Saturday, March 19, 2011

Asyraf (Imam Muda) Tak Akan Salahkan Remaja Bermasalah

PETALING JAYA: Juara Imam Muda iaitu Asyraf, 27, (gambar) mengaku tidak akan menyalahkan remaja bermasalah membuta tuli sebaliknya membantu mereka untuk menyelesaikan gejala sosial yang dihadapi sekarang.

Kata Asyraf yang sering menjadi rujukan para remaja selepas tampil dalam program sendiri berjudul Soal Asyraf di Astro Oasis (saluran 106), dia akan mengelak daripada menimbulkan perkara negatif .

Antara masalah yang sering dibincangkan, pengalaman bercinta turut menjadi salah satu topik yang dirujuk kepadanya.

“Soalan yang ditanya kepada saya berbentuk sejagat. Jika soalan tentang cinta sekalipun, saya akan melihat kepada kebaikan dan keburukannya agar pasangan itu menjaga batasan antara satu sama lain.

“Saya juga perlu meneliti tuan empunya badan yang bertanyakan soalan,” katanya kepada mStar Online.

Buat masa ini, Asyraf sedang menyambung pelajaran peringkat sarjana dalam bidang Syariah di Universiti Malaya.

Selain itu, dia turut memenuhi undangan ceramah dan tazkirah di syarikat korporat serta pusat pengajian tinggi seluruh Malaysia termasuk Brunei.

“Saya telah diundang ke beberapa tempat di dalam negara dan luar negara seperti Brunei. Setakat ini, saya telah dua kali diundang ke Brunei atas jemputan syarikat korporat di sana pada bulan Ogos dan November tahun lalu.

“Biarpun telah dikenali ramai, saya tidak menganggap diri sebagai selebriti tetapi lebih kepada pendidik,” ujarnya yang memiliki laman sesawang rasmi bernama Imam Muda Asyraf.

Dalam masa yang sama, dia masih mengingati janjinya untuk menubuhkan kelab imam muda dengan alumni imam muda musim pertama yang lain pada satu masa yang sesuai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: