Tuesday, March 8, 2011

Pekan Teater UKM 2011



Teater adalah sebahagian cabang seni dan sastera diketengahkan dan berkembang menjadi persembahan menarik.

Masyarakat kampus tidak terlepas mengikuti perkembangan teater di Malaysia dan semakin ramai penggerak teater dalam kalangan penuntut.

Bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang peranan dan kedudukan teater, Pusat Kebudayaan (Jabatan Perkhidmatan Pelajar) dan Urus Setia Artisukma Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Pekan Teater UKM pada 24 hingga 28 Februari lalu.

Acara dalam bentuk pertandingan antara kolej kediaman UKM menjadikan teater sebagai alat pendidikan dan wacana yang dapat membangunkan minda masyarakat.

Kelab Teater Prasada dari Kolej Tun Hussein Onn mempersembahkan naskhah Bukan Dejavu menguasai acara dengan memenangi 10 daripada 18 anugerah dipertandingkan.

Pengarahnya yang memenangi Anugerah Pengarah Terbaik, Syed Omar Faizal berkata, kumpulannya memilih karya Ismail Hassan itu kerana memaparkan realiti dalam masyarakat.

“Skrip Bukan Dejavu dipilih kerana bersifat teater realis yang mengisahkan kehidupan masyarakat kos rendah yang mempunyai tahap ekonomi rendah.

“Elemen ini dilihat sebagai kebenaran dalam kehidupan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, pelakon utamanya Maizura Osman menyifatkan usaha melakukan persiapan awal berbaloi apabila diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

“Watak Narti dibawa agak mencabar ke-rana terpaksa menggunakan loghat Indonesia dan teknik hafalan secara persendirian.

“Saya perlu menghafal skrip dalam dua minggu kerana terlibat dengan pementasan khas Kelab Teater Rimba,” katanya.

Setiap persembahan di Pekan Teater UKM dinilai juri berpengalaman, Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Fadilah Hussin; Yang Dipertua Majlis Teater KL, Ibrahim Akhir dan Naib Yang Dipertua Majlis Teater KL, Sakrani Shamsuddin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: