
SELARI dengan maskotnya iaitu unta, Kumpulan AmBank (Ambank) baru-baru ini memperbaharui penajaan unta Dromedary Zoo Negara dengan menghulurkan sumbangan sebanyak RM40,000.
Penajaan tahunan ke-25 untuk tahun 2010 itu disampaikan di Dataran Hutson, Zoo Negara dalam satu majlis penyampaian replika cek yang berlangsung baru-baru ini.
Cek tersebut disampaikan kepada Pengarah Persatuan Zoologi Malaysia, Dr. Mohamad Ngah oleh Ketua Hal Ehwal Awam Kumpulan, Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali.
Majlis tidak berakhir dengan penyerahan cek sahaja malah, program sehari itu dimeriahkan dengan beberapa aktiviti menarik seperti mengecat semula tapak kaki unta, sesi kanak-kanak bersama haiwan dan pertandingan mewarna.
Aktiviti mengecat semula tapak kaki unta yang bermula seawal pukul 7.30 pagi Sabtu, 12 Mac lalu disertai oleh ahli Kelab Kumpulan AmBank (KAG), keluarga AmBank MyKasih, pemegang akuan Saver G.A.N.G, kakitangan Kumpulan AmBank dan pengurusan kanan kumpulan AmBank.
Ia diikuti dengan sesi interaktif kanak-kanak bersama haiwan dan pertandingan mewarna kanak-kanak yang berlangsung dengan meriah melibatkan penyertaan daripada kanak-kanak AmBank MyKasih dan Savers’ G.A.N.G berumur lapan hingga 12 tahun.
Seramai 430 peserta dan penonton menghadiri ketiga-tiga aktiviti yang terdiri daripada 300 ahli KAG, 80 keluarga AmBank MyKasih dan selebihnya merupakan 50 kanak-kanak daripada ahli Savers’ G.A.N.G.

Menurut Syed Anuar, kumpulan AmBank dengan sukacitanya memperbaharui penajaan untuk tahun 2010 yang berjumlah RM40,000.
“Unta dipilih kerana ia merupakan maskot Kumpulan AmBank yang sering kelihatan di dalam iklan-iklan dan kempen promosi serta majlis-majlis sosial kakitangan.
“Sudah menjadi amalan tahunan kumpulan AmBank membantu Zoo Negara dalam penyelenggaraan unta-unta sejak pembelian awal pada tahun 1985 dan setakat ini AmBank telah menyumbang lebih daripada RM580,000,” katanya.
Tambahnya, melalui sumbangan dan sokongan yang telah diberikan kepada Zoo Negara, pihak AmBank telah menerima sepasang unta Dromedary, melalui program pertukaran haiwan pada April 2007.
Ia secara tidak langsung telah meningkatkan bilangan unta yang ditaja di Zoo Negara daripada empat ekor kepada enam ekor.
“Sebagai simbolik sempena penajaan unta yang masuk tahun ke-25, jejak kaki unta yang sedia ada akan dicat semula dari pintu masuk utama ke tempat perlindungan unta yang disertai oleh 200 peserta.
“Aktiviti mengecat semula jejak kaki unta yang pertama dan terpanjang di Zoo Negara ini merupakan salah satu daripada pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang melibatkan kakitangan staf AmBank,” ujarnya.

Jelasnya, aktiviti sedemikian dapat memupuk ikatan antara kakitangan sekali gus menanam sikap tanggungjawab untuk menyumbang kepada komuniti dan juga penyelengaraan haiwan di zoo.
Malah, Syed Anuar memberitahu, penajaan tersebut juga merupakan usaha Kumpulan AmBank menyumbang kepada alam sekitar dengan mengambil kira mengenai kesejahteraan haiwan-haiwan.
“Pendedahan kepada kanak-kanak mengenai jenis-jenis haiwan yang semakin pupus akan dapat mengajar mereka lebih menghargai nilai alam sekitar serta pemeliharaan dan pemuliharaan untuk generasi akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: