan Sarawak untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi walhal rata-ratanya menggemari keunikan dalam gerak tari kedua-dua buah negeri tersebut," katanya yang turut ditemani rakan-rakannya.

Justeru, keyakinan Valentino memartabatkan seni dan warisan dari Bumi Kenyalang disambut baik oleh masyarakat sekitar malah meraih lebih ramai ahli sejak nama Adikarma melonjak naik di Pulau Mutiara.
"Tarian yang paling digemari adalah etnik orang Ulu, Iban, Melanau dan Bidayuh namun adakalanya kami juga menampilkan tarian masyarakat Melayu Sarawak yang juga terkenal dengan tarian zapin Sebat dan zapin Sindang," getusnya sambil mendemonstrasikan dua langkah asas zapin yang disebutnya.
Ketika ditebak dengan kontroversi yang melanda kumpulannya suatu masa dahulu, Valentino meletakkan segala keperitan silam sebagai panduan untuknya bersama ahli kumpulannya lain maju ke hadapan.
"Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula sesama taulan, itu semua asam garam dunia seni dan adalah elok tidak dikenang perkara yang lalu," cerita bakal guru itu penuh berfalsafah.
Kendatipun tiada kursus tari ditawarkan di universiti tempat berasasnya Adikarma, ahli-ahli yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang pendidikan semakin bertambah. Keahlian Adikarma kini mencecah 200 orang.
"Bukan semua penari kami ada latar belakang dalam bidang ini dan ramai yang baru bermula dari tahap pertama sejak menyertai Adikarma namun minat yang sama menyatukan kami semua," jelasnya sambil memperkenalkan ahli jawatankuasa setiap unit yang ditubuhnya.
Meletakkan sasaran untuk meneroka lebih banyak tarian eksotik dan unik dari Bumi Kenyalang antaranya dari suku kaum Penan, Kenyah dan Kedayan, Adikarma juga giat menjalankan penyelidikan dan penerokaan tarian etnik Momogun Rungus, Murut, Tidong dan Lundayeh di Sabah dan Brunei.
Mahasiswa berkarya
Selain bidang tarian, Adikarma juga menyediakan platform untuk individu yang meminati bidang lakonan dan pengurusan acara.
Menurut penasihat Adikarma merangkap Pegawai Kebudayaan dan Kesenian Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP), Universiti Sains Malaysia (USM), Zulkifli Che Hussin, Adikarma adalah pertubuhan pelajar yang menyediakan ruang luas untuk mahasiswa berkarya.
"Dengan adanya penyertaan pelajar daripada pelbagai kaum, saya pasti seruan 1Malaysia berjaya disahut dan direalisasikan untuk membentuk gagasan yang bervariasi," ujarnya yang sentiasa mengiringi kumpulan Adikarma menjayakan persembahan di sekitar Pulau Pinang.

Adikarma yang sering menerima pelbagai undangan memeriahkan majlis sama ada di USM bahkan di luar sekalipun aktif menyertai pelbagai pertandingan peringkat amatur mahupun profesional.
"Kalah menang adat bertanding, kami akui usia masih setahun jagung maka istilah malu ditolak ketepi dan memandang setiap aktiviti yang disertai sebagai laluan merintis kejayaan dan meneroka pengalaman," singkap Valentino.
Adikarma yang dalam proses persiapan menjelang program Pengembaran Budaya dengan Universiti De La Salle, Filipina bulan Julai ini turut giat melatih warga baru yang baru mendaftar beberapa bulan lalu.
Dalam pada itu, seorang penari, Nur Afikah Rahman, 21, meletakkan Adikarma sebagai sandaran untuk memajukan diri dalam bidang kokurikulum.
"Pelajar yang cemerlang perlu seimbang daripada semua aspek termasuk kurikulum dan kokurikulum," katanya yang pernah menjadi penari Swatari di bawah syarikat Pak Ngah Production suatu ketika dahulu.
Gimnas kebangsaan, Wan Siti Haniza Wan Izahar, 21, yang turut berjinak-jinak dalam dunia tarian kini menyahut usaha yang dilakukan Adikarma.
"Banyak yang telah saya pelajari sejak bersama Adikarma, bukan sekadar memahirkan saya dalam bidang tarian malah membina keyakinan diri tampil di khalayak," tambahnya yang kini menuntut dalam jurusan komunikasi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: