ORGANIK...Norizan memilih anak benih terung.
KERUGIAN disebabkan harga sayuran jatuh suatu ketika dahulu tidak pernah menjejaskan semangat dan kesungguhannya untuk terus terbabit dalam sektor pertanian organik secara komersial.
Bermula dengan hanya projek percubaan 18 tahun lalu, kini ladang seluas 1.21 hektar di Kampung Paya Siput, Lanchang, Pahang berjaya diusahakan dengan tanaman timun dan terung menggunakan sistem fertigasi.
Bagi Norizan Othman, 50, hanya semangat dan kesungguhan menjadi bekalannya sepanjang terbabit dalam bidang pertanian organik sehingga layak menerima Sijil Organik Malaysia (SOM).
Katanya, untuk terbabit dalam pertanian organik dia perlu mematuhi semua peraturan membabitkan penggunaan baja dan racun yang ditetapkan oleh agensi berkaitan.
Menerusi penyertaannya dalam kurus selain tunjuk ajar rakan, dia mampu menghasilkan baja daripada campuran ikan, gula merah, batang dan buah pisang termasuk air laut.“Untuk menghalang serangan serangga perosak, ulat pengorek buah dan hama, saya menggunakan kaedah semula jadi dengan menanam pokok semambu di kawasan kebun.
“Saya juga menggunakan perangkap, pelekat dan air perahan bawang putih dan halia yang disembur pada pokok bagi menghalang serangan ulat pengorek buah,” katanya yang mendapat bantuan suami, Hamdan Mat Jusoh, 52.
Mengusahakan pertanian secara organik lebih menguntungkan berbanding dilakukan secara biasa yang menggunakan baja dan racun kimia diimport.
Petani mampu menjimatkan kos sehingga 30 peratus, terutama apabila tidak perlu membeli baja dan racun kimia yang harganya semakin meningkat.
Dia berkata, semangatnya terus bertambah setiap kali memungut dan menjual hasil terung dan timun, penat lelah mengusahakan kebun berbaloi apabila menerima imbuhan.
Dia kini hanya menumpukan kepada tanaman terung dan timun kerana permintaan terhadapnya begitu menggalakkan berbanding tanaman sayuran lain yang kurang memuaskan.
Timun dan terung mampu dijual pada harga antara RM2 hingga RM7 sekilogram. Harganya akan meningkat dua hingga tiga kali ganda pada musim tengkujuh apabila pengeluaran berkurangan.
Ibu kepada empat anak itu berkata, permintaan terhadap sayuran organik di negara ini begitu menggalakkan terutama apabila pengguna merasakan kesihatan mereka lebih terjamin menerusi makanan yang tidak dicemari bahan kimia.
“Selain bebas bahan kimia, timun dan terung organik mempunyai rasa yang lebih sedap dimakan mentah selain dimasak dengan pelbagai resipi.
“Walaupun harganya lebih tinggi, permintaan terhadap sayuran organik terus meningkat,” katanya yang menerima Anugerah Ladang Organik Kebangsaan sebanyak empat kali.
Norizan yang mewakili negara pada sambutan Hari Peladang Asean di Kemboja 2005 berkata, pengalaman harga timun jatuh dan dijual RM10 sebakul menjadi sejarah dalam hidupnya.
Ketika itu hanya Tuhan sahaja mengetahui betapa kecewanya dia dan suami, penat lelah mengusahakan kebun berakhir dengan kerugian.
Bagaimanapun, selepas episod itu, projek yang diusahakan berjalan lancar seterusnya menghasilkan pendapatan yang lumayan sehingga tidak dapat memenuhi permintaan.
“Saya mampu memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 semusim dengan purata hasil jualan antara RM200 hingga RM300 sehari.
“Masalah modal dan kurangnya sokongan agensi kerajaan berkaitan menyebabkan saya tidak dapat memperluaskan projek walaupun kawasan masih luas.
“Sebelum ini saya sudah mengeluarkan modal lebih RM100,000 untuk membesarkan kawasan selain menyediakan kelengkapan lain,” katanya yang sentiasa mengharapkan bantuan pihak berkaitan.
Bagi Hamdan, minat dan kesungguhan isterinya mengusahakan projek tanaman sayuran organik mendorong dia bekerjasama dalam semua tugas.
“Pertanian yang diusahakan secara komersial mampu memberi pendapatan lumayan manakala permintaan terhadap sayuran terutama organik setiap hari bertambah.
“Semakin luas projek yang diusahakan, lebih banyak keuntungan diperoleh,” katanya yang menjualnya terus ke pasar borong.
Dia yang turut mengusahakan projek tanaman pisang nangka seluas lapan hektar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Lanchang, berkata sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan sedikit sebanyak melancarkan projeknya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: