Tuesday, March 8, 2011

Eksperimen Arvinder Ji


ARVINDER JI menaruh harapan yang tinggi terhadap album sulungnya ini.


“HEY Waley...Waley...Hey Waley” teriakan nyaring dan kelantangan lagu berjudul Hey Waley itu begitu menguasai jiwa kebanyakan pencinta muzik tempatan terutama golongan muda suatu ketika dahulu.

Namun peliknya, pemilik vokal lagu rancak bergema itu tidak pula popular berbanding lagu tersebut.

Arvinder Singh Raina, 40, atau mesra dipanggil Arvinder Ji sungguhpun diklasifikasikan sebagai artis baru yang semakin mencipta nama dalam industri muzik tempatan, namun kehadirannya dalam industri ini dijangka mampu membawa impak yang berlanjutan.

Lelaki tinggi lampai itu tampil serba hitam dengan menggayakan rambut ala mentornya, Reshmonu pada pertemuan dengan Kosmo! di Temple Of Fine Art di Brickfields, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penggiat muzik tradisional Punjabi itu memberitahu, populariti sederhana yang dimilikinya hari ini sememangnya bukan usaha perseorangan tetapi gandingan bahu beberapa insan seni seperti Reshmonu, Lewis Pragasam, Boy Radge dan lain-lain lagi.

Anak kelahiran Nepal, India yang menjelajah jauh dari tanah airnya semata-mata mencari peluang hidup yang lebih baik di Malaysia itu mengakui, dia berjaya mendapat apa yang dihajatkan di bumi asing terutama dalam industri muzik tempatan.

Dia yang memiliki ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang vokal muzik dari Universiti Delhi bersyukur kerana bakat seninya itu telah dihargai.

Ia berdasarkan kehadirannya itu yang diterima baik bukan sahaja oleh para peminatnya tetapi juga rakan-rakan artis tempatan.

Mengimbas kembali, titik perubahan pertama dalam karier seni muzik Arvinder Ji berlaku pada tahun 2005 apabila dia memperolehi peluang untuk menghasilkan single, Hey Waley bersama Reshmonu.

Kredibilitinya yang begitu arif menguasai kemahiran menyanyi lagu-lagu klasik Hindustan dan Punjabi dengan mudah memikat hati Reshmonu untuk menjalinkan kerjasama dengannya.

“Selain Reshmonu, ramai lagi komposer tempatan menawarkan peluang menyanyi dalam album mereka. Tawaran-tawaran istimewa itu yang membuatkan saya setia dan berbakti kepada industri muzik tempatan yang mengalukan kedatangan artis asing tanpa mengira agama serta bangsa.

“Justeru, muzik adalah bahasa universal maka perbezaan seketara mana pun lenyap jikalau ada bakat tersendiri dan hasrat yang murni,” ujar Arvinder Ji yang kini mengendalikan kelas vokal klasik masyarakat India utara iaitu Harmonium di Temple of Fine, Brickfields , selain turut menjadi guru muzik di Sekolah Antarabangsa Global Indian di ibu kota.

Tahun ini merupakan suatu lagi titik permulaan buatnya apabila dia muncul dengan album sulungnya berjudul, Yadein yang menyajikan lagu-lagu versi Hindi, Punjabi, Tamil dan Gujerat.

Katanya, istilah yadein yang membawa makna memori dalam bahasa Hindi itu sebenarnya memaparkan nostalgia keindahan hidupnya yang tersirna dalam alunan muzik jazz dan sentimental.

Istimewanya, album itu turut membabitkan sekumpulan pelajar kelas muziknya yang menyumbang tenaga dan suara untuk menghasilkan sebanyak 17 buah lagu dalam empat versi bahasa dari India.

Disebabkan penghasilan album pertamanya itu masih di tahap eksperimental, maka di masa hadapan dia bercadang untuk menghasilkan lagu-lagu versi Melayu dan Inggeris untuk diperdengarkan buat seluruh rakyat Malaysia.

Sebagai permulaan, Arvinder Ji menyatakan bahawa sebanyak 2,000 salinan cakera padat album Yadein akan dipasarkan pada harga RM25.90 setiap sekeping.

Pada majlis pelancaran yang penuh bermakna itu, Arvinder Ji dan anak-anak muridnya itu telah menghiburkan tetamu dengan enam buah lagu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: