![]() |
| DUGONG antara yang diancam kepupusan. |
Kita kerap kali mendengar nasib malang paus yang tiba-tiba terdampar di pantai kerana masalah yang menimpa spesies berkenaan.
Banyak kemungkinan menjadi faktor penyumbang kepada masalah tersebut.
Malah ada yang mengaitkannya dengan tanda-tanda kedatangan tsunami seperti mana yang berlaku di New Zealand baru-baru ini.
Lebih diyakini, punca sebenar insiden paus terdampar adalah berkaitan dengan masalah pencemaran akuatik.
Benarkah menyalahkan masalah pencemaran sebagai punca dapat menyelesaikan masalah ini?
Realitinya, mamalia laut itu juga perlu memenuhi keperluan biologi jika mahu terus hidup bebas seperti spesies lain.
Malangnya, haiwan sebesar paus pun tidak mampu berdepan dengan masalah sedemikian sedangkan andaian mudah kita ialah, saiznya yang begitu besar memungkinkan haiwan berkenaan tersebut menghadapi sebarang gangguan persekitaran.
Namun, sekian banyak insiden membabitkan paus atau lumba-lumba terdampar di pesisir pantai memberi gambaran lain bahawa bukan masalah pencemaran semata-mata yang boleh menjejaskan kehidupannya.
Malah hasil perbincangan dengan beberapa pengkajian haiwan berkenaan menyatakan kehidupannya sama seperti manusia. Hanya persekitaran air dan darat sahaja yang membezakannya.
Menurut Pegawai Konservasi Kanan Persatuan Alam Sekitar Malaysia (MNS), Fairul Izmal Jamal Hisne, ada beberapa faktor yang menyebabkan paus tersadai di tepi pantai dalam keadaan lemah dan sebagainya.
"Kita tidak berapa pasti, (mungkin) sakit atau terluka terkena bot atau arus kuat menyebabkannya sakit atau terluka,'' katanya.
Ada kemungkinan masalah yang berlaku kerana ikan berkenaan terperangkap dalam arus pasang surut atau masalah pantulan bunyi yang digunakannya.
Sehubungan itu MNS kata beliau, telah menggerakkan satu program penyelidikan mamalia marin bertujuan untuk mengkaji populasi mamalia marin di Semenanjung Malaysia.
Gangguan mental
PROGRAM yang telah bermula sejak pertengahan 2009 dan pada Mac tahun lalu bermula di Pulau Tioman untuk mengkaji mamalia marin seperti paus dan lumba-lumba, terutamanya untuk menilai bilangan populasi yang terdapat di perairan pulau tersebut serta dan kawasan taburan mereka.
"Kajian di Tioman telah diadakan dua kali iaitu pada Mac dan Jun lalu dan dijangka siap dalam tempoh setahun," kata Fairul.
Menurutnya, kajian awal mendapati terdapat beberapa spesies lumba-lumba dan paus di Tioman.
Sementara itu, menurut Ketua Unit Kajian Mamalia Marin (CeMMS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Saifullah A. Jaaman, antara faktor mamalia itu terdampar ialah kegagalan ikan paus menganggar kedalaman laut dengan baik.
Katanya, semasa berenang haiwan tersebut memerlukan pandu arah yang betul dan memerlukan navigasi yang tepat serta dapat menganggarkan kedalaman laut
Jika paus gagal melakukannya, ia boleh tersesat dan terdampar di pantai.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan seperti manusia juga, pencemaran mengurangkan kualiti hidup spesies berkenaan.
Keadaan cuaca buruk seperti laut bergelora boleh mengakibatkan spesies berkenaan lemas dihempas ombak.
Pada masa sama, ada kemungkinan paus berkenaan melarikan diri daripada pemangsa dan tersesat. Selain itu, faktor memakan makanan toksik juga boleh mengakibatkan paus terdampar.
Saifullah berkata, sebagai haiwan hidup, spesies berkenaan juga mempunyai deria sendiri. Pada ikan paus, terdapat organ penderia yang dipanggil eko lokasi.
Penderia berkenaan penting sebagai penduga gema (eco sounder) dan kegagalannya berfungsi akibat gangguan geo magnetik boleh menyebabkan spesies berkenaan hilang arah.
Masalah tersebut boleh berlaku di kawasan air laut yang mempunyai gangguan seperti perairan Bermuda yang mana terdapat gangguan medan magnet.
"Kita juga perlu mengetahui bahawa mamalia marin sama seperti hawian didarat yang mempunyak kawan dan ada ikatan sosial di kalangan kumpulannya.
"Boleh berlaku gangguan mental jika ada dan bunuh diri sebab ia mamalia,'' katanya.
Masalah lain yang turut mengancam paus atau lumba-lumba ialah kemungkinan terlanggar kapal atau berlaku kerja-kerja penggalian minyak di tengah laut.
Ini boleh menyebabkan paus cedera atau berlaku gangguan pergerakannya kerana haiwan berkenaan sangat sensitif.
Sementara itu dalam ha ehwal berkaitan pemuliharan, Jabatan Perikanan, merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam aspek penjagaan mamalia berkenaan.
Ikan yu paus atau nama saintifiknya rincodon typus antara spesies yang dilindungi kerana diancam kepupusan.
Spesies tersebut dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu tidak boleh ditangkap atau memilikinya
Bagaimanapun timbul masalah memandangkan kalangan nelayan tidak mengetahui larangan tersebut.
Menangkap yu paus ini merupakan satu kebanggaan sedangkan mereka yang berbuat demikian boleh didakwa.
Oleh itu, undang-undang, perlu dikuatkuasakan supaya masyarakat menyedari dan memahami mengenai perlindungan terhadap yu paus.
Difahamkan Jabatan Perikanan mempunyai pusat untuk melindungi mana-mana spesies yang ditemui terdampar untuk diselamatkan.
Sebagai contoh beberapa tahun lepas, apabila dugong terdampar di perairan Johor, jabatan berkenaan mempunyai pusat untuk menyelamatkan spesies berkenaan.
Spesies yu paus tergolong dalam haiwan dilindungi kerana ia lambat membiak dan lambat membesar.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: