Biarpun sibuk dengan jadual seni masing-masing, namun semangat setia kawan yang dipupuk sejak berada di dalam Akademi Fantasia lalu masih kukuh sehingga kini.
Pada 16 Februari, sembilan bintang AF8 ini dipertemukan bersempena ulang tahun pertama mereka sebagai anak seni.
Menurut Maulana, majlis santai itu dirancang pada saat akhir bersama Ain dan Farina.
“Kami memang ada perancangan untuk keluar bersama dan kebetulan pada tarikh itu, kami tidak ada kerja, jadi terus berjumpa.
“Kebetulan bekas Pengurus Residen kami, Baha ada restorannya sendiri iaitu, Restoran Intai-Intai di Jalan Ampang. Jadi kami makan malam bersama.
“Paling bermakna, majlis perjumpaan kami ini berlangsung pada tarikh pertemuan dan perkenalan kami sewaktu mendaftar sebagai pelajar AF.
“Cuma Ema, Anum dan Iwan sahaja yang tidak menyertai kerana ada komitmen kerja,” katanya kepada Sinar Harian.
Kata Maulana lagi, perjumpaan pada malam itu banyak membuka cerita kenangan semasa berada di akademi.
“Kami banyak bercerita mengenai kenangan semasa di akademi. Daripada kisah suka hinggalah duka, termasuklah kejadian Adira dan Anum ‘diganggu’.
“Semua rasa seronok kerana dapat berkumpul. Maklumlah kami sudah berada di bawah pengurusan yang berlainan. Majlis seperti ini dapat merapatkan lagi hubungan persahabatan kami semua,” katanya.
Tambahnya, majlis ini akan diteruskan untuk merapatkan lagi hubungan sesama bekas pelajar AF8.
Juara AF8, Shahir juga berharap agar akan ada lagi majlis seumpama itu.
“Kami semua memang jarang dapat berjumpa kerana sibuk. Jadi perjumpaan seperti ini merapatkan ukhuwah antara kami. Rasa sudah lama tidak ketawa dengan mereka.
“Memang ada rasa rindu suasana di akademi, tetapi kami harus berpijak di bumi nyata,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: