Friday, March 4, 2011

Biskut air tangan ratu tenis




JIKA sebelum ini penulis hanya melihat aksi pemain-pemain tenis wanita terkemuka dunia di kaca televisyen dengan pukulan raket yang tangkas, tetapi Ahad lalu, bersama beberapa media lain kami berpeluang melihat mereka beraksi di dapur.

Rutin pagi tiga pemain tenis wanita yang datang ke Malaysia untuk menyertai Kejohanan Tenis Antarabangsa Terbuka Malaysia BMW iaitu Ayumi Morita, 21, dari Jepun, Noppawan Lertcheewakarn, 20, dari Thailand dan Francesca Schiavone, 30, dari Itali pagi itu tidak bermula di gelanggang tetapi, langkah mereka menuju ke dapur pastri Hotel Double Tree by Hilton (Double Tree) untuk membuat biskut.

Ketiga-tiga ratu tenis itu sebelum ini hanya menunjukkan kehebatan mereka beraksi di gelanggang dengan memegang raket namun, kali ini mereka memegang senduk kayu untuk mengacau adunan biskut.

Kerja-kerja di dapur bermula sejurus ketiga-tiga pemain menyarungkan apron dan memakai topi. Dengan tekunnya Ayumi, Lertcheewakarn dan Schiavone mendengar setiap arahan yang diberikan oleh Chef Pastri Amanda Lim.

Masing-masing patuh mengikut arahan Amanda supaya memasukkan bahan-bahan seperti tepung, mentega, gula, cip coklat dan kacang walnut ke dalam mangkuk sambil aksi tiga pemain tenis itu turut diperhatikan oleh Pengurus Besar Double Tree, Ian Barrow.

Membentuk adunan

Walaupun kekok memegang senduk barangkali jarang ke dapur bagi Morita, Lertcheewakarn dan Schiavone tetapi, mereka meneruskan kerja-kerja mengguli dan membentuk biskut untuk jualan amal yang akan disumbangkan kepada Make A Wish Malaysia.

Sesekali mereka ditegur oleh chef kerana membentuk adunan terlalu besar dan kecil. Biskut cip coklat Double Tree yang telah siap dijual melalui kempen Baked With Care, Grant A Wish, Spread The Warmth bermula 28 Februari hingga 27 Mac ini.

Setiap 200 tin edisi terhad mengandungi tujuh keping biskut cip coklat bersama autograf 10 bintang tenis dunia dijual pada harga RM60, manakala biskut cip coklat tanpa tandatangan dijual pada harga RM36 di The Food Store, Hotel Double Tree.


TIGA ratu tenis ini menunjukkan adunan biskut yang sudah siap diuli dan hanya menunggu dileperkan serta dibakar.


Antara pemain tenis yang turut menurunkan autograf pada tin biskut cip coklat edisi terhad itu ialah Alisa Kleybanova, Kimiko Date-Krumm Jarmila Grotu dan Lucie Sufarnova.

“Ini merupakan pengalaman kali pertama membuat biskut untuk jualan amal dan ia pengalaman yang menyeronokkan.

“Saya harap akan menjadi tukang masak yang hebat seperti Amanda,” kata Morita yang turut meluangkan masa di dapur jika ada kelapangan.

Schiavone dan Lertcheewakarn juga teruja dan mengakui banyak perkara yang perlu dipelajari ketika di dapur kerana ia sama sekali tidak serupa seperti di gelanggang.

“Ia merupakan pengalaman yang unik kerana melibatkan bintang tenis ternama dalam program amal sebegini.

“Kami menggalakkan kakitangan di sini untuk membantu golongan yang memerlukan sejajar dengan falsafah kami untuk memberikan sesuatu yang bermakna kepada mereka dengan pendekatan Warm, Caring and Friendly,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Wish Granting, Sandra Kirwon Byrne berharap melalui jualan amal biskut cip coklat Double Tree tersebut dapat mengumpulkan RM12,000 untuk merealisasikan tiga permintaan daripada kanak-kanak yang menghidapi penyakit kronik.

“Banyak permintaan daripada kanak-kanak ini yang kami mahu realisasikan iaitu ada di antara mereka mahu memiliki PSP (Playstation Portable), komputer riba, melawat Taman Tema Disneyland Hong Kong, berjumpa dengan Perdana Menteri dan banyak lagi.

“Untuk tahun ini sahaja kami telah memenuhi tiga permintaan dan banyak lagi akan menyusul kelak dengan sumbangan daripada pihak-pihak yang bermurah hari,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: