Tuesday, March 15, 2011

Kak Pah daki 15 gunung

TABAH...Latifah (kanan) berkongsi ilmu bersama pelajar Fakulti Perhutanan UPM semasa membuat kajian di Bukit Padang Tujuh, baru-baru ini.
TABAH...Latifah (kanan) berkongsi ilmu bersama pelajar Fakulti Perhutanan UPM semasa membuat kajian di Bukit Padang Tujuh, baru-baru ini.
SERASI...Latifah (kiri) demam jika tidak ke hutan setiap bulan.
SERASI...Latifah (kiri) demam jika tidak ke hutan setiap bulan.

BERHADAPAN kejadian aneh, diancam binatang buas dan mengalami kecederaan, antara cabaran yang menguji kesabaran setiap kali melakukan kajian tumbuhan di kawasan hutan belantara seluruh negara.

Ternyata episod berkenaan sedikitpun tidak menjejaskan semangatnya memikul tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin walaupun mengundang bahaya dan mengancam nyawanya.

Sepanjang tujuh tahun memikul tugas sebagai Penolong Pegawai Sains Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), pelbagai cabaran dan dugaan diharungi Latifah Zainal Abidin, 49, setiap kali melakukan tugas di kawasan hutan termasuk bukit dan gunung.


"Tanpa minat dan semangat kuat, sudah lama saya meninggalkan bidang ini terutama setiap kali berhadapan gangguan termasuk kejadian aneh yang berkaitan makhluk halus.

"Hutan, bukit dan gunung sememangnya tempat tinggal makhluk halus. Apabila berkunjung ke tempat mereka timbul rasa tidak senang dan marah yang menyebabkan berlakunya pelbagai kejadian aneh.


"Antara kejadian aneh pernah saya alami termasuk tersesat, melihat makhluk halus, mimpi yang menakutkan dan terdengar pelbagai bunyi menyeramkan," katanya yang setiap bulan berada di hutan seluruh negara untuk membuat kajian.


Latifah atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Pah di kalangan pelajar Fakulti Perhutanan UPM berkata, terserempak dengan harimau belang, ular dan gajah juga antara pengalaman yang menakutkan sepanjang terbabit dalam bidang ini.Pernah sekumpulan gajah tidur berhampiran khemah namun binatang berkenaan tidak bertindak ganas sebaliknya hanya memerhatikan kami sebelum beredar pada awal pagi.


Sehingga kini dia sudah mendaki lebih 15 gunung dan banjaran seluruh negara antaranya Gunung Kinabalu, Sabah; Gunung Jerai, Kedah; Gunung Brinchang, Pahang; Gunung Perlis; Gunung Belumut, Johor dan banjaran Nakawan, Perlis.Selain hutan di Pahang, Perak, Johor dan Perlis, cabaran bentuk muka bumi, taburan pokok, penyakit dan perhubungan yang lebih sukar dihadapi ketika berada di Sabah dan Sarawak.

"Setiap kali melakukan tugas, saya dan rakan terpaksa berjalan kaki antara dua hingga tiga jam untuk sampai ke lokasi dengan membawa bersama bekalan makanan, khemah dan peralatan.


"Selepas berada dua hingga tiga minggu di dalam hutan, cabaran pulang lebih memenatkan apabila terpaksa membawa bersama contoh tumbuhan membabitkan daun dan ranting.


"Contoh tumbuhan seperti herba, pokok balak, renek, pepanjat, bonsai, buluh dan orkid perlu melalui proses kajian di makmal," katanya yang lebih lima kali tersesat di dalam hutan.


Selain melakukan kajian tumbuhan di kawasan hutan bukit dan gunung, tugas yang sama turut dilakukan di hutan paya gambut, paya bakau dan paya laut.


Latifah yang sebelum ini menimba pengalaman di Indonesia berkata, selain bertanggungjawab melakukan kajian, dia turut menjadi tenaga pengajar di kalangan pelajar fakulti perhutanan UPM.

Ilmu dan pengalaman dikongsi bersama pelajar dalam usaha meluaskan lagi kemahiran golongan berkenaan yang akan menerajui negara pada masa akan datang.


"Saya gembira dapat berkongsi sedikit ilmu yang ada ini kerana sekiranya tidak disebarkan kepada pelajar, tidak mustahil suatu hari nanti ia akan hilang begitu sahaja seterusnya merugikan negara.


"Khidmat saya kepada pelajar tidak terbatas di hutan sahaja sebaliknya berterusan ke bilik makmal. Pelajar didedahkan dengan cara membuat kajian seterusnya memperoleh hasil yang dicari," katanya yang bercita-cita untuk mendaki Gunung Everest suatu hari nanti.

Selain minat dan kesungguhan, kesihatan dan kecergasan menjadi faktor utama untuk melakukan tugas di hutan termasuk mendaki bukit dan gunung.


"Selain minum air rebusan herba yang diproses sendiri, saya juga mengamalkan petua makan pelbagai jenis pucuk herba seperti kacip fatimah dan mas cotek terutama ketika bertugas dalam hutan.

"Saya juga suka makanan pedas, apa juga masakan perlu dimasukkan cili. Mungkin dengan cara itu dapat meningkatkan kecergasan saya walaupun sudah menjangkau usia 49 tahun," katanya.


Dia akui, disebabkan terlalu minat dan komited dengan tugas, dia akan demam sekiranya tidak berpeluang berada di hutan setiap bulan.


"Sebab itu saya tidak menghadapi masalah apabila terpaksa berada selama sebulan di hutan semata-mata untuk menyelesaikan tugas selain mengelak daripada datang kali kedua.


"Saya dilahirkan untuk bekerja sebagai pengkaji tumbuhan, hutan dan saya kini sahabat yang tidak mungkin dapat dipisahkan daripada hutan sampai bila-bila.


"Terbaru saya bersama 120 pelajar UPM mendaki Bukit Padang Tujuh di Taman Negeri Endau Rompin yang berada 400 meter dari paras laut," katanya yang bercadang untuk menubuhkan syarikat perunding kajian hutan selepas bersara nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: