Wednesday, March 16, 2011

Mahu lasak

Foto

  • Foto

  • Foto

Puas lakonkan watak berat, Elaine Daley idam karakter lebih agresif

BIARPUN dia sebenarnya sudah berlakon hampir sedekad lalu, namun peminat nampaknya semakin mengenali siapa Elaine Daly sebaik saja namanya diumumkan sebagai Pelakon Drama TV Wanita Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2010, Februari lalu.
Hasil persembahannya sebagai jururawat yang menyokong perjuangan penentangan terhadap penjajahan Jepun di negara ini, Sybil Kathigesu, dalam drama Apa Dosaku berjaya memikat hati juri, seterusnya mengetepikan saingan empat pencabar lain iaitu Lisdawati (Sebelum Akhirat), Ellie Suriaty (Kaki), Kartina Aziz (Bebayang Fitri) dan Dira Abu Zahar (Perempuan).Elaine yang kebetulannya cucu saudara kepada watak dimainkannya itu mengaku, perhatian lebih banyak diberikan kepada seseorang pelakon apabila dia memenangi sesuatu anugerah. Dirinya tidak terkecuali daripada kebiasaan itu.

"Sudah lama juga saya berlakon. Namun hanya sejak akhir-akhir ini saya berjaya mendapat watak yang mencabar kemampuan diri. Entahlah, mungkin sebelum ini penerbit lebih melihat diri saya sebagai seorang model, lalu peranan diberikan juga lebih kurang sama.

"Pada peringkat permulaan, memang agak sukar juga untuk saya memahat nama dalam bidang ini. Namun syukurlah, kerana sejak tahun lalu lebih banyak watak berisi dapat saya jayakan.

“Drama seperti Apa Dosaku, Ku Mohon dan Menunggu Takbir Raya antara drama yang menguji keupayaan," katanya.
Menurut wanita berusia 34 tahun ini, sememangnya dia gemarkan drama berat dan peluang beraksi dalam drama arahan Bernard Chauly itu kesempatan yang cukup dihargai.

"Selain buat kajian terhadap watak yang diberikan, saya juga banyak mendapat tunjuk ajar daripada Bernard. Dia membantu saya untuk menjiwai watak terbabit.

"Apatah lagi pada usia saya sekarang, pelbagai pengalaman sudah dilalui. Pengalaman itu tentunya sedikit sebanyak mematangkan diri. Lalu, saya anggap semua faktor itu membantu lakonan saya dalam drama ini.

"Pengalaman hidup antara faktor penting dalam mematangkan seseorang pelakon. Jika kita lihat di Hollywood sekalipun, ramai aktres berjaya seiring peningkatan usia mereka," ujarnya yang kelihatan anggun dalam rekaan Rizman Ruzaini untuk sesi fotografi bersama Hip ini.

Begitupun, usah menyangka Elaine kini hanya mengidamkan watak drama berat mahupun peranan air mata semata-mata, selepas anugerah berada dalam genggamannya.

"Saya suka mencuba filem aksi atau samseng. Tidak pun sebagai seorang wanita tomboy. Sebabnya, sering kali orang ramai melihat saya sebagai wanita anggun. Jadi, saya ingin melakonkan sesuatu watak yang nyata berbeza daripada apa yang mereka selalu nampak.

"Kalau dapat jadi perempuan kampung pun pasti menyeronokkan. Tetapi, ramai yang kata, saya terlalu tinggi untuk watak sedemikian," katanya sambil menguntumkan senyuman.

Hakikatnya Elaine wanita yang tinggi lampai iaitu 173 sentimeter, sesuai status model yang dipegangnya. Wanita berdarah campuran Serani dan Cina ini juga pernah bergelar Ratu Malaysia Universe 2003.

Makin galak dapat tawaran

SELEPAS pembabitannya dalam Apa Dosaku, seterusnya menggenggam trofi pada ASA 2010, wanita ini mendedahkan banyak tawaran yang datang kepadanya. Namun, sebahagiannya terpaksa diketepikan dulu kerana dirinya terikat dengan beberapa kerja di Singapura, selain turut mengagihkan waktu mengacarakan rancangan Bella di ntv7.

"Selepas Sybil, saya tidak menerima sebarang tawaran berlakon selama enam bulan lamanya. Bukan tiada undangan yang datang, tetapi saya mendapati sukar untuk saya lepaskan karakter Sybil daripada diri saya. Kemudian, saya terikat pula dengan penggambaran siri komedi berjudul Silver Lining untuk Channel 5 di Singapura, yang baru saja diselesaikan.

"Kemampuan menguasai kedua-dua bahasa, Melayu dan Inggeris, nyata banyak faedahnya. Pada ketika saya dapat berlakon dalam produksi berbahasa antarabangsa, saya juga diterima oleh peminat Melayu. Ia rahmat yang sangat saya hargai," katanya yang mengaku berjaya menajamkan lagi penguasaan bahasa Melayu apabila terbabit dalam produksi tempatan.

Mengenai desas-desus dirinya ingin mengembangkan sayap ke Jakarta, Elaine yang turut diuruskan sebuah agensi di Singapura berkata, perkara itu tidak berada dalam perancangannya, sekurang-kurangnya buat masa sekarang.

"Mungkin cerita itu timbul apabila saya dan teman baik, Carmen Soo, berada di sana kerana menonton konsert Datuk Sheila Majid. Sedangkan, itulah kali pertama saya ke Jakarta selepas sekian lama. Perancangan untuk menonton konsert Sheila sudah lama diatur. Bersesuaian dengan sambutan ulang tahun hari lahir saya, maka kami pun ke sana. Apatah lagi saya peminat nombor satu Sheila," ujarnya.
Namun begitu, Elaine tidak akan menolak begitu saja sekiranya suatu hari, bakatnya turut menarik minat produser sebelah sana.

Ditanya mengenai perkembangan terbaru, Elaine yang mengaku banyak mendapat kata perangsang daripada penggiat seni hiburan tempatan, ketika ini turut mengusahakan perniagaan beg berjenama dirinya sendiri, Daly Bags, secara atas talian.

"Beg berkenaan dihasilkan di Indonesia, tetapi rekaannya dilakukan sendiri oleh saya. Ia baru saja dimulakan, begitupun sejak tahun lalu lagi saya sudah melakukan persediaan termasuk kajian mendalam, sebelum benar-benar mengusahakannya," katanya, sambil berpesan, peminat yang ingin mendapatkan beg itu bolehlah melayari laman http://thedalystore.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: