Tuesday, March 22, 2011

KD, Raul mohon restu kekal




ENAKNYA menjadi orang yang sabar adalah ia akan berakhir dengan sebuah kemanisan. Bukan sedikit halangan, cercaan, cacian serta pandangan skeptikal yang terpaksa ditempuh oleh Kris Dayanti sepanjang dia menjanda sejak 2009.

Waktu terbongkar kisah dia sudah bercerai dengan suami yang telah hidup bersamanya selama lebih 15 tahun, Anang Hermansyah, angin liar yang ikut bertebaran pada waktu itu adalah penyanyi yang senang disapa KD ini curang dengan lelaki lain.

Berita liar itu juga turut diakui mantan suaminya, Anang dan dua orang anak mereka, Titania Aurelie, 13, dan Azriel Akbar, 11. Kononnya KD sudah mempunyai kekasih baru (secara terlarang) dengan seorang usahawan daripada Timor Leste. Lantas, nama Raul Lemos, yang sebelum ini tidak pernah dikenal umum dikaitkan sebagai lelaki baru yang telah membuat cinta KD mekar semula.

Untuk setahun pertama hubungan mereka cuba dicungkil media, KD bertahan untuk tidak membocorkannya begitu sahaja. Rapi ia menyimpan cerita duka dan menelan segala tohmahan dengan senyum tawar yang sentiasa terukir di bibir.

Namun hari demi hari, KD mula membuka cerita cintanya dengan lelaki tersebut, Raul Lemos atau nama sebenarnya, Raul Dos Ries Lemos, itulah lelaki yang telah membuat dia gila bayang dan jatuh cinta untuk kali kedua selepas usia 30 tahun.

Memang ia nampak 'kurang manis' apabila jatuh cinta saat diri sudah terikat dengan pasangan lain. Namun sebagai hal yang bukan tabu, dan kuasa Tuhan, cinta KD dan Raul bukan cinta sembarangan. Cinta mereka, cinta duka yang kini berakhir bahagia.


PASANGAN mempelai memohon doa agar jodoh berkekalan sehingga ke hujung nyawa.


"Untuk hal yang satu ini (berkahwin), saya tidak memerlukan pandangan orang lain. Apa yang penting, saya gembira dan mudah-mudahan kehidupan kami diberkati," ujar KD sewaktu pertemuan dengan Kosmo! minggu lalu.

Kata-kata itu adalah semangat yang dipupuk KD dengan jitu agar dia tidak kalah dengan peluru-peluru jahat yang tidak merestui hubungannya dengan KD. Malah tepat pukul 9.05 pagi Ahad lalu, semangat cinta KD disimpul dengan ikatan yang sah apabila Raul melafazkan akad memperisterikan dirinya.

Tampak sedikit berdebar sebelum bernikah dalam persalinan kebaya tradisional Indonesia, KD bagaimanapun tidak putus senyuman sebaik sah menjadi isteri Raul dengan hanya sekali lafaz.

Majlis pernikahan mereka berjalan dengan sederhana seperti yang diberitahu Raul sebelum ini. Diadakan di Masjid Sahid Nurul Iman, ia hanya dihadiri oleh lebih 100 tetamu yang terdiri daripada keluar, saudara dan sahabat terdekat mereka.

Keluarga KD diwakili oleh ayahnya, Trenggono yang juga bertanggungjawab telah menikahkannya dan ibunya, Rachma Widadiningsih, kakaknya, Yuni Shara dua anaknya, Titania Aurelie dan Azriel Akbar serta sanak saudara yang lain.

Sementara Raul diwakili oleh abangnya, Leopold Lemos dan ibunya, Esmeralda serta saudara-mara yang diterbangkan daripada Timor Leste.

Raul yang memberi sepersalinan kelengkapan solat sebagai mas kahwin buat isterinya itu melafazkan: "Kepada isteriku tercinta, mas kahwin ini merupakan sepersalinan alat solat. Semoga ia memberi manfaat kelak buatmu."


PASANGAN Kris Dayanti dan Raul Lemos menunjukkan kad pernikahan yang dikeluarkan pihak berkuasa Indonesia.


Ia kemudian dijawab KD dengan lafaz: "Suamiku tercinta Raul Lemos, Alhamdulillah, saya terima mas kahwin ini. Semoga Allah merestui kita."

Lantas sebaik sah menjadi suami isteri KD mengaku biar ini adalah perkahwinan kali kedua baginya, namun ia umpama satu pengalaman baru bagi dirinya. Menurut KD dia kini akan kembali masuk ke dalam fasa lama iaitu rumah tangga, namun semuanya serba baru.

"Saya berasa perkahwinan ini seperti satu pengalaman baru kerana selepas lebih setahun, saya kini akan kembali berperanan sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak kami," katanya.

Ditanya apa yang membuat cintanya begitu utuh terhadap dua beranak dua itu, KD menjelaskan dengan penuh puitis: "Semua nilai seorang Raul itu tidak dapat saya jelaskan dengan fizikalnya sahaja, tetapi saya mencintai dia zahir dan batin.

Sementara Raul yang terlihat cukup romantik apabila tidak segan-segan menzahirkan rasa kasihnya dengan mengucup bibir isteri tercinta itu pula memohon semua pihak agar mendoakan keberkatan perkahwinan mereka.

Katanya: "Biarlah kali ini perkahwinan saya dan Kris kekal hingga ke akhir hayat kerana pengalaman kami berdua yang lalu (bercerai) benar-benar menjadi pedoman."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: