Wednesday, March 16, 2011

Kempen kutip syiling Makna


Jamaludin Abdullah (kiri) pada majlis pelancaran Kempen Kutip Syiling di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Pudu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


PILUNYA hati bila mendapati diri atau ahli keluarga dikesan menghidap kanser yang merupakan penyakit berbahaya selepas penyakit jantung dan boleh membawa kematian.

Pengalaman merasai sendiri bagaimana peritnya tatkala salah seorang anak yang disayangi menghidap kanser telah membuka ruang kepada Pengarah Majlis Kanser Nasional(Makna), Datuk Mohd. Farid Ariffin menubuhkan badan amal ini.

Menyedari tanggungjawab membantu mangsa-mangsa kanser meringankan beban yang ditanggung, Makna dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan sokongan Bank Negara Malaysia telah melancarkan Program Kempen Kutip Syiling di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Pudu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kempen Kutip Syiling 2011 ini merupakan kesinambungan kepada Kempen Satu dan Lima sen yang dimulakan pada tahun 2003 bersama sekolah-sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia.

Menurut Mohd. Farid, Makna yang menjangkau penubuhan hampir empat puluh tahun lebih adalah sebuah badan amal yang membantu pesakit-pesakit kanser meringankan beban mereka.

"Bukan semua orang mampu dan mempunyai kewangan untuk merawat penyakit ini, jadi kita berperanan untuk membantu mereka melalui sumbangan kempen kutip duit syiling ini," katanya.

Jelasnya lagi, hampir dua juta wang dapat dikutip setiap bulan melalui potongan melalui kad kredit hasil sumbangan orang ramai seminima RM 38.00 setiap bulan.

Menurutnya, kempen ini walaupun ramai penglibatannya terdiri daripada 60 peratus kaum Cina, tetapi sebenarnya ia terbuka kepada semua golongan, tidak kira agama dan bangsa.

"Kempen ini lebih tertumpu kepada golongan yang tinggal di kawasan bandar kerana mereka lebih terdedah kepada bahaya kanser.

"Kami juga telah membelanjakan hampir RM 9 juta untuk membuat kajian dan mencari penawar untuk penyakit kanser," jelasnya.

Jelasnya, setakat ini lebih daripada 160,000 kes kanser telah dapat ditangani oleh Makna sejak ia ditubuhkan, manakala setiap tahun lebih daripada 4,000 pesakit dibantu oleh Makna.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pejabat Pelajaran Wilayah Bangsar Pudu, Jamaludin Abdullah yang mewakili Timbalan Menteri Pelajaran 1, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, kempen ini merupakan kejayaan yang amat membanggakan kerana ia secara langsung mencerminkan tahap kesedaran sivik dan sikap penyayang yang tinggi untuk untuk berkhidmat, menyokong dan membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Sehingga kini, lebih dari RM1.15 juta telah dikumpul melalui kempen ini. Pada tahun lepas sahaja kempen ini telah berjaya mengumpul RM92,545.

Menariknya pada tahun ini, setiap pemberian 5 sen akan diberikan ganjaran satu penanda buku Kempen Kutip Syiling Makna. Makna sendiri telah telah membantu seramai 166,510 pesakit kanser yang mana kesemua pesakit merupakan kes yang dirujuk oleh 76 hospital kerajaan di seluruh Malaysia.

Sementara itu, Mohd. Farid juga telah mensasarkan untuk memperkenalkan Makna di peringkat antarabangsa seperti Singapura, Thailand, Vietnam dan Burma.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: