HIKAYAT Merong Mahawangsa (HMM) antara filem paling dinanti 2011. Rata-rata meletakkan harapan tinggi berikutan gahnya produksi, set, watak dan jalan ceritanya. Reaksi itu sekali gus mengundang tekanan kepada pengarahnya, Yusry Abdul Halim.
Jujur, terselit rasa takut apabila ramai mengharap filem ini gah juga hasilnya. Adakalanya mereka terlupa yang ini baru filem ketiganya selepas Cicak Man dan Cicak Man: Planet Hitam. Biarpun sudah lama dalam industri bersama empayar KRU, untuk pengarahan filem dia masih belajar.
Akui adik kepada Norman dan abang kepada Edry ini, HMM satu tugasan berat buatnya, bahkan pernah terlintas di fikiran barangkali filem ini tidak mampu disiapkan.
Pun begitu, berkat kegigihan semua pihak terbabit, akhirnya ia berjaya dilunaskan dalam masa 52 hari dan dipertontonkan di seluruh negara sejak Khamis lalu.“Banyak sungguh dugaan saya dan kru tempuh untuk hasilkan epik ini. Selain melakukan banyak penyelidikan menerusi buku, Internet dan bertemu ramai pakar sejarah termasuk mereka yang arif dengan kapal, saya tidak ada rujukan dalam penghasilan filem sebegini.“Perit rasanya apabila melakukan sesuatu berpandukan bayangan sendiri tetapi sebagai pengarah, saya sudah melakukan yang terbaik pada ketika itu.
“Kali terakhir filem epik dihasilkan di negara kita adalah Puteri Gunung Ledang. Biasanya filem genre ini membabitkan beratus-ratus ekstra malah dalam satu babak perang dalam HMM, saya gunakan kira-kira 400 pelakon. Bukan mudah mencari dan mengendalikan pelakon seramai itu.
“Paling tidak dapat saya lupakan, untuk babak di Goa saya tidak tahu di Terengganu tidak ramai penduduk berbangsa India. Bila tiba hari penggambaran, kami terpaksa ambil orang India dari Kuantan.
“Kekangan paling besar dalam menghasilkan filem ini adalah kita tiada banyak pilihan, malah kita kekurangan tenaga kerja mahir.
“Dengan adanya HMM, diharap kru akan lebih yakin kerana mereka ada pengalaman bersama saya dan ia jadi permulaan baik untuk penghasilan lebih banyak filem epik selepas ini,” katanya.
Mengangkat naskhah sastera tersohor yang luar biasanya penceritaannya, jejaka kacak ini melakukan beberapa perubahan bagi memastikan visual di layar perak nanti lebih logik dan dapat diterima akal.
Berlatarkan kehidupan Merong Mahawangsa ribuan tahun lalu dan membabitkan ratusan karakter, dia juga perlu bijak memilih babak sesuai untuk diabadikan dalam filem berdurasi hampir dua jam. Tersilap perhitungan, hasilnya kurang menarik dan natijahnya pasti ada suara sumbang berkokok di sana sini.
“Projek ini menuntut penyelidikan teliti dalam segala aspek, termasuk kostum. Saya perlu berhati-hati kerana jika terlampau lari jauh dari cerita asal, pasti akan dihentam teruk dan begitu juga sebaliknya.
“Saya tidak mahu terlalu terikat dengan hikayat kerana penceritaan dulu kala mungkin metafora dan ia tidak boleh diambil bulat-bulat. Hikayat ini ada banyak versi dan kita pun tak tahu yang mana satu betul.
“Ada beberapa fakta yang saya ubah bagi memastikan ia nampak lebih logik dan ada juga babak yang diwujudkan untuk menambah nilai sinematik. Yang boleh disimpulkan, saya cuba sejarahkan fakta mitos, mana yang boleh menyinggung sensitiviti, saya buang.
“Kalau ikut hikayat, Merong berasal dari Rom dan bertanggungjawab menjaga keselamatan putera Rom yang akan dikahwinkan dengan puteri dari China. Untuk mengelak penonton fikir raja pertama kita orang luar, saya ubah fakta di mana bapa Merong orang Rom tetapi ibunya orang kita, padahal dalam hikayat tidak dinyatakan mengenai ibunya.
“Begitu juga dengan serangan burung garuda. Bagaimana mahu menggambarkan burung garuda padahal tidak pernah ada dalam bukti bertulis bahawa burung bersaiz gergasi itu wujud, jadi saya tukarkan karakter itu kepada puak lanun.
“Pendek kata, dalam penghasilan filem ini saya mahu jalan cerita yang lebih realistik,” katanya yang turut menjelaskan, HMM dihasilkan dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Tambah Yusry, filem ini yang sebahagian besarnya menjalani penggambaran di Terengganu membabitkan ramai pelakon tempatan dan luar negara.
Wujud sedikit cabaran di awal penggambaran apabila kebanyakan pelakon luar tidak memahami cara kerja di sini dengan meminta disediakan kemudahan peribadi seperti caravan, tetapi dapat diatasi dengan mudah apabila masing-masing bersikap profesional dan terbuka.
“Saya jelaskan kepada mereka, di sini kita tidak menyediakan kemudahan seperti itu. Bahkan, ada antara mereka sangat teruja melihat matahari dan mahu berjemur tetapi saya larang kerana mahu jaga konti.
“Syukur, biarpun budaya kerja berbeza, mereka hormat permintaan saya,” kata Yusry.
Untuk filem ini, Yusry berani mempertaruhkan Ummi Nazeera sebagai Embok, isteri Merong Mahawangsa. Baginya, Ummi memiliki kriteria yang dicarinya iaitu wajah Melayu tulen.
“Beberapa pelakon terkenal datang uji bakat untuk watak ini tetapi tiada kriteria itu. Saya mahu muka baru dan jarang keluar di layar perak. Untuk memenuhi kriteria ini saya minta kru cari pelakon teater.
“Bila jarang muncul, penonton tidak akan bandingkan pelakon itu dengan karakter yang pernah dibawanya sebelum itu. Menjadi hasrat saya mahu penonton ingat nama watak, bukan nama pelakon, apabila menonton HMM.
“Akhirnya saya jumpa ciri itu pada Ummi. Tidak dinafikan Embok tidak banyak babak, tapi peranannya sangat besar dalam filem ini. Dialah kekuatan sebenar Merong dan insan yang bertanggungjawab membuka mata hati pahlawan hebat itu untuk melihat kehidupan dalam kontaks sebenar,” katanya.
Sementara itu, peluang bekerja dengan empayar KRU sememangnya dinanti Ummi Nazeera. Biarpun terikat dengan penggambaran filem Nur Kasih, dia tidak bisa menolak tawaran HMM yang disifatkan umpama bulan jatuh ke riba.
HMM memberi pengalaman baru kepadanya apabila buat pertama kalinya terbabit dengan jalur epik dan berpeluang berlakon di samping ramai nama besar dari dalam serta luar negara. Lebih menarik, dia dapat merasa bagaimana seronoknya berlakon dalam set yang dibina.
“Terus-terang, saya teringin bekerja dengan KRU Studios dan apabila dapat tahu HMM akan dihasilkan, saya berharap sangat diberi peluang. Alhamdulillah, selepas tiga kali menghadiri uji bakat, watak Embok menjadi milik saya.
“HMM sebuah produksi besar dan memberi pengalaman berharga. Di sinilah saya mula kenal gerak kerja filem epik dan betapa seronoknya bekerja dalam set yang dibina khas.
“Lebih buat saya teruja, ia akan dipasarkan di banyak negara. Ia secara tidak langsung membuka laluan kepada barisan pelakon untuk dikenali di luar negara.
“Menerusi filem ini juga saya dapat bergaul dengan ramai teman artis dari luar negara. Biarpun datang dari pelbagai latar belakang dan budaya, kami dapat menyesuaikan diri dengan mudah.
“Secara peribadi, saya senang dengan cara mereka yang sangat terbuka dan tidak lokek ilmu. Kami boleh berbual mengenai banyak perkara, mereka tidak lokek berkongsi ilmu,” katanya.
Tatkala diusik persepsinya terhadap sutradara HMM, sambil menjeling Yusry, gadis berkulit hitam manis ini mengakui pertama kali bertentang muka dengan jejaka popular itu, dia dihimpit perasaan takut.
Ini kerana Yusry sangat serius di lokasi, ditambah lagi dengan faktor usia mereka yang berbeza hingga wujud sedikit rasa tidak selesa ketika berkomunikasi. Bagaimanapun, kekangan itu dapat ditepis perlahan-lahan apabila dia berdiri sebagai Embok.
“Saya tidak pernah bekerja dengan Yusry. Pertama kali bertemunya, hati saya berdebar-debar kerana tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara.
“Lihat air mukanya yang serius, lagi buat saya rasa takut. Apapun, selepas beberapa hari saya dapati Yusry baik hati orangnya dan sangat menitik beratkan kebajikan pelakon.
“Saya sangat kagum dengan cara kerjanya. Ketika melakukan sesuatu dia sangat bersungguh-sungguh, malah kreativitinya di luar dugaan kita.
“Pun begitu, saya tidak berpeluang mengenalinya dan barisan kru dengan lebih rapat kerana terpaksa berulang-alik dari lokasi HMM ke Nur Kasih. Kalau tidak terikat dengan Nur Kasih, mungkin banyak yang boleh saya kongsi pandangan saya terhadap Yusry di sini,” katanya.
Mengulas wataknya sebagai Embok, Ummi tidak menafikan ia memberi cabaran besar kepadanya, apatah lagi perlu beraksi di samping Stephen Rahman-Hughes yang terbukti kehebatannya menerusi pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang.
“Embok secara zahirnya nampak lemah lembut tetapi dia wanita yang keras kepala. Berdepan beberapa peristiwa yang menyakitkan, termasuk kehilangan ibu bapa tercinta, membuatkan hatinya keras.
“Embok suka memendam perasaan dan sanggup mengenepikan rasa cintanya terhadap Merong Mahawangsa. Sesungguhnya watak ini menuntut saya banyak bermain dengan emosi.
“Paling mencabar ialah babak memeluk Merong, saat perpisahan dengan Merong dan baling barang. Saya bertuah kerana Stephen banyak membantu.
‘Kebetulan pula sebelum masuk lokasi, kami menghadiri kelas lakonan kelolaan cikgu Fatimah Abu Bakar selama dua minggu. Ia memudahkan saya mencari keserasian diri dengan watak Embok dan Merong,” katanya yang memutuskan untuk berehat tiga tahun bagi menumpukan perhatian terhadap pengajian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: