Friday, March 18, 2011

Peluang berniaga di One Stop Bazaar



BERPEGANG kepada konsep ‘semua orang boleh menjual dan membeli’, One Stop Bazaar@Maeps adalah tapak terbaik buat semua orang yang ingin memulakan perniagaan.

Ini terutamanya kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana dengan tumpuan diberikan kepada golongan bumiputera yang ingin menjalankan perniagaan kecil-kecilan secara mudah.

Terletak di Pintu 1 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), pasar ini dibuka setiap hari Sabtu dari jam 4 petang hingga 2 pagi.

Pengurus bazar, Ibrahim Hashim ketika dihubungi berkata, bayaran sewa dikenakan sebanyak RM500 untuk tempoh setahun manakala RM32 sebulan untuk utiliti.

"Sebanyak 150 tapak sudah disewakan dan kami masih membuka peluang kepada peniaga yang berminat.

"One Stop Bazaar@Maeps berkonsep pasar malam dan car boot sale atau pasar terbuka. Selain itu, medan selera turut disediakan di sini yang menjadi tarikan kepada pengunjung untuk beli belah," katanya.

Beliau berkata, antara barangan yang dijual termasuklah pakaian dan aksesori, barangan am dan barangan terpakai.

"“Persekitaran bazar menarik juga sesuai sebagai tempat beriadah kerana ada litar go-kart, kolam memancing serta kawasan bermain layang-layang dan helikopter.

“Kami berbincang dengan Maeps untuk mengadakan pesta buah-buahan tempatan sebulan dengan kerjasama Fama,” katanya.

Pemilihan tapak di Maeps amat strategik memandangkan terdapat pelbagai kemudahan awam seperti tempat letak kereta yang luas, tandas awam, kemudahan pengangkutan dalaman yang canggih dan kawasan riadah.

Menurut Ibrahim, objektif penganjuran bazar ini adalah untuk menggalakkan bumiputera menceburi perniagaan kecil dengan kos permulaan yang rendah.

"Kepada usahawan yang berminat, boleh mengunjungi bazar ini untuk melihat peluang perniagaan yang boleh dijalankan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: