MASA bersekolah dulu, Mohd. Haziq Ariffin, 21, sering diejek rakan-rakan kerana mempunyai kaki yang leper sehinggakan ada yang mengejek dia berjalan seperti itik.
“Saya tidak sedar mengenai keadaan kaki saya sehinggalah rakan-rakan dan keluarga memberitahu yang saya berjalan tidak normal.
“Pada masa itu saya ingat ia merupakan kecacatan kekal dan tiada rawatan spesifik. Lagipun kaki saya tidak merasa sakit ketika berjalan,” katanya ketika ditemui Jurnal di Hospital Pantai Cheras (PHC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujar anak ketiga daripada empat beradik itu, dia mulai sedar kasut yang dipakai cepat haus semasa berumur 13 tahun .
Bahagian tepi kasut cepat rosak sehingga Haziq terpaksa menukar kasut yang baru.
“Saya juga mula rasa sakit pada bahagian pergelangan kaki, betis dan lutut. Jika berdiri terlalu lama kaki saya juga cepat merasa lenguh.
“Malah, saya juga tidak dapat melakukan kerja berat seperti mengangkat barang dan tidak aktif bersukan,” katanya yang kemudiannya mendapat rawatan di salah sebuah hospital swasta.
Haziq hanya diberikan pelapik kasut khas yang mempunyai lengkungan untuk kakinya.
Menurutnya, semasa memakai alat tersebut kakinya tidak merasa sakit tetapi apabila tidak memakai pelapik tersebut kakinya kembali merasa sakit terutama ketika di dalam rumah.
|
|
“Akhirnya, sakit saya mula melarat di bahagian pinggang dan tulang belakang. Saya juga tidak dapat tidur dengan lena dan akhirnya mengambil keputusan mendapatkan rawatan pakar lain,” kata pelajar jurusan pengurusan perhotelan di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak).
Menurut Pakar Perunding Kaki dan Pergelangan Kaki Hospital Pantai Cheras, Dr. Khairul Faizi Mohammad, disebabkan keadaan kesihatan Haziq bertambah teruk dan umurnya yang semakin meningkat, pelapik kaki atau kasut khas tidak lagi mampu merawat.
“Haziq perlu melakukan pembedahan untuk membetulkan keadaan kakinya yang leper,” katanya yang berpengalaman selama enam tahun dalam rawatan penyakit yang melibatkan kaki dan pergelangan kaki.
Ujar Khairul, ada tiga punca utama kenapa kaki menjadi leper. Salah satu daripadanya disebabkan tendon tibialis posterior yang bermasalah semasa proses tumbesaran.
Selain itu, kecederaan yang melibatkan tendon ketika kemalangan juga boleh menyebabkan kaki menjadi leper.
“Bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis juga berpotensi menyebabkan kaki yang normal menjadi leper.
“Sebabnya, ia memberi kesan terhadap urat saraf dan juga sendi pada kaki sekali gus menyebabkan otot-otot kaki menjadi kendur dan leper,” katanya.
Jelasnya, sememangnya orang ramai tidak akan sedar mengenai penyakit tersebut kecuali apabila kaki mula merasa sakit.
Menurut Khairul, biasanya penyakit kaki leper berlaku pada kedua-dua belah kaki jadi rawatan membetulkannya adalah perlu.
“Pembedahan perlu dilakukan untuk mendapatkan lengkungan pada kaki. Caranya ialah dengan mematikan sendi-sendi yang tidak penting atau tidak terlalu besar pada bahagian jari kaki.
|
|
“Selain itu, pesakit juga perlu melakukan proses memendekkan arca di bahagian dalam kaki dan memanjangkan arca di bahagian luar kaki,” katanya mengenai prosedur pembedahan penyakit kaki leper.
Ulasnya, urat keting pada kaki juga terpaksa dilonggarkan dengan tujuan untuk mendapatkan bentuk kaki yang normal.
Selepas itu, satu alat berupa rod titanium dimasukkan ke dalam kaki dan alat berbentuk X iaitu plat X diletakkan seumur hidup bagi mendapatkan bentuk dan mengimbangkan keadaan kaki.
Tambahnya, selepas pembedahan pesakit juga perlu melakukan fisioterapi dalam masa dua hingga tiga bulan untuk memulihkan keadaan kaki.
Ditanyakan mengenai kaki bayi mahupun kanak-kanak yang leper, Khairul meberitahu, perkara tersebut adalah normal.
“Ibu bapa tidak perlu risau jika kaki anak leper kerana biasanya selepas umur kanak-kanak tersebut menjangkau lima hingga enam tahun, mereka akan mendapat bentuk kaki yang normal.
“Pembedahan hanya dilakukan pada mereka yang tumbesarannya sudah terhenti. Sebagai contoh, dalam lingkungan umur 20 tahun ke atas,” katanya lagi.
Haziq selepas menjalani pembedahan pada tahun lepas, kini sudah tidak merasa sakit di bahagian kaki, lutut, pinggang dan tulang belakang.
“Saya rasa macam mendapat kaki yang baru dan sudah boleh melakukan kerja-kerja dengan baik,” katanya kini melakukan latihan praktikal di Hotel Shangri-La Putrajaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: