Sunday, March 20, 2011

KD kini Kris Lemos


KENANGAN perkahwinan yang gagal bersama Anang biarlah berlalu dan hari ini, Kris Dayanti sekali lagi menjunjung status isteri orang, isteri kepada lelaki kedua dalam hidupnya, Raul Lemos.


RAUL Dos Reis Lemos. Sukar benar menyebut nama lelaki pilihan jiwa Kris Dayanti (KD) ini. Mungkin sesukar itu juga wanita berusia 36 tahun itu meyakinkan khalayak bahawa lelaki yang berasal dari Dili, Timor Leste itu merupakan insan terbaik sebagai suaminya.

KD kini sah menjadi rusuk kiri lelaki yang terkenal dengan panggilan Raul Lemos dalam satu majlis akad nikah di Masjid Sahid Nurul Iman, hari ini.

"Saya bersedia menjadi isteri buat Raul Lemos di sebalik pandangan skeptikal serta penghinaan yang ditujukan kepada hubungan ini," kata KD sewaktu ditemui selepas majlis khatam al-Quran dan tazkirah perkahwinan yang diadakan di rumahnya.

Tidak mahu ketinggalan berkongsi bahagia yang terpancar di wajah ayunya, KD mempelawa penulis menyaksikan sendiri hari bahagianya itu.

Diva ini bakal mengikut suaminya jauh ke Timor Leste, membiasakan diri bergelar nona kepada seorang usahawan hebat negara itu.

Lebih romantik, pasangan yang berencana menghabiskan tempoh bulan madu di Lisbone, Portugal ini bakal berkongsi hidup di sebuah banglo di tepi pantai di Dili. Bunyinya indah dan bahagia, mungkin itu yang dicari-cari selebriti kelahiran program realiti Asia Bagus ini.

"Raul itu orangnya jujur. Dia terima saya seadanya sebagai wanita biasa dan bukan seorang figura ramai. Malah lelaki tersebut berlapang dada menerima keluarga saya," ujar Kris berbunga bahasa cinta.

Sebelum ini ramai peminat KD sangsi tehadap Raul. Keretakan rumah tangga Raul dengan bekas isterinya, Atha, membuahkan pelbagai gosip liar dan menjadi cerita hangat di Indonesia.

Senang bercerita, penyanyi lagu Aku Wanita Biasa ini mengaku banyak dididik melalui tunjuk ajar dan pandangan serta teguran oleh lelaki berusia pertengahan 40-an itu. Enaknya emosi dan keghairahan dirinya sebagai anak seni tidak pernah disekat-sekat suaminya.

"Cuma kini saya perlu membiasakan diri menjadi suri buat seorang usahawan yang disegani ramai," bicara ibu kepada Titania Aurelie Nurhermansyah dan Azriel Akbar Hermansyah itu.


MENGAMBIL berkat sempena perkahwinannya, Kris mengadakan majlis bacaan al-Quran dan tazkirah perkahwinan di kediamannya, kelmarin.


Bernikah pada pukul 8 pagi di Masjid Sahid Nurul Iman, Jakarta Selatan, bapa Kris iaitu Trenggono diterbangkan khas dari Bali untuk menjadi wali kepada anak perempuannya. Cinta anaknya ditalikan restu dan pengharapan seorang bapa yang selama ini menjadi pemerhati suka duka yang datang bersilih ganti dalam hidup penyanyi tersebut.

"Saya tidak mahu dia gagal kali kedua. Saya sentiasa mendoakan semoga perkahwinannya kali ini akan dirahmati Allah sehingga ke akhir hayatnya," kata Trenggono yang sudah berpisah dengan ibu Kris, Rochma Widadiningsih.

Ini merupakan pernikahan kedua buat Kris dan Raul. Kedua-dua mereka memiliki dua cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu.

Perkahwinan pertama Kris dengan komposer dan penyanyi Anang Hermansyah berakhir pada 2009 selepas 13 tahun hidup sebagai suami isteri.

Tutup buku kisah kontroversi pasangan terkenal Kris-Raul, perkahwinan membawa mereka ke dalam dunia baru dan bahtera inilah yang harus mereka lalui atas pilihan yang telah berakar di hati dan bermula di pelamin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: