Namun, berbanding kelaziman rumah Inggeris yang mewajibkan pemasangan kertas dinding dan hiasan replika haiwan comel, Ida sebaliknya tidak mahu terlalu terikut dengan syarat itu. Begitupun, supaya tidak dilabelkan hangat-hangat tahi ayam, dia berusaha menonjolkan perabot serta aksesori menepati tema diwakili jambangan bunga, piring seramik hiasan dinding serta sudut selain perabot ditetapkan berwarna krim, kelihatan berusia dan disulami rekaan klasik lagi rustic (usang).
Malah, semua perabot itu dibeli ketika mula-mula berpindah ke rumah ini dan masih kekal elok keadaannya sehingga sekarang. Memandangkan saiz kediamannya yang tidak berapa luas, Ida berpendapat perabot sampingan tidak perlu dibeli.
Sepanjang menetap di kediaman itu juga, Ida tidak berhasrat membuat sebarang pengubahsuaian membabitkan perluasan ruang apatah lagi memasang kemasan berupa siling lepa kumai dan pengadang berfungsi membahagikan fungsi serta kawasan.
Menyatakan pelan lantai asal cukup luas bagi keluarga kecilnya, Ida bahkan menolak sama sekali pembinaan perabot siap dipasang yang disifatkannya mengekang kebebasan ruang.
“Saya tidak menyenangi konsep serta ciri kekal ditawarkan perabot itu. Entah kenapa saya rasa terkongkong dan tidak bebas melontar kreativiti dengan ruang.
“Saya juga pernah mengusahakan jual beli perabot dan sebelum membuka sebuah kedai hiasan dalaman berdekatan sini, rumah ini terlebih dulu dijadikan ruang pameran. Jujur saya katakan ketika itu, perabot di rumah ini kerap bertukar ganti kerana urusan jual beli berkenaan. Mungkin disebabkan sudah biasa dengan keadaan itu, saya jadi tidak selesa dengan konsep perabot siap dibina,” katanya
Menyentuh keputusannya tidak memasang kertas dinding, menurut Ida, dia pernah mencubanya lima tahun lalu membabitkan seluruh ruang rumah namun mengambil keputusan membukanya semula apabila mendapati ia menyebabkan ruang nampak sempit dan terhimpit.
“Saya pernah memasang kertas dinding corak bunga halus di ruang tamu namun tidak mampu bertahan lama kerana semakin dipandang semakin memeningkan.
Lagipun, segenap penjuru rumah ini menampilkan hiasan berbunga menyebabkan kewujudan kertas dinding serba tidak kena. Maka, saya buka kesemuanya namun meninggalkan sebahagian di ruang dapur. Saya kira hanya ruang berkenaan memerlukan kertas dinding bagi menutup comot dan cela dicetuskan asap dapur dan aktiviti memasak,” kata ibu empat cahaya mata ini iaitu Zain Asyraf,18, Nur Farah Alya,16, Afiq Naquiddin,13 dan Arief Aizuddin, 10 tahun.
Suaminya, Zainuddin Ahmad, 49, turut berkongsi pendapat yang sama dengannya apabila menyatakan penampilan menyeluruh tema warna krim bersulam putih menerbitkan persekitaran tenang dan santai.
“Kombinasi krim dan putih bukan saja mententeramkan fikiran dan menyejukkan mata tetapi cantik dijadikan latar belakang elemen hiasan berbunga yang menguasai ruang,” katanya.
Melengkapi gaya, Ida mempamerkan koleksi kelengkapan menghidang kesayangan di kabinet buffet and hutch di ruang makan. Himpunan Portmeirion porselin itu kebanyakannya dibeli di sebuah gedung beli-belah di Ampang, Selangor.
“Lama juga saya mengambil masa melengkapi koleksi ini. Saya tidak beli sekali gus sebaliknya dikumpulnya sedikit demi sedikit mengikut kemampuan kewangan. Apapun, saya memang tidak suka membeli menerusi laman web, bukan gentar risiko ditipu tetapi sebenarnya, saya lebih suka membelek dan meneliti rekaan serta coraknya terlebih dulu sebelum membeli.
“Setakat ini, cukuplah rasanya aksesori dan koleksi dimiliki namun saya tidak jamin akan mampu menahan diri dari berbelanja jika bertemu yang berkenan di hati selain menepati konsep kediaman kelak,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: