Tuesday, March 22, 2011

Pelayar muda menguji Foundation 36


PARA peserta yang menyertai Klinik Pelayaran Remaja bersama sijil masing-masing di Ri-Yaz Heritage Marina Resort And Spa, Pulau Duyung, Kuala Terengganu baru-baru ini.


SUASANA di bilik itu cukup tenang. Hampir semua mata tertumpu kepada gerak percakapan si tenaga pengajar. Masing-masing giat menulis, takut tertinggal petua mahupun panduan penting sebelum bergelar sang pelayar.

Di luar pula, langkah anak-anak kecil itu makin besar. Mereka melalui jeti kayu dengan seribu pengharapan. Masing-masing bercerita soal taktikal dengan misi menakluk lautan luas.

Sedikit masa lagi, mereka sudah mampu bersorak gembira di atas sebuah kapal layar.

Pengalaman santai tapi berguna itu dilalui 28 peserta muda berusia antara 14 hingga 17 tahun ketika menyertai Klinik Pelayaran Remaja EPIC baru-baru ini.

Klinik yang diadakan saban tahun itu adalah hasil inisiatif Kelab Perbendaharaan Negeri Terengganu (KPNT) dengan kerjasama anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC).

Menjadikan Ri-Yaz Heritage Marina Resort And Spa yang terletak di muara Sungai Terengganu di Pulau Duyung, Kuala Terengganu sebagai medan pembelajaran, 28 anak muda itu diberikan pelbagai pendedahan meliputi latihan teori dan praktikal.

Program selama dua hari bermula 13 Mac itu merupakan kesinambungan daripada program pertama pada Mac tahun lalu yang bertujuan untuk menanamkan minat generasi muda untuk bergiat secara serius dalam sukan pelayaran.

Pengerusi KPNT, Mohd. Huzairil Nizam Ibrahim berkata, klinik itu secara langsung mampu memberi pendedahan kepada anak-anak muda akan cabaran sebenar aktiviti pelayaran.

Lebih menarik katanya, program itu dikendalikan oleh T-Best Events, iaitu agensi yang bertanggungjawab mengurus dan menganjurkan kejohanan kapal layar Piala Monsun setiap tahun.

"Sama seperti tahun lalu, sebanyak empat pasukan telah menyertai klinik ini dan seterusnya menguji kemampuan pasukan dengan Pertandingan Pelayaran Remaja EPIC pada hari keduanya.

"Apa yang menarik, pasukan pelayar muda ini berpeluang untuk menimba pengalaman dengan berlatih menggunakan perahu layar Foundation 36, iaitu perahu yang sama digunakan pelayar dalam kejohanan kapal layar Piala Monsun," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Empat pasukan yang terlibat ialah Treasury Junior, Permint Junior 1, Permint Junior 2 dan pasukan dari Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Chendering.

Tenaga pengajar profesional

Tambah Mohd. Huzairil, peserta didedahkan dengan aspek asas tentang sukan layar yang merangkumi isu keselamatan dan format pertandingan serta pelbagai jenis perlumbaan dalam lapan sesi program.

Katanya, selain penerangan berbentuk teori di dalam kelas, peserta turut dibawa ke marina bagi menunjukkan sebahagian daripada jenis-jenis kapal yang digunakan untuk kejohanan dan fungsi setiap posisi awak dalam perlumbaan.

"Para peserta akan diajar aspek teknikal, peraturan perlawanan, taktik dan strategi sebelum empat pasukan itu bersaing di antara satu sama lain pada penghujung program.

"Peserta turut didedahkan dengan cara mengawal keadaan semasa dalam kapal dan aspek pengendalian layar dengan baik," jelasnya.

Apa yang penting katanya, program itu menekankan aspek keyakinan dalam diri peserta untuk menghadapi segala cabaran secara berkumpulan dan menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam diri masing-masing.

Peserta juga berpeluang untuk belajar secara langsung daripada pelatih yang sememangnya berpengalaman dan telah mencipta nama sebelum ini seperti David Mills yang juga Pengurus Kejohanan Piala Monsun.

Turut diberi kepercayaan menjadi mentor pada program itu, juara Malaysia Match Racing (MMR) 2010, Sean Ong Khong Shing, juara MMR 2009, Hazwan Hazim Dermawan, juara MMR 2008, Nurul Ain Md. Isa dan pelajar Elite dari pasukan kebangsaan, Nik Ashraf Qaedi.

Sementara itu, Pengarah Urusan EPIC, Ramli Shahul Hameed dalam ucapan penutup program itu berkata, pendedahan itu dibuat bagi memberi peluang anak tempatan menunjukkan bakat yang sebelum ini tidak pernah digilap walaupun mempunyai kemahiran.

Katanya, pihak penaja berharap lebih ramai jaguh mampu dilahirkan di peringkat antarabangsa bagi bersaing dengan pelayar luar negara.

"Dengan sokongan kerajaan dan pihak swasta, ia adalah kunci kepada usaha memartabatkan sukan itu. Ia membuka peluang untuk sesi latihan sama ada pada hujung minggu atau setiap kali cuti penggal persekolahan.

"Sekurang-kurangnya mereka mempunyai satu pengalaman pembelajaran yang baru selain daripada tumpuan dalam bidang akademik," katanya.

Dalam pada itu, Mills juga mahu memperbetulkan persepsi masyarakat yang menganggap sukan perahu layar sebagai sukan mahal.

Katanya, peluang kini lebih terbuka dengan segala kelengkapan dan kemudahan yang sudahpun disedia oleh pelbagai pihak.

"Mereka yang berminat serta mempunyai kesungguhan tidak perlu membeli sebuah kapal tetapi, cukup sekadar dengan baju keselamatan dan sepasang sarung tangan," katanya tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: