Saturday, March 19, 2011

‘Mandarin Battle Star’ ntv7 Bantu Pelajar Berjaya UPSR

Datuk Ir Dr Wee Ka Siong berbual mesra dengan para pelajar yang menyertai program Mandarin Battle Star.

PETALING JAYA: Atas sambutan yang memberangsangkan, Mandarin Battle Star, program candawara pendidikan berbahasa Mandarin di ntv7 diteruskan ke musim kedua bermula 8 Mei ini.

Ia keudara pada setiap Ahad, pukul 7 malam.

Menurut Pengurus Penjenamaan ntv7, Lai Cheah Yee, program ini bukan sahaja membantu meningkatkan penguasaan bahasa Mandarin di kalangan pelajar sekolah rendah malah turut membantu mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berjaya dalam subjek tersebut.

Katanya, pencapaian yang ditunjukkan oleh para pelajar darjah enam yang menduduki peperiksaan itu pada tahun lalu amat luar biasa.

Airin Zainul.

“Kami mendapat maklum balas program ini amat digemari oleh pelajar, guru-guru di sekolah jenis kebangsaan (Cina), ibu bapa serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan rating program ini semakin meningkat.

“Saya melihat pelajar yang menyertai program ini sangat bersungguh-sungguh untuk menang dan jika kalah mereka akan menangis,” kata Cheah Yee kepada mStar Online semasa majlis pelancaran Mandarin Battle Star di Hotel Royale Bintang, di sini, Jumaat.

Tambahnya: “Walaupun kalah, kami akan memberikan dorongan kepada mereka untuk berjaya dan membakar semangat mereka agar bertanding semula dalam pusingan wildcard.

“Pasukan yang telah disingkirkan akan diberi peluang kedua untuk bertanding dalam pusingan akhir.

"Pada akhir musim nanti, Mandarin Battle Star Celebrity Special akan diadakan, yang mana tiga selebriti akan bertanding dengan para finalis.”

Seperti tahun lalu, ujian telah diadakan serentak di sembilan lokasi untuk memberi peluang kepada peserta bertanding dalam program ini.

Seramai 321 pelajar dari 107 sekolah jenis kebangsaan (Cina) dicabar dengan kuiz bahasa Mandarin dan pengetahuan umum serta syarahan dalam bahasa tersebut.

Keputusan menetapkan 16 buah sekolah terbaik yang dipilih untuk menyertai program akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong.

Setiap permainan menampilkan empat pasukan yang terdiri dari pelajar darjah empat hingga enam.

Pasukan pertama terdiri dari SJK (C) Kim Sen, Bukit Mertajam yang pernah menjuarai program tersebut musim pertama, SJK (C) Chian Kuo, Muar, SJK © Chung Hwa Tiga, Muar dan SJK © Puay Chai 2, Damansara.

Pasukan kedua adalah SJK © Foon Yew 2, Johor Baru, SJK © Chee Wen, Subang Jaya, SJK © Pin Hwa 1, Klang dan SJK © Chong Hwa, Setapak.

Pasukan ketiga adalah SJK © Foon Yew 1, Johor Baru, SJK © Kg Baru Mambau, Seremban, SJK © Chuang Hua, Miri dan SJK © St James, Sibu.

Sementara pasukan keempat adalah SJK © Han Chiang, Pulau Pinang, SJK © Ai Chun 1, Batu Pahat, SJK © Chung Hua, Seremban dan SJK © Pui Gin, Sandakan.

Empat cabaran yang akan diberikan kepada peserta program yang disiarkan dalam bentuk rakaman ini seperti kuiz pengetahuan am, sains, kesusasteraan Mandarin dan bahasa baku mandarin untuk dijawab dalam masa kurang dari seminit.

Pasukan yang menang bakal membawa hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 untuk dana sekolah diikuti RM10,000 (naib juara) dan RM5,000 (ketiga) serta peluang menang hadiah seperti komputer riba dan kamus elektronik Besta berjumlah RM100,000.

Turut hadir ke majlis pelancaran tersebut adalah Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar dan Pengurus Besar ntv7 dan 8TV, Airin Zainul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: