|
|
PEMUDA bernama Ryan dan Adi barangkali boleh dianggap sebagai dua rakyat Indonesia yang bertuah kerana ketika kadar pengangguran di negara ini mencatat 7.6 peratus tahun lalu, mereka masih ada kerja.
Biar sekalipun tugas yang dipikul menuntut keberanian dan risiko yang besar, namun Ryan dan Adi melakukannya dengan penuh amanah..
Kerja seharian Ryan, 22, dan Adi, 24, tentunya bukan pilihan utama pemuda-pemuda di Malaysia kerana profesion mereka tidak glamor jauh sekali perlu berpakaian segak.
Tugas yang disandang sejak lima tahun lalu oleh kedua-dua lelaki yang berhemah itu menuntut mereka bersabung nyawa.
Pada pandangan mata kasar, kerja yang dilakukan Ryan dan Adi tidak mudah untuk dipikul lebih-lebih kepada mereka yang tidak mempunyai kekuatan mental dan semangat yang tinggi.
Setiap hari, mereka harus 'mendaki' bangunan-bangunan pencakar langit di sekitar kota Jakarta.
Bangunan paling tinggi yang pernah 'didaki' oleh Ryan dan Adi ialah sebuah bangunan komersial 58 tingkat di Jakarta Pusat.
Ryan dan Adi bukanlah mencuci bangunan tinggi seperti yang pernah digambarkan kepada rakyat Malaysia mengenai semangat empat anak muda dalam filem mahupun teter Cuci yang pernah mencipta fenomena di tanah air tidak lama dulu.
Sebaliknya, Ryan dan Adi bertanggungjawab mengenal pasti dinding-dinding di setiap sudut bangunan-bangunan tinggi di Jakarta yang berlaku keretakan akibat gempa bumi.
Selepas mengenal pasti retakan pada dinding sesebuah bangunan, mereka akan melakukan kerja-kerja pemulihan dan pembaikan.
"Secara khususnya tugas kami menampal dinding-dinding yang rosak dengan simen khas yang fungsinya akan memperbaiki kesan retakan," kata Ryan menjelaskan tugas hakiki mereka setiap hari.
Temu bual dengan kedua-dua lelaki bujang itu dilakukan dari balkoni sebuah pangsapuri tingkat 25 di kota Jakarta dalam suasana cukup santai biarpun ketika mereka sedang leka bekerja.
Menaiki forklift yang operasinya diselenggarakan oleh sebuah mesin berteknologi tinggi atau gondola di lantai paling teratas sesebuah bangunan, Ryan dan Adi memulakan tugas seawal jam 8 pagi.
Ketika temu bual dilakukan sekitar pukul 9.30 pagi, mereka sudah menyiapkan kerja menampal simen di 10 tingkat celahan bangunan kondominium itu yang memerlukan kerja-kerja pemulihan.
Bagi satu sudut sebuah bangunan 35 tingkat, kedua-duanya memerlukan masa selama enam jam memperbaiki kerosakan yang dikenal pasti.
"Kerja menampal simen di dinding-dinding yang retak harus dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan kesan retakan itu berulang lagi.
"Simen khas ini dihasilkan khusus untuk mengatasi kesan retakan. Saya dan Adi akan bergilir-gilir melakukan kerja-kerja tampalan itu," jelas Ryan sambil menceritakan proses itu secara teliti sementara Adi leka meneruskan tugasnya.
Selepas lima tahun mencari rezeki dengan melakukan kerja itu, Ryan dan Adi tidak lagi berasa takut atau bimbang seperti yang sering ditanya rakan-rakan dan saudara mara mengenai perasaanmereka memikul tugas penuh risiko itu.
Adi yang pada awalnya hanya diam dan fokus pada kerja bersuara dengan memberitahu, kalau ada sekalipun kebimbangan atau ketakutan, ia ada kaitan dengan forklift yang membawa mereka naik dan turun bangunan berhenti secara tiba-tiba.
"Pernah berlaku jentera yang mengendalikan forktlift ini berhenti secara tiba-tiba di pertengahan bangunan yang tinggi.
"Terkejut juga pada awalnya tetapi kami sudah dilatih agar sentiasa peka dengan keadaan dan operasi turun naik boleh dilakukan secara manual. Syaratnya jangan panik," katanya berkongsi saat-saat genting yang dilalui mereka.
Kalau ada kebimbangan lain pula, Ryan pula menambah, ia sering terjadi semasa angin bertiup kencang ketika mereka sedang leka melakukan kerja-kerja tampalan.
Bahkan, keadaan akan bertambah buruk kalau hujan lebat yang memaksa mereka berhenti daripada meneruskan kerja.
"Kalau sudah berada di tingkat lima atau enam kami masih lagi tidak gusar tetapi bayangkan kalau sudah berada di tingkat 20 atau 30, tidak banyak sedikit rasa takut ada juga.
"Tetapi kami berserah pada Tuhan saja kerana kami hanya melakukan kerja ini untuk memastikan keselamatan para penghuni terjaga," Ryan yang cukup peramah kembali menyambung perbualan.
Cuba memahami bebanan dan tekanan dalam profesion itu yang juga terdedah pada terik cahaya matahari, Ryan dan Adi sesekali berhenti berehat seketika di pertengahan bangunan untuk melepaskan lelah dan membasahkan tekak.
pengalaman
"Bila letih atau haus, kami berhenti seketika sebelum menyambung kerja," kata Adi.
Sebetulnya, tidak sukar untuk menyapa kedua-dua anak muda ini untuk diajak berbual mengenai pengalaman kerja yang berisiko seperti itu.
Secara terus-terang juga, Ryan dan Adi sepakat memberitahu, kerja ini dilakukan dengan penuh rasa minat selain tugas itu merupakan punca utama pendapatan mereka.
Dengan penuh kejujuran juga, Ryan berkongsi kisah pendapatan yang diterima oleh dia dan temannya itu bukanlah sewajarnya untuk dibanggakan.
Apa lagi dengan tugas mereka yang menuntut keberanian mental dan fizikal, ia barangkali akan disifatkan tidak berbaloi kepada sebilangan besar daripada pembaca.
Dengan tugas yang memaksa mereka bertarung nyawa, Ryan dan Adi hanya menerima upah sebanyak Rp 80,000 (RM28) setiap hari.
"Alhamdulillah pendapatan itu boleh menampung kehidupan kami. Daripada tiada kerja yang boleh dilakukan, baik saja rebut apa yang ada di depan mata," kata Ryan ikhlas.
Ryan dan Adi juga secara jujurnya mengakui, tiada sebarang latihan intensif yang diberikan kepada mereka saat diterima bekerja dengan syarikat penyelenggaraan bangunan yang dinaungi mereka.
Sebaliknya, hasil tunjuk ajar serta perkongsian ilmu dengan rakan-rakan senior serta keberanian yang ada dalam diri, Ryan dan Adi melakukan kerja tersebut
Kerana sudah lali dengan kerja itu juga, Ryan dan Adi ada ketika tidak lagi mengendahkan bahawa mereka seharusnya mengenakan topi serta pakaian khas yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan.
"Kadang-kadang kerana sudah terlalu biasa kami terlupa untuk memakai topi atau baju keselamatan sedangkan itu merupakan aspek penting dalam kerja ini," ujar Ryan berterus-terang.
Profesion Ryan dan Adi harus dilihat dari perspektif yang luas. Ketepikan pandangan negatif mereka yang tidak berpendidikan tinggi sewajarnya melakukan kerja setimpal dengan kelayakan diri.
Kita juga wajar mengingatkan diri kita, bahawa kedua-dua anak muda itu tidak menghiraukan keselamatan diri.
Bukan juga semata-mata survival untuk mencari rezeki dengan bayaran RM28 sehari, sebaliknya, mereka bersabung nyawa untuk keselamatan orang lain yang bukan kenalan mereka, jauh sekali saudara kandung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: