Wednesday, March 2, 2011

Kecintaan Mariyah pada seni ukir kayu


Pelbagai reka bentuk ukiran pintu kayu yang ditawarkan oleh Khazanah Masa Sdn. Bhd.


PILIHAN perniagaanya mungkin agak di luar kebiasaan. Malah jarang sekali kita tahu tentang wanita yang berniaga pintu rumah kerana mendengarnya saja sudah agak kurang glamor berbanding jika membuka spa atau butik.

Sebab tidak ramailah yang mendorong Mariyah Pit, 54, menongkah arus membuka perniagaan menjual pintu melalui syarikatnya Khazanah Masa Sdn. Bhd.

Idea perniagaan tersebut timbul hasil pengalamannya menghadapi kesukaran untuk mencari reka bentuk pintu rumah yang menarik dan unik bagi kediamannya.

''Kebetulan pada ketika itu saya sedang mencari-cari pintu rumah yang bercirikan ukiran tradisional untuk kediaman sendiri,'' kata bekas arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu.

Beliau akui kerana meminati ukiran tradisional, maka salah satu usahanya ialah mengabadikan ia pada pintu rumah.

''Sekurang-kurangnya ada juga identiti tradisional Melayu dalam rumah untuk diingati oleh anak-anak supaya ia tidak terus pupus dek zaman,'' katanya.

Sebagai arkitek, Mariyah juga menggunakan peluang itu untuk mempromosi pelbagai reka bentuk pintu keluaran syarikatnya kepada pelanggan.

Kebanyakan pintu menggunakan kayu jenis nyatoh dan mahagony yang biasanya dihasilkan dalam saiz standard iaitu tinggi 2,050 milimeter (mm) dan lebar pula 860 mm.

Biasanya ia akan dijual pada harga serendah RM1,200 untuk ukiran pada sebelah pintu.

Ketika ditanya adakah perniagaan tersebut mampu bertahan, kata ibu beranak empat itu, permintaan untuk pintu memang sentiasa ada.

''Saya beri peluang kepada pelanggan untuk memilih rekaan yang digemari. Kalau yang orang lama biasanya memilih corak awan larat manakala yang muda lebih kontemporari,'' katanya ketika ditemui di kedainya di No. 12, Jalan Wangsa Setia 4, Wangsa Melawati, Ulu Klang, Selangor baru-baru ini.

Katanya, walaupun harga yang ditawarkan untuk pintu berukiran lebih mahal daripada biasa, tetapi itu tidak menjadi persoalan kepada yang menghargai seni.

Selain itu, kata Mariyah, syarikatnya juga menjual kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran yang dihasilkan dari kayu.

''Kita juga menerima tempahan ukiran untuk hiasan dinding dan penghadang dinding,'' katanya.

Jelas Mariyah, kebanyakan pelanggan mendapat tahu mengenai perniagaan pintunya itu menerusi Internet dengan melayari laman web www.khazanahmasa.com.my

Sebelum memulakan perniagaan, Mariyah memberitahu, pembabitan awalnya dalam bermula dengan membuka firma arkitek.

''Selepas berhenti kerja, saya bercadang untuk meneruskan bidang ini di rumah sahaja kerana tidak sanggup lagi meninggalkan anak bongsu yang berusia dua tahun pada ketika itu,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, disebabkan bidang arkitek memerlukan dia menghadiri mesyuarat maka lapan bulan selepas itu beliau mengambil keputusan membuka firma sendiri.

Katanya, berbekalkan modal RM5,000, Mariyah membuka firma sendiri di Jalan Tun Razak pada tahun 1994 dengan berkongsi pejabat dengan seorang rakannya.

Lama kelamaan dengan perniagaannya yang semakin berkembang, Mariyah mengambil keputusan membuka pejabat sendiri di tempat sekarang.

Peluang yang diberikan kepadanya untuk mereka bangunan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya telah mencetuskan rasa cintanya terhadap seni ukiran Melayu.

''Semenjak itu saya begitu lantang memperjuangkan ukiran seni Melayu ini,'' katanya.

Kata Mariyah, sepatutnya seni ukiran Melayu dijadikan sebagai perhiasan di mana-mana bahagian dalaman pada setiap bangunan negara ini.

''Sayangnya seni ukiran Melayu sudah tidak dihargai seperti mana pembinaan rumah kayu orang Melayu yang kini telah digantikan dengan rumah batu-bata.

''Tidak kisah sama ada ia diletakkan pada pintu dan sebagainya lagi tetapi sekurang-kurangnya identiti orang Melayu ini masih boleh disaksikan oleh generasi muda,'' katanya.

Mariyah berharap dengan usahanya menjalankan perniagaan pintu berukiran tradisional ini termasuk bahan-bahan ukiran lain akan dapat diketengahkan ketika orang lain sudah makin lupa terhadap warisan ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: