Wednesday, March 16, 2011

Karnival kesihatan USM


KERJASAMA. Haja Mydin (kiri) menerima tajaan daripada Pengurus Jualan Wilayah Utara Marigold, Lim Soon Chai di USM baru-baru ini.


AMALKAN gaya hidup sihat sepanjang hayat. Itu objektif Kempen Gaya Hidup Sihat 2011 (HLC 2011) yang akan berlangsung di Tapak Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada 18 dan 19 Mac ini.

Menarikya, buat julung-julung kalinya program seperti ini menggabungkan idea dan kreativiti siswa-siswi dari dua institusi pengajian tinggi iaitu USM dan Kolej Damansara Utama Kampus Pulau Pinang (KDU Penang).

Mereka terdiri daripada para pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Komunikasi Pemujukan KDU Penang yang diketuai oleh penasihatnya, Profesor Madya Khor Yoke Lim dari USM.

Terdapat empat aktiviti utama yang berjalan sepanjang kempen ini iaitu Kempen Pendidikan Kesihatan, Pertandingan Pakai dan Menang, Karnival Kesihatan HLC dan Kempen Berjalan Untuk Kesihatan.

Pengarah Projek HLC 2011, Haja Mydin Abdul Kuthoos berkata, kempen tersebut mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pelajaran Tinggi Malaysia (KPTM).

Bertemakan Menikmati Gaya Hidup Sihat, HLC 2011 ingin melahirkan minda masyarakat yang menjadikan gaya hidup sihat sebagai motivasi demi kebaikan diri sendiri, keluarga dan negara.

“HLC 2011 bermula dengan Kempen Pendidikan Kesihatan dari 16 Februari hingga 13 Mac lalu di 15 buah sekolah rendah dan menengah terpilih di sekitar negeri ini.

“Pada kempen ini, tenaga kerja HLC 2011 daripada USM dan KDU Penang mengadakan mini pameran kesihatan serta menunjukkan kaedah penjagaan diri yang berkesan seperti mencuci tangan dan menjaga tubuh.

“Kita mensasarkan sekolah kerana murid-murid merupakan agen paling baik dan berkesan untuk menyampaikan pendidikan kesihatan di peringkat asas,” ujarnya.

Sementara itu, Pertandingan Pakai dan Menang pula berlangsung di sekitar Kampus USM Pulau Pinang dan KDU Penang bagi mengesan sesiapa yang memakai baju-T rasmi program untuk diberikan hadiah misteri.

“Satu karnival kesihatan akan diadakan pada kedua-dua tarikh itu di kawasan tapak pesta konvokesyen yang melibatkan penyertaan dan pameran pelbagai agensi kerajaan serta pihak swasta berkaitan kesihatan.

“Pengunjung juga boleh berkongsi tip-tip penjagaan kesihatan daripada pakar yang dijemput menerusi tiga seminar yang diadakan,” katanya.


MENDERMA darah antara aktiviti yang dianjurkan pada Kempen Gaya Hidup Sihat 2011 di USM. - Gambar hiasan


Kempen berjalan

Bazar Sihat yang menjual pelbagai barangan kesihatan dan Pertandingan Makan Buah dalam usaha mendidik masyarakat agar mengamalkan pemakanan sihat turut diadakan.

“Menerusi kerjasama dengan Hospital Pulau Pinang (HPP), kita adakan kempen menderma darah di kalangan warga kampus pada karnival ini nanti,” ujarnya.

Sehubungan itu, satu majlis ringkas penyerahan tajaan oleh dua penaja utama HLC 2011 iaitu Marigold Peel Fresh & Vitagen dan Lois Jeans (Malaysia) diadakan di USM Pulau Pinang baru-baru ini.

Kemuncak kempen itu nanti ialah Kempen Berjalan untuk Kesihatan 2011 pada 26 Mac pukul 8 pagi dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di Taman Belia Pulau Pinang yang melibatkan kira-kira 2,000 peserta.

Penyertaan hanya RM15 dan peserta akan berjalan kaki sejauh kira-kira empat kilometer melalui Taman Botani, Jalan Kebun Bunga dan kembali ke Taman Belia.

Menurut Haja Mydin, 25 peserta terawal yang menamatkan perjalanan tersebut akan menerima hadiah di samping 25 cabutan bertuah manakala semua peserta akan diberi sijil penghargaan.

“Semua peserta diberi sarapan pagi percuma daripada penaja, beg cenderamata dan mengunjungi pameran kesihatan oleh agensi kerajaan dan swasta.

“Hasil kutipan daripada kempen ini nanti akan didermakan kepada beberapa organisasi terpilih seperti Hospital Besar Penang (HPP), Rumah Jagaan Nasyiatul Aisyiyah dan Hospice Malaysia,” katanya.

Orang ramai yang ingin turut serta dalam sebarang program HLC 2011 boleh mendapatkan keterangan lanjut menerusi laman web http://hlc2011-usm.weebly.com atau hubungi talian 012-444 0699.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: